Pergerakan dalam solat juga penentu kepada sah atau tidak solat kita. Salah satu rukun solat yang ramai lakukan kesilapan ialah ketika sujud. Al-Quran dan hadis begitu tegas dalam menentukan hukum hakam agama.
Perkara yang wajib, haram, sunat, harus dan makruh perlu jelas kerana ia penentu dosa dan pahala kita. Tiada istilah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
Dalam soal mendirikan solat, kita diajar untuk patuh kepada rukun solat bagi memastikan solat kita itu sah dan seterusnya diterima Allah. Solat sebagai tiang agama, adalah antara perkara utama yang akan ditanyakan Allah di akhirat kelak.
Bukan sahaja bacaan kena betul, pergerakan tubuh menjadi kayu pengukur kepada solat yang sah. Salah satu pergerakan yang kita perlu jaga ialah ketika sujud.
Sejauh mana kita yakin bahawasanya pergerakan kita itu tepat? Mungkin kedudukan dahi sudah betul, tetapi tangan pula tidak menepati cara. Pernah dengar istilah sujud anjing? Kalau nak tahu ulasan lanjut bagaimana kah ia dan hukumnya, kita selami penjelasan ustaz Azhar Idrus ini.
Artikel berkaitan:Salah Cara Sujud, Dibimbangi Solat Bertahun Lama Allah Tak Terima
Artikel berkaitan:Jangan Cepat-Cepat Bangun Bila Sujud Terakhir, Mintaklah PadaNya 3 Perkara Ini Sebelum Terlambat
Bagaimanakah yang dikatakan sebagai sembahyang sujud anjing itu?
Sujud anjing dimaksudkan ialah seseorang merapatkan lengan dan sikunya ke atas lantai ketika melakukan pergerakan ini.
Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. Nabi SAW telah bersabda :
اعْتَدِلُوا فِي السُّجُودِ، وَلا يَبْسُطْ أَحَدُكُمْ ذِرَاعَيْهِ انْبِسَاطَ الْكَلْبِ
“Hendaklah kamu sekalian sujud dengan betul dan jangan kamu hamparkan dua lengannya seperti kedudukan tangan anjing.” (Hadis Syeikhain)
Maksudnya dimakruhkan meletak kedua siku ketika bersujud di atas lantai tetapi hendaklah diangkat kedua siku.
Dari Barra’ bin ‘Azib r.a. Nabi saw bersabda :
إذا سجَدْتَ فضَعْ كفَّيْكَ وارفَعْ مِرْفَقَيْكَ
Ertinya : “Apabila kamu sujud maka letakkan dua tapak tanganmu dan angkatlah dua sikumu.” (Hadith Imam Muslim)
Kesimpulannya dimakruhkan merapatkan kedua siku pada lantai ketika sedang bersujud tetapi tidaklah ia membatalkan sembahyang bahkan sunat diangkat kedua sikunya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Kashoorga: Apabila dah tahu hal ini, jangan lah kita amalkannya kerana jelas ia tidak ikut cara yang betul. Bukan sujud anjing sahaja, ada banyak lagi yang boleh menyebabkan tak sah solat kita hasil pergerakan yang tak betul.