Nak kahwin dengan jodoh kita itu senang, yang susahnya memelihara usia perkahwinan yang berkualiti. Pengalaman hampir 20 tahun mengendalikan kes-kes perkahwinan bermasalah pasangan Islam, menyaksikan banyak juga kes perceraian yang berpunca dari perkara remeh.
Hal kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan sangat mudah jika ada toleransi dan rasa tanggungjawab namun berakhir dengan kemelut berpanjangan. Bukan ini yang Allah inginkan.
Kita ikuti perkongsian ringkas puan Hajah Safura Haji Ahmad Sharkawi, Ketua Penolong Pengarah, Unit Kaunseling, Jabatan Agama Islam Sarawak melalui entrinya di facebook tentang tip mencari jodoh yang boleh diamalkan pasangan muda hari ini.
Banyak saranan dalam Islam tentang mencari jodoh boleh diaplikasikan menerusi rutin harian kita. Lihat, perhati, nilai dan amalkan yang baik; itu paling utama. Bukan lihat terus on! Banyak tapisannya dalam misi mencari jodoh.
Artikel berkaitan: Ini Tanda-tanda Jodoh Kita Dah Dekat, Teka-teki Mungkin Terjawab
Artikel berkaitan : Netizen Otai Balas Pertanyaan Gadis Tip Pasangan Lebih 5 Tahun Kahwin Kekal Bahagia
Banyak tip cari jodoh. Sebenarnya kita boleh lihat sahaja dari sikap dan amalan bakal pasangan kita. Untuk mempercepatkan tapisan, cuba cari di masjid atau surau, itu tandanya bakal jodoh mu mengutamakan tiang agama.
Carilah juga yang rajin mencuci sinki selepas cuci pinggan. Jodoh yang begini mementingkan kebersihan, lantaran menjaga kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.
Cari yang jaga solat, kerana dia sedar, hidupnya di muka bumi ini adalah untuk menjaga hubungannya dengan Maha Pencipta.
Cari yang baik pada ibubapa, kerana dia tahu syurganya juga ada di situ.
Carilah yang hormatkan anda sebagai wanita atau lelaki kerana dia tahu, akibat hilang rasa hormat akan membawanya kepada gelaran isteri yang nusyuz atau suami yang dayus.
Boleh saja cari ikut tip ini, tetapi perlu ingat tip ini juga digunakan oleh mereka yang mahu membina first impression yang hebat atau dalam bahasa yang popular di kalangan muda mudi, sekarang ini yang ‘meletops’.
Bak kata orang, lepas kahwin nanti apa yang ditonjolkan itu sampai kita terpesona dan mahu sehidup semati dengannya rupa rupanya hanyalah fatamorgana.
Jangan tergesa-gesa buat keputusan untuk berkahwin. Berbincanglah dulu dengan keluarga, dengan ibubapa. Paling penting buat istikharah selalu. Bukan sebab nak tahu wajahnya muncul ke tidak dalam mimpi atau dalam igau, tapi mahu mendapat redha Allah, jika ia baik, permudahkan, jika ia tidak baik, tutuplah laluan itu dan gantikan dengan yang lebih baik atau jika ia memang ditakdirkan namun tetap penghujungnya tidak baik, percayalah ia tetap baik untuk anda.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetaui sedangkan anda tidak mengetahui.
Jangan kamu menyesali apa yang telah Allah takdirkan kepada kamu. Janganlah kamu berkata “kalaulah demikian, tentulah tidak jadi sedemikian” kerana ia adalah perangkap syaitan. Jangan tergesa-gesa mencari jodoh hanya semata tidak mahu digelar bujang terlajak atau anak dara tua.
Teruslah maju ke depan berbekal pengalaman yang Allah titipkan sebagai bekalan dan pengajaran, bina hidup baru, perbaiki diri, perbaiki amalan kerana atas segala apa yang tidak pasti di depan, ada satu yang pasti iaitu kematian.