Datangkan Mudarat & Sakiti Manusia, Boleh Ke Pijak Semut Sampai Mati?

Share

Datangkan mudarat dan sakiti manusia, boleh ke pijak semut sampai mati? Ada pendapat mengatakan bahawa kita diharamkan untuk membunuh semut.

Tetapi jika mendatangkan mudarat kepada manusia, adakah hukumnya masih sama? Ikuti perkongsian Pegawai JAKIM, Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud ini dalam Ustaz Betul Ke?

Artikel Berkaitan:

Surah Al-Naml Bukti Betapa Hebatnya Semut!

Datangkan Mudarat

Jelas Ustaz Hariri, semut adalah haiwan ciptaan Allah SWT bahkan semut juga adalah salah satu daripada nama-nama Al-quran iaitu Surah An-Naml atau Surah Semut iaitu surah yang ke-27. Surah ini mempunyai 93 ayat al-Quran dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah.

Ini bermakna semut ini bukanlah calang-calang binatang tetapi haiwan yang dijadikan nama Al-Quran. Nabi Muhammad saw, bersabda dalam satu hadis Riwayat Abu Daud, sesungguhnya nabi melarang kita membunuh tiga jenis binatang.

Pertama adalah lebah, burung dan seterusnya semut. Tidak ada masalah tiba-tiba pijak atau bunuh semut, sememangnya tidak boleh kerana nabi larang disebabkan semut adalah tentera Nabi Sulaiman a.s.

Namun bagaimana pula jika semut tersebut mendatangkan mudarat atau menyakiti manusia, adakah perlu dibiarkan saja.

Syeikh Wahbah Alzuhaili ada menyebut dalam kitabnya bahawa memang kita dilarang membunuh semut yang melata. Tetapi sekiranya semut tersebut membahayakan, mencederakan kita maka dibolehkan untuk membunuh kerana untuk menjaga keselamatan diri kita.

Sakiti Manusia

Selain daripada itu, terdapat hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

نَزَلَ نَبِيٌّ مِنَ الأَنْبِيَاءِ تَحْتَ شَجَرَةٍ، فَلَدَغَتْهُ نَمْلَةٌ، فَأَمَرَ بِجَهَازِهِ فَأُخْرِجَ مِنْ تَحْتِهَا، ثُمَّ أَمَرَ بِبَيْتِهَا فَأُحْرِقَ بِالنَّارِ، فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ: فَهَلَّا نَمْلَةً وَاحِدَةً

Maksudnya:
“Salah seorang nabi singgah di bawah sebatang pokok, lalu dia digigit seekor semut, lantas Baginda memerintahkan agar barang-barangnya dialihkan dari pokok itu, kemudian Baginda memerintahkan agar sarang semut itu dibakar dengan api. Maka Allah mewahyukan kepadanya: ‘Mengapa tidak hanya dibakar semut yang menggigit sahaja?’

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, terdapat dalam kalangan ulama yang menjadikan hadis ini sebagai dalil bagi mengharuskan perbuatan membakar haiwan yang mengganggu dan memberi mudarat dengan api berdasarkan kaedah syar‘ man qablana, sekiranya tidak ada dalam syariat kita apa yang mengangkatnya.

Namun begitu, terdapat dalam syariat kita larangan untuk menyeksa dengan api. Kemudian, beliau menukilkan pendapat Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini, bahawa hadis ini bermaksud dibolehkan untuk membunuh semut bagi syariat nabi tersebut. Begitu juga, dibolehkan membunuh semut dengan menggunakan api.

Hal ini kerana, asal dalam membunuh dan membakar adalah tidak berlaku kekerasan atau penyeksaan padanya, bahkan ia adalah untuk membakar lebih daripada seekor semut — yakni membakar sarangnya. Adapun di dalam syariat kita tidak dibolehkan membakar haiwan dengan menggunakan api melainkan dalam masalah Qisas dengan syaratnya.

