Baru-baru ini tular gambar seorang budak lelaki sedang menyuapkan nasi ke mulut adiknya di sebuah kantin sekolah. Gambar yang merakamkan momen gambar kedua beradik itu mendapat perhatian dan bualan daripada netizen.

Gambar tersebut telah dirakam oleh petugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya, Setiu Terengganu tempat adik beradik itu bersekolah. Kasih sejati yang dipamerkan oleh seorang abang kepada adiknya begitu menjentik jiwa.

Orang Kelainan Upaya

Difahamkan bahawa murid lelaki tersebut, Muhamad Hisham Ismail, 11 adalah pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana masalah pembelajaran. Namun kasih kepada adiknya, Nur Dina, 7 tidak terungkap dengan kata-kata. Dia sanggup berkongsi sepinggan nasi dan segelas air bersama adiknya.

Allahuakbar…mulianya hati seorang abang meskipun dia tidak ‘sempurna’ seperti orang lain. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh murid lelaki ini boleh dikatakan melebihi kanak-kanak normal yang lain.

Menurut bapanya, Ismail Setapa, 36, Muhamad Hisham mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Kedua-dua anaknya berkongsi makanan dan minuman sejak dua tahun yang lalu. Sudah menjadi rutin si abang menyuapkan makanan kepada adiknya setiap hari.

IKLAN

Muhamad Hisham mula berkongsi makanan dengan adiknya sejak dia di tahun tiga lagi  manakala adiknya ketika itu berusia lima tahun dan sedang belajar di pra sekolah di sekolah yang sama.

Di Sebalik Viralnya Kisah Sepinggan Nasi, Mulianya Hati Seorang Abang

DIASUH MENYAYANGI ANTARA SATU SAMA LAIN

Menurut bapanya, sama ada dia atau isterinya akan menghantar kedua beradik itu awal ke sekolah setiap pagi kira-kira 6.45 pagi. Ini kerana Muhamad Hisham perlu makan makanan RMT yang disediakan di kantin sekolah bermula jam 7.00 pagi.

IKLAN

“Muhamad Hisham akan membawa adiknya ke kantin untuk berkongsi makanan sementara menunggu masuk kelas pra. Ketika itu hanya Muhamad Hisham sahaja yang menerima bantuan makanan tersebut kerana tiada bantuan RMT untuk murid pra sekolah,” ujar Ismail yang tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pak Kancil, Bandar Permaisuri.

Tambah Ismail, begitulah rutin Muhamad Hisham bersama adiknya sejak 2017 hingga sekarang. Malah apa yang dilakukannya bukan hanya di sekolah sahaja tetapi juga di rumah.

“Dia bukan sayang kepada Nur Dina sahaja tetapi turut menunjukkan kasih sayang kepada kakak dan seorang lagi adiknya, Muhammad Hilmi, 3 tahun. Malah semua adik beradiknya telah diasuh oleh ibu mereka agar saling sayang menyayangi sejak mereka masih kecil lagi,” kata Ismail.

SELALU SUAP MAKANAN

IKLAN

Kakak Muhamad Hisham yang berusia 14 tahun juga sering menyuapkan makanan kepada adik-adiknya. Akrab sungguh hubungan adik beradik ini. Berjaya cara asuhan kedua ibu bapa anak-anak ini mendidik anak-anak.

Difahamkan bahawa selain Muhamad Hisham, adiknya Nur Dina layak mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Permohonan ibu bapa kedua murid-murid ini telah diluluskan cuma pemberian bantuan makanan untuk Tahun satu hanya akan bermula pada Februari.

Moga kisah keakraban dua beradik ini dijadikan contoh menggambarkan betapa utuh dan tingginya nilai kasih sayang antara adik beradik. Moga keluarga ini terus dilimpahi rahmat dan dipermudahkan segala urusan mereka. Aamiin.

Sumber kredit: Sinar Harian

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI