
Pada bulan Syawal ini ramai yang melakukan puasa enam dan pada masa yang sama banyak juga undangan ke jamuan raya atau rumah terbuka.
Boleh jadi juga sewaktu berpuasa enam ini kita dijemput untuk menghadiri majlis makan-makan tersebut. Dalam hal ini apa yang perlu kita dilakukan, meneruskan puasa sunat atau lebih afdal berbuka.
Menjawab persoalan ini menurut Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri melalui portal Maktabah Al Bakri secara asasnya, seseorang yang melakukan puasa sunat, kemudian dia berbuka dengan sengaja, maka hukumnya adalah makruh. Namun, dia tidak diwajibkan untuk mengqadha’ puasa tersebut.
Antara dalil bahawa dibolehkan untuk membatalkan puasa sunat ialah, seperti dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Hani’ R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksudnya: “Seseorang yang berpuasa sunat menjadi penentu dirinya. Jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.” Riwayat al-Tirmizi (32)
Berbalik kepada persoalan di atas, dibenarkan bagi orang yang melakukan puasa sunat untuk berbuka apabila dijemput ke sesuatu majlis jamuan. Ia berdasarkan hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, katanya:
دَعَا رَجُلٌ إِلَى طَعَامٍ فَقَالَ رَجُلٌ إِنِّي صَائِمٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاكُمْ أَخَاكُمْ وَتَكَلَّفَ لَكُمْ أَفْطِرْ وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ إِنْ شِئْتَ
Maksudnya: “Seorang sahabat telah menjemput ke jamuan makan. (Setelah dihidangkan makanan), salah seorang daripada sahabat berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” Lalu Rasullullah SAW bersabda: Saudara kamu telah menjemput dan bersusah payah untuk kamu. Berbukalah dan gantilah pada hari yang lain sekiranya kamu mahu.”
Menurut ulama’ Syafi’i dan Hanabilah, dalam situasi seseorang yang berpuasa sunat dijemput ke majlis makan maka mereka berpendapat bahawa sunat berbuka sekiranya membebankan dan menyusahkan tuan rumah.
Dalam hal ini dibenarkan baginya untuk menggantikan puasa sunat itu pada hari yang lain. Di samping itu, ia juga dapat memberi kegembiraan kepada pihak tuan rumah yang menjemputnya.
Boleh terus berpuasa jika tidak membebankan tuan rumah
Akan tetapi, jika keadaan dia terus berpuasa itu tidak memberatkan tuan rumah, maka afdal baginya untuk meneruskan puasa tersebut tanpa perlu membatalkannya.

Justeru, seseorang boleh memilih untuk membatalkan puasa sunatnya apabila dia diundang ke jamuan makan. Dengan itu, ia dapat menyenangkan hati tuan rumah yang menjemputnya itu=
Kesimpulannya jika orang yang mengundang tidak tersinggung dan memahami, maka seseorang it boleh meneruskan puasanya di samping mendoakan kepada orang yang mengundang tersebut dengan kebaikan dan keberkatan atas majlis tersebut.
Sebaliknya, jika dalam keadaan pihak yang mengundang itu merasa tersinggung atau keberatan, dan dikhuatiri dengan tempahan yang dilakukan akan menyebabkan berlakunya pembaziran, maka dalam keadaan ini, lebih afdhal baginya untuk membatalkan puasa agar lebih dapat menjaga perasaan dan hubungan silaturrahim.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Baca Lagi: Puasa Enam Tapi Tak Puasa Penuh Bulan Ramadan, Adakah Dapat Ganjaran Pahala Puasa Setahun
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI