Di Sebalik Kisah Payung Emas, Antara Mitos Dan Kebenaran

Share

Berkenaan dengan payung emas, tidak terdapat di dalam al-Quran ataupun al-Hadith tentang payung emas. Ini bermakna payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar.

Di dalam al-Quran memang terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang alam perkahwinan atau hubungan sesama suami dan isteri tetapi payung emas tidak disebut sama sekali. Begitu juga dalam al-Hadith, ada disebut tentang kelebihan seorang isteri yang mentaati suaminya dan sabar dalam menghadapi alam rumah tangga.

Contoh ayat al-Quran yang bercerita tentang hubungan sesama suami dan isteri adalah:

Firman Allah SWT:
فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ

Maksudnya: “Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka.” [An-Nisa:34]

Di dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya dan ta’at kepada suaminya, Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki.”[Riwayat Ibn Hibban, 9/471]

Kesimpulannya terdapat banyak lagi ayat al-Quran dan al-Hadith yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri. Namun tidak terdapat sepotong ayat al-Quran atau al-Hadith yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana yang didakwa.

Sumber: S.S Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
wan erni