Serangan wabak virus koronavirus tidak mengenal siapa. Tidak kira golongan kanak-kanak, muda ataupun orang tua berpotensi untuk terkena wabak pandemik ini.
Salah seorang yang turut terkena adalah Pendakwah Bebas juga pelakon PU Riz yang telah disahkan positif COVID-19 selepas mengalami demam panas tiga hari lalu.
Menurutnya, perkara ini disahkan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.
“Saya demam sejak tiga hari lalu. Jadi, semalam saya pergi buat pemeriksaan di PPUM. Apabila dihubungi tadi, hasil ujian saya positif Covid-19.
“Saya reda dengan berita ini. Saya anggap ia adalah ujian Allah SWT. Kalau kita menjaga kesihatan sekali pun, tapi kalau Allah nak datangkan sakit juga, memang tak boleh elak.
“Apa pun, saya mengharapkan doa daripada semua semoga cepat sembuh dan bebas daripada wabak ini,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut PU Riz, ambulans dari PPUM akan datang ke rumahnya dan dia ditempatkan di sana untuk rawatan lanjut.
Menurutnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia hanya duduk di rumah dan hanya keluar rumah untuk membeli barangan keperluan sahaja.
Tetapi tambahnya lagi, dia pernah mengunjungi Masjid Jamek Seri Petaling Kuala Lumpur sebelum masjid ditutup kerana penyebaran wabak berkenaan.
Rumahnya memang betul-betul berhadapan dengan masjid berkenaan dan kerap solat di situ sebelum ia ditutup.
Sebelum inipun dia ada berkongsi berita sedih apabila bapa saudaranya juga disahkan positif COVID-19 dan menerima rawatan di hospital.
SUMBER: HARIAN METRO & MSTAR