Setiap pasangan berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina. Kehadiran zuriat tentu akan menambah bibit bahagia buat pasangan suami isteri dalam melayan telatah dan ragam mereka.
Namun, tidak semua pasangan bernasib baik dalam melayari bahtera rumah tangga untuk memiliki zuriat mereka sendiri. Walaupun berat untuk menerima ketentuan ini, setiap yang berlaku sudah ditetapkan Allah SWT. Sebagai manusia kita perlulah berusaha dan sentiasa bersangka baik denganNya.
ANAK ITU REZEKI
Anak itu rezeki. Dalam rezeki yang Allah berikan ini, kita juga diberikan ujian sebagai pemegang amanah. Jadi mereka yang dapat rezeki anak juga perlu bersedia dengan ujianNya.
Untuk kita yang belum ada anak mungkin itu yang terbaik untuk kita pada masa ini. Mungkin kita belum mampu diuji dengan cabaran ada anak ini.
Setiap orang lain ujiannya. Masing-masing diuji berdasarkan tahap iman dan amalnya. Allah tahu sejauh mana hati kita dapat menahan sabar dan tabahnya kita menghadap sesuatu ujian.
Oleh itu bagi mereka yang sudah mempunyai zuriat, usahlah menyakiti pasangan yang belum lagi dikurniakan zuriat. Janganlah ‘cederakan’ perasaan pasangan yang Allah belum lagi kurniakan cahaya mata kepada mereka sebaliknya berdoalah agar mereka segera dikurniakan anak yang diidam-idamkan oleh setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.
FIKIR POSITIF
Ramai yang tidak menyedari membesarkan anak lebih banyak ujiannya. Teruskan positif, hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (QS. Al Baqarah : 216
Tenangkan hati. Fikir secara positif. Ingat nilai akhirat lebih dari nilai dunia.
Akhir sekali, ada anak dan tiada anak adalah ketentuan Allah. Mengapa kita mahu mempertikaikan ketentuan jika kita beriman pada Qada dan Qadar.
Sumber kredit: FB: Dr.Zabidi