Tuntutan harta sepencarian sering menjadi kemelut pasangan bercerai. Malang nasib seorang wanita setelah diceraikan dia dihalau keluar rumah atas alasan rumah yang diduduki itu bukan hak bersama walaupun dibeli semasa mereka masih lagi sebagai suami isteri.
Ikatan perkahwinan selama 30 tahun terlerai dengan kemelut atas perbuatan bekas suami yang turut menghalau dua orang anak mereka.
Kes tuntutan harta sepencarian ini bukanlah kes boleh diambil sambil lewa. Ia turut melibatkan hak orang lain. Justeru kita ikuti penjelasan lanjut berdasarkan masalah yang diajukan.
“Suami mengatakan saya tiada hak atas rumah tersebut kerana hanya nama suami sahaja sebagai pemilik kediaman yang dibeli. Persoalannya sekarang, adakah saya boleh menuntut di Mahkamah Syariah supaya rumah tersebut dijadikan sebagai harta sepencarian walaupun saya tidak ada mengeluarkan wang dalam proses pembelian rumah tersebut? Dan berapakah kadar yang selayaknya saya terima? Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
1) Terima kasih atas soalan yang telah diajukan tersebut. Jadi, melihat kepada permasalahan puan di atas, apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah terdapat beberapa isu yang boleh diketengahkan:
Sama ada harta yang dituntut merupakan harta sepencarian atau tidak
Sama ada wujud sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan kepada pihak-pihak
Jadi, saya akan cuba menjawab satu-persatu berkenaan isu di atas.
Isu Pertama: Sama Ada Harta Yang Dituntut Merupakan Harta Sepencarian Atau Tidak
2) Perkara ini boleh dirujuk mengikut seksyen 2 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 berkenaan dengan tafsiran harta sepencarian:
“Harta sepencarian” ertinya harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-yarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;
Ads
3) Malah perkara ini juga telah dinyatakan secara jelas di dalam Enakmen yang sama seksyen 122(1) yang memperuntukkan:
“Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah penceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa yang diperoleh oleh pihak-pihak sewaktu perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak”
4) Di dalam Al-quran berdasarkan firman Allah di dalam surah An-Nisa’ ayat 32 ada menyebut:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain kerana bagi lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya dan Bagi perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnianya Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”
Berdasarkan kepada nas Al-Quran di atas jelas menyatakan bahawa perempuan (isteri) mempunyai hak ke atas apa yang diusahakan termasuk juga dalam apa-apa usaha yang mendorong suami berjaya dalam kehidupan seharian sehingga suami berjaya memiliki harta harta tersebut.
Usaha ini dikenali sebagai “sumbangan tidak langsung”. Usaha ini secara tidak langsung mendapat pengiktirafan dan ianya dijadikan asas di dalam harta sepencarian kerana peranan isteri dalam urusan rumah tangga adalah usaha yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.
5) Manakala dari sudut hukum adat pula, walaupun perkataan Harta Sepencarian ini tidak dinyatakan secara khusus oleh syarak, namun ianya merupakan adat Melayu yang telah diterima pakai dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wanita.
Oleh yang demikian tuntutan harta sepencarian di Malaysia adalah berdasarkan kepada adat atau ‘uruf.
Sesuatu perkara yang menjadi adat atau ‘uruf yang tidak bertentangan dengan hukum syarak serta menjadi kebiasaan amalan, maka ia layak diiktiraf dari sudut undang-undang.
Ads
6) Dalam hal ini, bagi menentukan sama ada harta tersebut adalah harta sepencarian atau tidak, maka mahkamah akan melihat kepada tempoh masa harta tersebut diperolehi dan sama ada wujud atau tidak sumbangan kedua-dua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memperolehi harta tersebut.
7) Pihak yang ingin menuntut perlulah membuktikan kepada mahkamah bahawa harta sepencarian tersebut sama ada harta alih (seperti wang simpanan dan kereta) atau harta tak alih (seperti rumah atau hartanah) telah diperoleh dalam tempoh perkahwinan.
Seandainya harta yang dikumpul itu berlaku selepas penceraian, maka tidaklah dianggap sebagai harta sepencarian.
8) Seorang suami tidak boleh menentukan hak ke atas harta yang bukan mutlak walau namanya tertera sebagai pemilik.
