Berkenaan dengan payung emas, tidak terdapat di dalam al-Quran ataupun al-Hadith tentang payung emas. Ini bermakna payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar.
Di dalam al-Quran memang terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang alam perkahwinan atau hubungan sesama suami dan isteri tetapi payung emas tidak disebut sama sekali. Begitu juga dalam al-Hadith, ada disebut tentang kelebihan seorang isteri yang mentaati suaminya dan sabar dalam menghadapi alam rumah tangga.
Contoh ayat al-Quran yang bercerita tentang hubungan sesama suami dan isteri adalah:
Firman Allah SWT:
فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ
Maksudnya: “Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka.” [An-Nisa:34]
Di dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya dan ta’at kepada suaminya, Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki.”[Riwayat Ibn Hibban, 9/471]
Kesimpulannya terdapat banyak lagi ayat al-Quran dan al-Hadith yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri. Namun tidak terdapat sepotong ayat al-Quran atau al-Hadith yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana yang didakwa.
Sumber: S.S Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bertuahnya Lelaki ini, Sungguhpun Tangan Kiri Kudung, Tunangnya Tetap Mahu Teruskan Perkahwinan
Bertuah seorang juru teknik di sebuah kilang di Ayer Keroh Melaka ini. Meskipun sebelah tangannya kudung namun tunangnya masih mahu meneruskan perkahwinan walau pun dia sudah ‘tidak sempurna’ lagi. Malah lelaki bernama Azahari Senin, 30 ini rasa cukup bersyukur kerana tunangnya dapat menerima kekurangan pada dirinya itu.
Ujian dan kekurangan pada diri Azahari itu dapat diterima tunang yang kini isterinya, Mastura Zainon,30. Pasangan ini disatukan dalam sebuah majlis pernikahan di Masjid Pengkalan Minyak, Ayer Molek di Melaka.
Azahari berkata dia mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu namun terpaksa berdepan dengan dugaan berat dua bulan kemudiannya. Dia telah ditimpa kemalangan di tempat kerja sehingga tangan kirinya hancur dan terpaksa dipotong akibat tersepit dalam mesin percetakan.
TETAP SETIA
“Saya pernah beritahu isteri yang ketika itu masih tunangan saya supaya dia tinggalkan saya selepas saya kemalangan yang hampir meragut dua belah tangan. Saya beritahu dia, aku tak boleh teruskan dengan kau lagi dengan keadaan aku macam ini.
“Tapi sangkaan dia akan tinggalkan saya itu meleset apabila dia terus cekal menunggu saya di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, menunggu saya di wad walaupun saya hampir putus harapan,”kata Azahari.
Azahari berkata, sejak itu dia menanam semangat positif menganggap kedua-dua tangannya masih normal seperti insan lain dan tidak mahu ada pihak yang memandang rendah apa lagi menganggapnya sebagai orang kurang upaya (OKU) yang kurang berkemampuan.
“Tangan kiri saya hancur teruk manakala tangan kanan pula sempat doktor selamatkan namun fungsinya kurang sempurna dan ketika majlis pernikahan berlangsung, saya masih berada dalam tempoh cuti sakit. Bagi saya meskipun majlis pernikahan kami serba ringkas namun meriah dengan usikan ahli keluarga dan kawan-kawan,”katanya.
PILIHAN TEPAT
Sementara itu Mastura yang juga seorang jurujual berkata, lelaki yang dikenalinya ketika bekerja di hotel kira-kira tiga tahun yang lalu itu diyakini mampu menyempurnakan kehidupannya.
“Saya kenal dia (Azahari) ketika dalam fizikal yang sempurna dan cinta saya masih sama walaupun dia kini kudung tangan kiri. Tak kan waktu sempurna saya nak bersama dia apabila tak sempurna saya tinggalkan.
“Semua ini ada hikmah dan saya berkeras mahu bersamanya ketika dia dan keluarganya minta pertunangan kami diputuskan. Ibu bapa dan adik beradik saya pula sentiasa menyokong saya,”kata Mastura.
Menurut Mastura lagi, dia tetap meneruskan majlis pernikahan tersebut meskipun disarankan ahli keluarga mertuanya untuk menangguhkan pernikahan mereka. Jodoh mereka kuat. Cinta mereka suci. Sesungguhnya Allah sudah takdirkan mereka hidup bersama sebagai suami isteri.