Begitu juga, tidak dibenarkan untuk membunuh semut berdasarkan hadis Ibn Abbas. Begitu juga dinukilkan daripada al-Qadhi ‘Iyadh, beliau berpendapat hadis ini menjadi dalil mengenai keharusan membunuh setiap haiwan yang memberi mudarat dan mengganggu atau menyakiti manusia.

Boleh Ke Pijak

Di samping itu, terdapat juga riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

كنَّا معَ رسولِ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ في سَفَرٍ، فانطلقَ لحاجتِهِ فرأَينا حُمَرةً معَها فرخانِ فأخذنا فَرخَيها، فجاءتِ الحُمَرةُ فجعلت تفرِشُ، فجاءَ النَّبيُّ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ فقالَ: من فجعَ هذِهِ بولدِها؟ ردُّوا ولدَها إليها. ورأى قريةَ نملٍ قد حرَّقناها فقالَ: مَن حرَّقَ هذِهِ؟ قُلنا: نحنُ. قالَ: إنَّهُ لا ينبَغي أن يعذِّبَ بالنَّارِ إلَّا ربُّ النَّارِ

Maksudnya:

“Kami bersama Rasulullah SAW dalam satu permusafiran, kemudian Baginda SAW pergi untuk menunaikan keperluannya. Kemudian, kami melihat seekor burung bersama dua ekor anaknya. Lalu kami mengambil kedua anaknya dan burung tersebut datang dan mengepak-ngepak sayapnya. Kemudian Nabi SAW datang dan bersabda: ‘Siapakah yang menyakiti burung ini dengan mengambil anaknya? Kembalikan anaknya kepadanya.’ Setelah itu, Baginda SAW melihat sebuah sarang semut yang telah kami bakar dan Baginda bersabda: ‘Siapakah yang membakar sarang ini?’ Kami menjawab: ‘Kami (yang membakarnya).’ Baginda bersabda lagi: ‘Sesungguhnya tidak layak untuk menyeksa dengan api melainkan Allah SWT kerana Dia ialah Penguasa api.’

Al-Khattabi menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa membakar sarang serangga adalah makruh. Adapun semut, keuzuran padanya adalah sangat sedikit. Hal ini kerana, kemudaratannya boleh dihilangkan tanpa perlu kepada cara membakarnya dengan api. Sesungguhnya diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

إنَّ نبيًّا مِنَ الأنبياءِ قَرصتهُ نملةٌ، فأمرَ بقريةِ النَّملِ، فأُحْرِقَت، فأوحى اللَّهُ عزَّ وجلَّ إليهِ: في أن قرصَتكَ نملةٌ، أَهْلَكْتَ أمَّةً منَ الأُمَمِ تسبِّحُ

Maksudnya:

“Dahulu ada di antara para nabi telah digigit oleh seekor semut, kemudian Nabi itu memerintahkan untuk pergi ke sarang semut tersebut lalu membakarnya. Maka Allah mewahyukan kepada Nabi tersebut: ‘Adakah kerana seekor semut yang menggigitmu, kemudian kamu menghancurkan umat daripada umat-umat yang bertasbih.’

Semut Sampai Mati?

Kemudian, al-Khattabi menyatakan, semut terbahagi kepada dua jenis. Pertamanya, jenis yang mengganggu dan memudaratkan, maka mencegah kemudaratan atau gangguan daripada semut itu adalah dibolehkan yakni dengan membunuhnya.

Keduanya, jenis yang tidak memberi mudarat iaitu jenis semut yang memiliki kaki yang panjang, dan tidak boleh untuk membunuhnya.

Oleh itu, jelaslah bahawa sekalipun dibolehkan untuk membunuh semut yang memudaratkan, namun tidak dibenarkan untuk membunuhnya dengan cara membakarnya melainkan jika hal demikian hanya satu-satunya cara untuk membasminya. Maka ketika itu dibolehkan untuk membakarnya bagi membasminya.

Baca Di Sini:

8 Doa Para Nabi Yang Dikisahkan Dalam Al-Quran

Kashoorga: Kita dibenarkan membunuh binatang jika mendatangkan mudarat kepada kita.

Sumber: Ustaz Betul Ke? , Maktabah Al-Bakri

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

 

Published by
Syazwani Mehat