Setiap harta yang dibeli walau hanya atas nama suami, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian apabila isteri turut menyumbang.
Sumbangan yang dimaksudkan bukan sekadar wang ringgit tetapi tenaga, dorongan dan sokongan yang diberi sehingga membolehkan harta tersebut dikumpul.
9) Jadi, berikutan dengan permasalahan ini, seandainya dapat dibuktikan bahawa rumah teres tersebut telah diperolehi bersama sewaktu dalam perkahwinan sama ada bukti melalui dokumen-dokumen ataupun saksi-saksi maka saya percaya puan juga berhak ke atas rumah tersebut dan ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian.
Dalam hal ini, mahkamah akan melihat kepada faktor-faktor tertentu seperti sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan. Maka perkara ini akan dijelaskan pada isu yang kedua.
Ads
Isu Kedua: Sama Ada Wujud Sumbangan Pihak-Pihak Bagi Memperolehi Harta Tersebut Dan Kadar Yang Harus Dibahagikan Kepada Pihak-Pihak
10) Perlu dijelaskan disini, sebelum mahkamah menetapkan kadar yang perlu dibahagikan kepada pihak-pihak, mahkamah akan melihat kepada sumbangan yang diberikan di antara kedua-dua pihak. Ini kerana harta sepencarian merupakan tuntutan yang kadarnya ditentukan berdasarkan kepada sedikit atau banyaknya takat sumbangan yang diberikan.
11) Sumbangan yang dimaksudkan di sini ialah merujuk kepada sumbangan secara langsung dan sumbangan tidak langsung:
Sumbangan secara langsung ini merujuk kepada usaha yang diberikan oleh kedua-dua pihak untuk memperoleh harta tersebut. Antara seperti sumbangan dari sudut kewangan.
Manakala, bagi sumbangan tidak langsung pula kebiasaannya merujuk kepada kerja-kerja rumah yang dilaksanakan oleh isteri dalam menguruskan rumah tangga.
Ini termasuklah idea, dorongan serta keselesaan yang dikecapi suami sehingga membolehkannya mendapatkan harta tersebut
12) Sekiranya harta itu merupakan harta usaha bersama, maka faktor-faktor yang akan diambil kira oleh mahkamah termasuklah takat sumbangan tiap-tiap pihak. Antara bentuk sumbangan itu, ialah dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh harta tersebut, hutang-hutang yang telah dibuat bagi manfaat bersama mereka serta keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu.
13) Namun sekiranya harta tersebut merupakan harta tunggal, mahkamah akan melihat kepada sumbangan tidak langsung yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh harta itu. Sebagai contoh melakukan kebajikan keluarga seperti memelihara rumah tangga, memenuhi keperluan anak-anak dan sebagainya.
14) Berkenaan dengan kadar pembahagian harta pula, ianya boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:
Pembahagian sepertiga atau kurang kepada isteri: Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila si isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
Pembahagian sama rata: Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
Pembahagian melebihi separuh (1/2) kepada isteri: Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.
KESIMPULAN
15) Maka apa yang boleh saya simpulkan di sini ialah saya percaya Puan berhak untuk menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian.
Ini berdasarkan kepada sumbangan tidak langsung yang telah puan berikan sepanjang mendirikan rumah tangga meskipun bukan sumbangan dalam bentuk kewangan.
Saya menasihati puan agar mendapatkan khidmat peguam syarie kes puan dapat berjalan dengan lancar memandangkan mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes sebegini. Sekian.
Sudah hampir tiga hari pelawak Abam Bocey meninggalkan dunia ini. Walaupun dua hari telah berlalu, namun masih ramai yang memperkatakan tentang kematiannya yang sangat dicemburui.
Ternyata ramai yang menyayangi pelawak ini hinggakan solat jenazahnya seperti orang solat Jumaat. Betapa ramai yang menyayangi arwah yang baru berusia 32 tahun.
Ramai yang membicarakan kebaikan dilakukan Abam Bocey ketika hayatnya dan salah satunya dari Khairul Hakimin Muhammad yang memberitahu isi hati dari ibu arwah, Puan Sabariah Arshat.