Di doakan agar rumah tangga yang dibina oleh pasangan ini kekal hingga ke syurga. Aamiin.
Sumber kredit: Sinar Harian dan Facebook Azahari Senin dan Mastura Zainon
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Awas Perangkap Dasim, Iblis Yang Tak Suka Suami Isteri Bahagia
Perasan tak dalam rumahtangga ada ketika serba tak kena, kadang rasa nak marah tak tentu pasal, kerap prasangka buruk pada pasangan, isu kecil pun boleh jadi isu besar.
Tengok muka pasangan pun rasa meluat, tapi dalam hati rasa sayang dan bila berjauhan rasa rindu! Hah, bila keadaan ini berlaku, salah satunya adalah berpunca daripada jin/ syaitan penghasut yang bernama “Dasim”.
PERLU TAHU MENGENAI DASIM
1.Dasim adalah iblis yang tak suka suami isteri & keluarga aman dan bahagia. Dasim ini tugasnya adalah menyebarkan sifat emosi yang keterlaluan, mudah marah dan permusuhan pada suami isteri.
2.Selalunya kes rumahtangga Dasim akan cuba meruntuhkan institusi kekeluargaan.Dasim akan cuba mengapi-apikan lagi suami isteri sampai bermusuhan dan buat suami isteri rasa tak tak sefahaman tanpa sebab!
3.Si Dasim ni, kerja dia suka buat pasangan terasa hati, dia akan buat orang tu takkan diam diri, bila terasa hati sikit je terus akan turut berperang mulut, keluarkan kata-kata yang menyakitkan hati tanpa berfikir secara waras.Kesannya rumah tangga yang dibina tu akan jadi suram, tawar dan ianya akan tak tenteram.
4.Dasim suka menghasut terutama pada wanita yang datang bulan, baru lepas bersalin atau sedang mengandung, yang sering alami emosi tidak menentu.
5. Dasim ini terlalu jahat hingga dia akan buat kita sanggup lakukan apa sahaja untuk puaskan hati kita yang marah, sampai rumah tangga kita hancur lebur tanpa sebab.
Pergaduhan dan perselisihan didalam rumahtangga memang hasutan dan kerja syaitan, namun kita suami isteri juga perlu kuat dengan mendekatkan diri pada Allah, buat perkara-perkara baik yang mana boleh menjernihkan kembali rumah tangga. Jangan mudah terpedaya dan terperangkap dengan hasutan ini.
6 TIP ELAKKAN HASUTAN DASIM
1. Bila tengah marah pada pasangan MENGUCAP DAN BERISTIFAR banyak-banyak, tarik nafas dan cari tempat yang menenangkan dalam rumah. Marah bagaikan api, redakan ia dengan air, mengambil wuduk dan tunaikan solat sunat dua rakaat.
2. Bila salah faham cepat-cepat MOHON MAAF pada pasangan dan jangan tunggu lama-lama. Ia akan menghilangkan prasangka dan rasa marah dalan diri.
3. Amalkan makan dan solat jemaah bersama-sama, BACA DOA SAMA- SAMA.
4. Ramai tak sedar benda ni. Bilik kosong yang dibiar lama, tambah-tambah yang ada katil & selimut akan buatkan iblis menumpang dalam selimut. Sebab tu Rasullah juga pernah berpesan “ketuk/libas” selimut bantal sebelum naik atas katil/tempat tidur & kerapkan juga solat & berzikir di dalam bilik-bilik yang tak berpenghuni tu. Buka pintu.. biar bila azan/ zikir/ mengaji Quran pun suara kita boleh didengar sampai ke bilik bilik kosong tu.
5. Jangan lupa memberi salam setiap kali masuk ke rumah, walaupun tiada orang didalam rumah.Rumah yang tidak diberikan salam, memudahkan ‘Dasim’ melakukan kerja dan hasutannya didalam rumahtangga.
6. Kerap baca yassin dalam rumah, bacalah setiap malam jumaat dan kalau nak lagi baik BACA AL-QURAN. Kalau suami tak sempat, isteri buat, kalau dua-dua tak sempat, galakkan anak-anak buat, kalau memang semua tak sempat, pasang MP3 pun ok. Biar ayat-ayat suci berkumandang dalam rumah kita!
Iblis dan syaitan laknatullah ni tak akan tenang selagi rumahtangga yang dibina tu hancur! Dari hari pertama kita nikah sahaja dia sudah menangis terpekek lolong! kalau kita bercerai-berai dia akan berpesta gembira!
Selamatkanlah rumahtangga kita, semoga dijauhkan daripada godaan syaitan dan iblis. Moga rumahtangga yang dibina berkekalan hingga ke Jannah! Amin.
Sumber kredit: Pusat Rawatan Islam Al Maliki Syifa Group
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Cari Bakal Pasangan Hidup Kalau Boleh Pilihlah Yang Sekufu
Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/520-525), ketika membincangkan berkenaan memilih pasangan yang sekufu’, menyatakan:
Kufu’ bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek:
Agama dan kesolehan
Seorang lelaki yang fasiq tidak sama dengan perempuan yang solehah. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ
Maksudnya: Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasiq? Mereka tidak sama. Surah al-Sajadah
Walaubagaimanapun, kita perlu membezakan antara orang yang beragama dengan orang yang belajar agama. Istilah yang digunakan oleh Nabi SAW kepada perempuan zat al-din (ذات الدين) atau dikenali sebagai mutadayyin. Sedangkan yang belajar agama sudah tentu mempunyai ilmu dan kefahaman yang baik, tetapi kadang-kadang tidak diamalkannya. Apa yang perlu, mencari pasangan yang mematuhi agama dan lebih baik apabila mempunyai kefahaman agama serta ilmunya.
Pekerjaan
Seseorang yang mempunyai pekerjaan bertaraf rendah seperti tukang sapu, tukang bekam, pengembala ternakan, pencuci tandas adalah tidak kufu mengahwini anak perempuan seorang ilmuan, hakim atau ahli perniagaan.
Sebenarnya pekerjaan boleh dibahagikan kepada dua. Ada yang mulia tetapi bukanlah kaya. Ada pula yang nampak biasa tetapi boleh menghasilkan jutaan ringgit apabila mempunyai kreatif, inovatif dan pandai mencari pasaran serta peluang untuk menjana pendapatan melalui pelaburan dan perniagaan.
Tidak cacat
Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menyebabkan pasangan berhak memilih untuk fasakh perkahwinannya. Seorang lelaki yang gila atau sopak tidak sekufu dengan seorang perempuan yang tidak berpenyakit seperti itu.
Kecacatan boleh dibahagikan kepada dua: Pertama, yang mengaibkan seperti HIV, Aids, kusta, gila dan lain-lain. Perkara ini sebaik-baiknya dielakkan melainkan wujudnya persetujuan dan kefahaman yang jelas. Kedua, kecacatan yang kecil seperti cacat sebahagian anggota namun kefungsian masih berlaku. Yang ini tidaklah menjadi penghalang dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan sebaiknya. Kadang-kadang, kita lihat pasangan seperti ini jauh lebih bahagia dari yang sempurna sifatnya.
DEMI KELANGSUNGAN HIDUP SUAMI ISTERI
Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah, tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.
Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.
Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah.
Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan.
Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ
Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.” Riwayat al-Hakim
KESIMPULAN
Kami berpendapat, antara perkara yang paling penting dalam memahami sekufu’ adalah lebih kepada pasangan itu sendiri dan bukan semata-mata keluarga. Sebagai contoh, dua pelajar yang bergraduasi dari universiti sedangkan antara dua keluarga mungkin terdapat perbezaan taraf. Tetapi, wujud antara dua pelajar tersebut sifat keserasian serta perasaan tolak ansur yang begitu tinggi antara keduanya. Maka hal seperti ini boleh dipertimbangkan.
Pada saat ini, suasana mungkin sudah berubah berbanding empat puluh atau lima puluh tahun dahulu di mana lingkaran hubungan bukan lagi dibatasi dengan kekeluargaan dan kampungan tetapi ia jauh merentasi sempadan negeri, negara, bangsa, warna kulit, kaum, dan lain-lain. Justeru, yang paling penting adalah sifat kesolehan yang terwujud pada pasangan. Begitu juga perasaan kasih sayang dan cinta tumbuh dengan mekar pada pasangan tersebut.
Akhir kalam, kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” Surah al-Furqan (74)
Sumber kredit: Mufti Wilayah
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI