Di dunia, berpeluh baik untuk kesihatan badan. Malah kita sering melakukan aktiviti sihat seperti berjoging, berjalan dan sebagainya untuk mengeluarkan peluh. Namun di akhirat nanti, kita akan berendam dalam air peluh hingga hampir tengelam sementara tunggu dihisab.
Baca penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai gambaran manusia di akhirat kelak berdasarkan soalan ditanya oleh pembaca ini.
Apakah benar dakwaan menyatakan bahawa di hari akhirat manusia akan berendam di dalam peluh sebelum mereka dihisab oleh Allah SWT?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini pasti akan dihisab oleh Allah SWT di hari akhirat nanti berkaitan dengan amalan yang telah mereka lakukan ketika hidup mereka di dunia dulu. Ada di antara mereka yang dipermudahkan proses hisab mereka dan ada juga sebaliknya.
Ads
Berdasarkan soalan di atas, sememangnya terdapat sebuah riwayat daripada Imam Muslim bahawa matahari akan didekatkan kepada manusia pada hari akhirat sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW daripada al-Miqdad bin al-Aswad RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Manusia itu akan berada di dalam peluh mengikut tahap amalan mereka. Ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke tumit, ada di antaranya juga yang peluhnya sehingga ke lutut, ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke pinggang dan ada yang tenggelam di dalam peluhnya. al-Miqdad berkata lagi bahawa Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda SAW ke mulutnya.” [Riwayat Muslim (2864)]
Ads
Di samping itu juga, terdapat riwayat yang lain di dalam Sahih al-Bukhari berkaitan dengan isu ini:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Manusia akan berpeluh pada hari kiamat sehingga peluh mereka di bumi setinggi 70 hasta dan sehingga menenggelamkan mereka sampai ke telinga.” [Riwayat al-Bukhari (6532)]
Ads
Imam al-Qustholani menyatakan ketika mensyarahkan hadith ini bahawa isyarat sampai ke kedua telinga adalah menunjukkan tahap yang tertinggi sampainya air dan tidak dinafikan bahawa air juga sampai pada tahap-tahap yang lain. Hal ini, sepertimana di dalam hadith ‘Uqbah Ibn ‘Amir yang mana ia diriwayatkan secara marfu’ bahawa di antara manusia ada yang air peluhnya sampai ke buku lalinya. Ada juga yang air peluhnya sampai ke pertengahan betisnya, ada yang air peluhnya sampai ke lututnya, ada yang air peluhnya sampai ke pehanya, ada yang air peluhnya sampai ke pinggangnya, ada yang air peluhnya sampai ke mulutnya dan ada yang air peluhnya menenggelamkannya serta tangannya memukul di atas kepalanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim. [Lihat: Irsyad al-Sari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 9/310]
Penutup
Kesimpulannya, setiap yang bernyawa pasti akan dihisab atau dihitung oleh Allah SWT. Adapun berkaitan dakwaan di hari akhirat ada manusia yang tenggelam di dalam peluhnya adalah benar kerana ia sabit daripada hadith-hadith yang sahih sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas. Di samping itu, keadaan manusia itu adalah berbeza-beza bergantung kepada amalannya. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dipermudahkan hisab di hari akhirat kelak. Amin.
Wallahua’lam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Wanita dan kecantikan berpisah tiada. Sanggup berhabis wang untuk cantik. Iklan rawatan dan urutan badan, dan pelangsingan di spa memang sangat mengujakan Muslimah.
Kebanyakan jenama hebat spa-spa dikendalikan oleh ramai pekerja wanita bukan Islam. Bukan tak boleh bagi para Muslimah untuk dapatkan perkhidmatan urutan di sini tetapi kita harus utamakan hukum syarak.
Apakah hukum syarak yang digariskan untuk hal ini? Kita baca penjelasan ustaz Azhar Idrus terhadap pertanyaan yang rata-rata memang kaum wanita nak tahu, sebab ramai yang dah ke spa bukan Islam ini.
Adakah harus perempuan muslimah pergi ke pusat spa rawatan badan dan kecantikan di mana di pusat tersebut pekerjanya terdiri dari perempuan bukan Islam membuat mandian dan body massage iaitu urutan pada tubuh perempuan muslimah tersebut?
“Allah tidak menghalang kamu sekalian dari berbuat baik akan orang orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu pada agama dan tidak mengeluarkan kamu sekalian dari tanah air kamu dan berlaku adil kepada mereka. Sungguhnya Allah kasih kepada orang-orang yang berbuat keadilan.” (Mumtahanah : 8)
Di dalam ayat ini Allah memberi izin bermuamalat dengan orang-orang kafir tetapi ada di sisi syarak batas-batasnya yang tidak boleh sama sekali orang Islam melanggar batas tersebut.
Di antara batas syarak yang wajib dijaga ialah perempuan muslimah tidak harus membuka auratnya di hadapan perempuan bukan Islam.
“Tidak halal bagi perempuan yang beriman bahawa membuka ia akan suatu daripada tubuhnya di hadapan perempuan kafir melainkan bahawa adalah perempuan kafir itu ialah hambanya. Yang demikian itu ialah kerana firman Allah dalam surah An-Nur ayat ke 31 artinya atau di hadapan hamba perempuan mereka.”
“Khalifah Umar r.a. telah menulis kepada Abi Ubaidah bin Al-Jarrah bahawasanya telah sampai berita kepada aku sungguhnya perempuan kafir zhimmi telah masuk ke tempat mandi awam yang ada perempuan muslimah maka hendaklah menegah yang demikian itu dari berlaku kerana sesungguhnya tiada boleh perempuan kafir melihat tubuh badan perempuan muslimah.”
Berkata Ibnu Abbas r.a. :
لايحلللمسلمةأنتراهايهوديةأونصرانيةلئلاتصفهالزوجها
“Tiada halal bagi perempuan muslimah bahawa dilihat akan tubuhnya oleh perempuan yahudi dan nasrani supaya tidak dapat dia ceritakan sifat tubuhnya bagi suaminya.”
“Mana-mana perempuan yang masuk ia ke tempat mandi awam tanpa uzur bertujuan memutihkan wajahnya maka Allah akan menghitamkan wajahnya pada hari putih segala wajah di hari kiamat.”
Harus Ketika Darurah
Akan tetapi pada ketika darurah seperti berubat dengan pengamal perubatan perempuan bukan Islam yang memerlukan dibuka auratnya pada ketika tiada pengamal perubatan perempuan Muslimah atau lelaki Muslim nescaya diharuskan yang demikian itu.
Dan darurah itu hanya berlaku kerana menyelamatkan nyawa atau menyelamatkan anggota badan. Ada pun kerana menambah kecantikkan atau merawat sakit yang tidak merbahaya nescaya tidak dibolehkan. Carilah spa rawatan milik Muslim.
Kesimpulannya apabila diketahui tidak harus perempuan muslimah membuka auratnya di hadapan perempuan bukan Islam untuk diurut badannya itu hendaklah pergi ia ke tempat yang dikendalikan oleh perempuan muslimah yang banyak kedapatan sekarang ini.
Muamalah dengan orang bukan Islam adalah dibolehkan tetapi bukan sebebas-bebasnya yakni hendaklah mematuhi peraturan syarak yang telah ditetapkan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hari ini hari ke tiga umat Islam meraikan Syawal dan ketika ini ada yang sudah memulakan puasa enam di bulan Syawal. Dalam menjalani ibadah ini kerap kali ditanya bolehkah digabungkan niat puasa enam digabungkan sekali dengan puasa qada. Semoga penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan ini menjawab persoalan ramai.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.”(Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadhan Dan Puasa 6Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja.
Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).”(Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”(Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain.(Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ”(Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai beranggapan media sosial hari ini adalah medium utama untuk berjaya. Ini kerana melalui perkongsian gambar dan kisah-kisah menarik, kita mampu mengumpul pengikut yang ramai sekaligus diiktiraf sebagai “orang dikenali” dan mampu buat duit melalui marketing dilakukan.
Namun di sebalik keterujaan berkongsi di media sosial, ada sesuatu harus kita ingat agar tidak menjadi PELOPOR KEPADA DOSA melalui apa yang kita kongsikan.
Hal ini disebut sebagai dosa jariyah.
Apakah dosa jariyah? Dosa jariyah merupakan segala bentuk perbuatan yang melanggar hukum, aturan, dan syariat yang telah Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasul-Nya tetapkan untuk seluruh manusia dengan kecenderungan untuk tidak melakukannya. Dialah orang yang mempelopori, mencetuskan kepada perbuatan maksiat atau dosa.
“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab Induk yang nyata (Lauh Mahfuzh).” (QS Yasin: 12)
Dosa jariyah ini cukup ditakuti manusia kerana ia akan terus mengalir, sekalipun orang tersebut sudah meninggal dunia. Hal itu lantaran dosa jariyah akan tetap ditulis sebagai catatan dosa kepada orang tersebut sekalipun dia tidak lagi mengerjakan perbuatan maksiatnya.
Kerana itulah, kita diingatkan betapa bahayanya dosa jariyah ini. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam mengingatkan umatnya agar berhati-hati dengan apa yang dikongsi atau dicetuskan dan jangan sampai terjebak melakukan dosa yang satu ini.
Di antara sumber dosa jariyah yang dinyatakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, adalah perbuatan mencetuskan maksiat kepada masyarakat.
Di antara dosa-dosa jariyah tersebut adalah menyebarkan maklumat yang menyesatkan, menghairahkan yang menyesatkan kepada masyarakat.
Mempelopori perbuatan maksiat
Memelopori dalam erti katanya, menjadi orang pertama melakukan perbuatan maksiat di hadapan orang lain dan kemudian hal itu diikuti oleh ramai orang. Meskipun dirinya tidak mengajak orang lain mengikut perbuatannya itu.
Dalam hadis dari Jarir bin Abdillah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda:
“Siapa yang mempelopori satu kebiasaan yang buruk dalam Islam, maka dia mendapatkan dosa keburukan itu, dan dosa setiap orang yang melakukan keburukan itu kerana keburukan dilakukannya, tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka.” (HR Muslim)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Makan bufet Ramadan di hotel atau kafe setiap kali bulan puasa seakan acara wajib ramai kalangan kita. Meski ada harga hidangan mencecah hampir RM100...