Ternyata semasa hayatnya Abam sangat menyayangi ibunya ini dan insan istimewa ini dilayan bagai menatang minyak yang penuh.
Menurut ibunya memberitahu bahawa arwah seorang anak yang baik, jaga dirinya dengan baik, sangat bersabar dan tidak pernah meninggi suara. Malah Abam sangat menghormati ibunya yang dianggap syurga di bawah telapak kaki ibunya ini.
Walaupun sering menghiburkan orang di luar tetapi apabila balik ke rumah arwah akan menghiburkan hati ibunya dengan layanan anak soleh.
Malah dia menyempurnakan tanggungjawab menjaga ibunya itu dengan penuh keikhlasan. Semoga syurga juga menjadi tempat buat arwah Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mukhtar Syed Mohd ini.
Dalam banyak-banyak berita semalam, saya membaca satu demi satu luahan Puan Sabariah Arshad. Termasuk video yang dimuat naik wartawan dan rakan artis. Ianya memang luahan sempurna seorang ibu.
Semalam, anak yang dikandung 9 bulan, dijaga rapi kemudiannya dewasa dan menjaga beliau dengan paling selesa, menghembuskan nafas terakhir di dalam tidur. Dikejutkan isteri namun tidak lagi bergerak dan bernafas. Maka pulanglah dia ke negeri abadi tanpa sedikit pun pesanan atau nasihat kepada yang tinggal.
Si ibu ini, setiap kali membuka mulut, keluarlah ayat,
“dia sabar dengan saya.” “dia baik sangat dengan saya.” “dia jaga saya baik-baik.” “saya ni sakit, susah berjalan, susah nak buat itu nak buat ini, tapi dia sangat sabar dengan saya, tak pernah tinggi suara, semua dia buat ja.”
Maka inilah yang kita selalu dengar, anak lelaki, syurganya di bawah tapak kaki ibu. Bagaimana rumitnya nak menjaga, nak melayan dan menuruti kehendak ibu, tetap perlu disantuni dengan sebaiknya.
Disebalik gelak ketawa yang kita sering lihat dan terhibur, di luar sana, apabila dia pulang ke rumah, dia menghiburkan ibunya sendiri dengan layanan anak soleh.
Tak ada diberitahu sesiapa, tidak ada selfie sambil membantu ibu, semuanya penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Itulah Abam Bocey yang kita kenal.
Syurga tempatmu insya-Allah. Banyak saya belajar dari kematian almarhum. Semoga kita yang masih berpeluang melihat, sentuhlah hati sendiri dan belajar lihat dan pandang bagaimana seorang ibu menghulurkan kunci syurga dari tangannya sendiri kepada anaknya.
Itulah kejayaan paling besar buat ibu. Nanti berpelukan di sana, anak dah tunggu.
Ya Rabb. Doa kami, semoga Puan terus kuat dan tabah. Kami juga tidak setabah dan sekuat Puan, kehilangan anak adalah kehilangan paling besar buat seorang ibu, namun, bahu kami tetap ada untuk tahan sekejap tangisan, legakan sebentar keresahan. Semoga hal kecil ini dapat menenangkan puan.
Kawan-kawan, santuni emak kita sebaik-baiknya. Mereka sahaja ada kunci pintu syurga kita semua.
Perasaan hasad dengki merupakan satu sifat yang terlarang dalam Islam, dan Allah SWT mengarahkan agar kita meminta perlindungan dari Allah SWT dari kejahatan sifat dengki ini. Firman Allah SWT;
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Maksudnya: Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya. Surah al-Falaq (5)
Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. Sahih al-Bukhari (73)
Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang. Sahih al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, istilah hasad dalam hadith ini sebenarnya membawa maksud al-ghibtoh (الغبطة) iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa rasa mahu melihat nikmat tersebut ditarik dari orang itu. Keinginan ini juga disebut sebagai munafasah atau persaingan, dan ianya terpuji (Mahmud) jika dalam perkara ketaaatan. (Rujuk Fath al-Bari 1/167)
Kesimpulan
Rumusannya, perasaan hasad dan dengki itu pada asasnya adalah dilarang, dan ia jelas dinyatakan melalui ayat al-Qur’an dan hadith yang disebutkan di atas.
Perasaan hasad yang dibenarkan hanyalah pada perkara-perkara kebaikan, dan ia pada asasnya tidaklah disebut sebagai hasad, bahkan ia lebih merupakan satu keinginan (ghibtoh atau raghbah) untuk dikurniakan kelebihan yang sama agar dapat meningkatkan amalan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan tidak pula ingin supaya nikmat itu ditarik dari orang tersebut.
‘Kata-kata ibu bapa adalah doa.’ Mengajar anak jangan sampai menghina, anak pun ada maruah. Tidak dinafikan kadang-kadang kita tidak dapat mengawal perasaan bila amarah menguasai diri.
Namun begitu, janganlah jadikan anak seolah-olah tiada hati dan perasaan. Juga diingatkan anak zaman sekarang tak sama macam dahulu lagi.
Ikuti perkongsian Puan Munirah Mohd Shalleh dan hadam baik-baik perkongsiannya:
I’m just trigered. Mendidih darah aku dekat kedai dobi ini. Tengah berwasap-wasap dengan member-member aku, tiba-tiba dengar pekikan seorang “ayah”.
“Bodoh betul kau ini!” Aku terus berpaling ke arah suara itu.
Seorang anak yang sebaya usia Ihsaan aku anggarkan sedang menarik-narik kain baju yang sudah kering masuk ke dalam beg IKEA.
“Dah buat banyak kali pun bodoh!” sambil dia perhatikan anaknya meletakkan kain-kain tersebut ke dalam beg.
Tanpa bantuan sedikit pun. Anak itu tidak berbunyi walau sepatah. Tangannya ligat memastikan kain-kain baju tersebut tidak jatuh ke lantai semasa memasukkan ke dalam beg.
Adalah Doa
Aku menahan diri dari menegur. Risau mulut aku lancang akhirnya akan bawa pergaduhan.
Tolonglah mak ayah, mengajar jangan sampai mengeluarkan kata-kata yang tidak baik untuk anak-anak.
Kata-kata kita ni adalah doa untuk anak-anak. Setiap butiran percakapan kita akan beri kesan pada anak.
Aku akui sebagai mak ayah, kadang kita ada terbabas.
Tapi untuk mengeluarkan perkataan begitu pada anak oleh seorang Ayah, seorang ibu adakah ianya wajar?
Lagi satu, anak-anak juga ada air muka mereka. Hendak marah, tolonglah jangan marah di khalayak ramai.
Mengajar Jangan Sampai Menghina
Maksud aku bukanlah tidak boleh marah, cukup sekadar beri ingatan jika berada di tempat awam. Tahan diri sebentar.
Masuk dalam kenderaan, masuk dalam rumah marahlah. Tetapi bukan di tempat yang ramai orang.
Mereka anak-anak kita itu juga ada maruah yang mereka perlu jaga. Mengajar, mendidik jangan sampai menghina.
Bodoh si bapa tu aku harap tak menurun dekat anaknya tadi. Eh, aku kalau tidak bersabar tadi, mahunya aku lempang kepala botak bapa dia tadi.
Anak Pun Ada Maruah
Harap tiada yang kata status ini judgmental untuk si ayah tadi. Walau apa situasinya atau apa jua keadaannya, ucapan yang dikeluarkan untuk anak tadi bagi aku sangat tak patut.
Jangan ada yang kata, “Mak ayah dulu lagi la bahasa bukan-bukan, elok saja aku jadi orang.”
Bang, akak. Kita yang sudah tua ini jangan samakan dengan zaman kita dulu.
Budak zaman dulu semua kental, mental kuat sebab tidak terdedah dengan teknologi.
Budak zaman sekarang aku tak kata mereka lembik, tetapi kesan dari peredaran masa, kesihatan mental juga akan sedikit drop.
Kau pernah dengar budak bunuh diri sebab mak ayah selalu kata,
“Kau ini tak bergunalah.”
Ada abang. Baru saja terjadi minggu lepas. Jadi tolong jangan samakan dengan budak zaman dulu dan budak zaman sekarang.
Selain melakukan perubatan moden untuk menyembuhkan sesuatu penyakit, terdapat juga pelbagai kaedah yang diamalkan sebagai alternatif dan ikhtiar untuk merawat penyakit.Antaranya adalah dengan perawatan...