Hubungan

Dijemput Ilahi Sehari Selepas Lahirkan Anak Sulung. ‘Selamat Berpantang Di Taman Syurga Sayang.’

Share

Dijemput Ilahi sehari selepas lahirkan anak sulung. ‘Selamat berpantang di taman syurga sayang.’ Ucapan sang suami meruntun hati wargamaya.

Kehilangan isteri selepas melahirkan zuriat yang dinanti bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Artikel Berkaitan:

‘Bersalin Di Dunia, Berpantang Di Syurga.’ Ibu Ini Meninggal, Selepas Bertarung Nyawa Lahirkan Anak Kelima

Dijemput Ilahi

‘Selamat berpantang di taman syurga sayang… Abang janji akan jaga harta yang sayang bagi untuk kami..al-Fatihah,”

Demikian ucapan meruntun hati Mohamad Sufian Abdullah, 31, menerusi hantaran di Facebook (FB) selepas isterinya, Nur Zalikha Zaharin meninggal dunia akibat serangan jantung pada 8 Mac lalu.

Nur Zalikha dijemput Ilahi sehari selepas melahirkan bayi lelaki yang juga anak sulung hasil perkahwinan dengan Mohamad Sufian.

Sehari Selepas

Lebih menyedihkan apabila Mohamad Sufian dan Nur Zalikha sudah lima tahun menunggu zuriat namun hanya dapat berkongsi kegembiraan itu seketika sahaja.

Kisah itu mendapat perhatian selepas biras Nur Zalikha, Khairul Shafik Shahril, 36, memuat naik video di TikTok menunjukkan suasana ketika hari pengebumian.

Berkongsi perasaannya, Mohamad Sufian mengakui sedih dengan pemergian isterinya tercinta, malah masih merindui kenangan sepanjang mereka bersama.

Lahirkan Anak Sulung

Bagaimanapun, Mohamad Sufian reda dan cuba tabahkan diri untuk membesarkan sendiri anak tanpa isteri tercinta.

“Isteri saya memang ada masalah jantung cuma penyakitnya tidak kritikal malah tiada komplikasi berlaku terhadap kandungannya sepanjang tempoh kehamilan.

“Dia (isteri) juga bersalin secara normal dan dibenarkan pulang ke rumah pada hari kedua.

“Dalam dua jam selepas pulang ke rumah, isteri minta tolong saya keluar belikan makanan dan pulang dari kedai, saya kejutkannya bangun tidur.

“Isteri okay lagi ketika itu namun selepas keluar tandas, dia duduk dan bersandar pada badan saya. Ingatkan dia hanya mahu bermanja tetapi rebah selepas itu sebelum disahkan sudah tidak bernyawa,” katanya.

Selamat Berpantang

Menurut Mohamad Sufian, dia tergamam kerana isterinya pergi disisinya dalam sekelip mata saja.

Meskipun begitu, Mohamad Sufian bersyukur semua urusan selepas pemergian isterinya berjalan lancar malah dia juga berpeluang mengurus dan membawa masuk jenazah isterinya ke liang lahad hingga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampong Pinang, Sungai Lalang, Kedah pada Khamis lalu.

“Kami berkahwin pada Februari 2018 dan sudah lama tunggu zuriat cuma baru sekarang baru dapat rezeki untuk menimang cahaya mata.

“Isteri pernah hamil pada tahun pertama perkahwinan kami namun berlaku komplikasi yang menyebabkan kandungan terpaksa digugurkan selepas mengikut saranan doktor.

“Tahun lalu, isteri berpeluang hamil lagi dan kami memang teruja untuk sambut kelahiran anak bersama, namun apakan daya takdir Tuhan ajalnya tiba sehari selepas bertarung nyawa melahirkan zuriat.

“Sebenarnya, isteri sudah bersedia dengan risiko selepas melahirkan anak dan dia ada tunjuk tanda seperti kakak saya yang meninggal dunia akibat barah tiga bulan lalu cuma waktu itu saya tidak terlalu fikirkannya,” katanya.

Di Taman Syurga Sayang

Dalam masa yang sama, jelas Mohamad Sufian, dia tidak sangka kisah pemergian isterinya itu akan tular dan mendapat perhatian ramai.

Dia terharu kerana ramai menzahirkan ucapan takziah di laman sosial dan berharap mereka yang menonton perkongsian video itu akan sedekahkan al-Fatihah serta mendoakan kesejahteraan roh isterinya.

“Terima kasih kepada yang mendoakan dan beri kata semangat kepada saya.

“Buat masa ini, saya akan duduk di rumah mentua kerana belum pandai menguruskan bayi memandangkan baru pertama kali jadi bapa,” katanya.

Baca Di Sini:

Berpantang Style Makkah, Tak Boleh 100% Ikut Cara Orang Lama. ‘Kalau Takut Mudarat, Baca Bismillahilazi 3X Sebelum Makan.’

Kashoorga : Salam takziah buat seluruh ahli keluarga arwah. Semoga Allah permudahkan urusan suaminya dalam membesarkan zuriat yang amat dinantikan selama ini.

Sumber: myMetro

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat