Ketika ini ramai yang melaksanakan puasa enam Syawal. Tapi dalam masa yang sama kita juga mungkin menerima jemputan rumah terbuka.
Boleh jadi ketika puasa enam ini ada rakan yang bersungguh-sungguh mengajak kita datang untuk menikmati hidangan rumah terbuka yang diadakan.
Dah tentu kita dalam dilema sama ada mahu terus berpuasa atau memenuhi undangan dan makan untuk menghormati tuan rumah? Persoalan ini dirungkai oleh Ustazah Asma’ Harun dalam satu hantaran beliau di Facebook.
Diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA, katanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَقَدْ أَفْطَرْتُ، وَكُنْتُ صَائِمَةً، فَقَالَ لَهَا: «أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا؟»، قَالَتْ: لَا، قَالَ: «فَلَا يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا»
Maksudnya: Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadhakan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan kamu (tidak berdosa) sekiranya ia puasa sunat. (HR Abu Daud, hadis sahih)
Hadis di atas menerangkan bahawa TIDAK BERDOSA untuk sengaja berbuka bagi puasa sunat. Sama ada puasa sunat 6 syawal atau sebagainya. Namun, sekiranya berbuka bagi puasa qadha maka tidak dibenarkan untuk berbuka dengan sengaja.
Berbalik kepada persoalan, dibenarkan berbuka puasa sekiranya menerima jemputan kawan-kawan, saudara mara dan sebagainya. Ini selaras yang disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri R.A, katanya:
دَعَا رَجُلٌ إِلَى طَعَامٍ فَقَالَ رَجُلٌ إِنِّي صَائِمٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاكُمْ أَخَاكُمْ وَتَكَلَّفَ لَكُمْ أَفْطِرْ وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ إِنْ شِئْتَ
Maksudnya: “Seorang sahabat telah menjemput ke jamuan makan. (Setelah dihidangkan makanan), salah seorang daripada sahabat berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” Lalu Rasullullah SAW bersabda: Saudara kamu telah menjemput dan bersusah payah untuk kamu. Berbukalah dan gantilah pada hari yang lain sekiranya kamu mahu.” (HR Thabrani, hadis hasan di dalam kitab Irwa’ al-Ghalil)
Menurut ulama’ Syafie dan Hanbali, jika seseorang dijemput ke majlis makan dalam keadaan seseorang berpuasa sunat, maka AFDHAL berbuka sekiranya membebankan dan menyusahkan tuan rumah. Kerana puasa sunat tersebut boleh digantikan pada hari hari yang lain. Justeru dapat memberi kesan positif kepada pihak tuan rumah.
Namun, jika berpuasa itu tidak memberatkan tuan rumah, maka lebih baik untuk teruskan puasa tersebut tanpa perlu membatalkannya. (Rujukan: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)
Menurut Imam Nawawi dalam Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, jika tuan rumah berasa tidak suka jika orang yang dijemput itu berpuasa, maka hendaklah dia membatalkan puasanya. Sekiranya tidak timbul perasaan seperti itu, maka tidak mengapa untuk tidak membatalkan puasanya.
RUMUSAN
1. Puasa 6 di bulan syawal adalah sunnah Nabi SAW dan sangat-sangat dituntut. Namun tidak berdosa untuk berbuka sekiranya ingin hadir ke rumah terbuka.
2. Sekiranya tuan rumah berasa tidak selesa jika individu yang hadir itu puasa, maka hendaklah dia membatalkan puasanya.
3. Sekiranya dengan berpuasa, tuan rumah tidak keberatan serta memahaminya, maka boleh diteruskan puasanya dan berdoa agar tuan rumah mendapat keberkatan dan kebaikan dengan majlis yang dianjurkannya.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun