Allah mengatur kehidupan hambaNya dengan sebaik-baik kejadian. Bermula dari perkenalan di Bigo Live, jodoh sudah tertulis buat Muhammad Haziq Samrat, 27 dan pasangannya, Nur Atiqah Amiera Ghazali, 29 tahun.
Selamat dinikahkan semalam, Tokoh OKU Pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan serta pelakon berbakat yang pernah berlakon dalam drama bersiri Tanah Kubur, Haziq ketika dihubungi KASHOORGA berkongsi rasa gembira kerana majlis perkahwinannya berjalan dengan lancar dan sempurna.
Ditanya kisah cinta mereka bermula, kata Haziq, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, dia yang membuka sebuah agensi telah merekrut individu yang ingin mengubah kehidupan yang lebih baik.
“Ketika saya buat live inilah, isteri ada sertai. Ramai juga turut serta kerana saya mengajar mereka bagaimana untuk menambah pendapatan ketika negara berdepan pandemik. Buat content sendiri dan sebagainya. Awalnya perkenalan kami biasa saja tapi lama kelamaan berubah bila mana Miera menyatakan ingin berkenalan dengan saya dan keluarga dengan lebih rapat.
“Kami kenal dalam beberapa bulan saja sampailah Miera datang ke rumah bertemu keluarga pada Januari tahun lalu. Katanya dia suka saya. Dari dia approach itulah, saya terus terpikat dengan keberaniannya sebab tak ramai perempuan berani begitu.
“Tak dinafikan saya ramai kawan perempuan. Malah ketika zaman remaja lagi dah biasa bawa kawan-kawan datang jumpa keluarga. Tapi bila Miera “berani”, saya pun rasakan inilah jodoh yang tepat buat saya,” katanya yang sangat aktif dalam sukan extreme termasuk mencuba main sukan luncur, wall climbing, berenang dan lain lagi. Bahkan sangat suka mencuba sesuatu yang luar biasa.
Doakan jodoh kami hingga Jannah
Sama seperti orang lain, Haziq memohon doa agar rumahtangga yang baru dibinanya ini kekal hingga ke Jannah.
Dalam membina ikatan cinta bersama pasangan, kata Haziq buang sifat malu kerana “malu” menutup semua peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Samalah dalam bab jodoh, kalau malu-malu sangat, kita tak suarakan perasaan, orang pun tak tahu. Tapi bagi saya, malu kena ada tapi bertempat. Ikutkan keadaan saya dengan fizikal begini, semua fikir tak boleh buat tapi saya mampu lakukan dan menikmati kehidupan yang saya sukai termasuk menjadi penyampai radio di D’traxx
“Saya akui terpikat dengan Miera kerana dia berani mencuba. Saya pula jenis selamba, dia juga begitu. Saya nampak usaha dia menawan hati saya dan alhamdulillah, kami sangat serasi bersama,” katanya memaklumkan isterinya bekerja sebagai jururawat. Menambah gelaknya, kata Haziq, Miera memaklumkan sudah lama meminatinya dalam diam. Dan sudah tertulis jodoh mereka hingga di satukan semalam.
Majlis sepatutnya untuk ayah tapi Allah lebih sayang..
Dilahirkan tanpa anggota dari pinggul ke bawah, anak bongsu dari tujuh beradik ini mengakui arwah ayahnya baru saja dijemput Illahi di malam raya haji lalu.
“Ikutkan majlis nikah kami 9/9/2022. Dan sanding esoknya. Tapi akak ada bertanya boleh tak percepatkan kerana ayah tak berapa sihat akibat kanser paru-paru. Waktu ini tak tahu pun ayah stage berapa sebab baru dapat kesan.
“Sebelum ini saya memang menjaganya. Fikirkan tiada apa halangan kami memilih tarikh semalam tapi Allah lebih sayang. Ayah tak sempat pun tengok majlis kami. Kebetulan malam itu, saya baru balik dari tengok dewan sanding kami. Bila balik keadaannya macam teruk. Habis baca Yassin, ayah pergi tinggalkan kami,” katanya berkongsi kenangan hilang ayah.
Semoga pernikahan pasangan ini kekal till Jannah. Sumber gambar : Haziq Samrat
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI