Dimalukan Kerana Curi Tabung Masjid, Perkongsian Pendakwah Dato Dr Abdul Basit Wajar Jadi Pengajaran

Share

Viral di media sosial seorang pemuda dimandikan seolah-olah jenazah selepas tertangkap cuba mencuri tabung masjid.

Walau tidak dinyatakan di lokasi mana namun jelas tindakan imam masjid dan kariah lain dilihat cuba melepaskan geram.

Ramai melihat ada pro dan kontra dalam isu yang dianggap cuba dijadikan pengajaran buat mereka yang cuba mencuri di masjid namun masa yang sama, Islam juga tidak mengajarkan umatnya bertindak zalim dan memalukan orang lain di media sosial.

Jika kita melihat dari satu sudut perseptif saja, kita akan melihat pemuda itu bersalah kerana cuba mencuri dan tertangkap namun apa di dalam hatinya hanya Allah yang tahu (barangkali trauma berterusan). Barangkali dia akan menjadi anti masjid selama-lamanya apatah lagi video itu terus bertebaran. Atau barangkali dirinya akan berubah selepas kejadian ini tular? Wallualam.

Namun dalam memberi pengajaran kepada individu lain, ada baiknya pihak pengurusan AJK Masjid “belajar” dari video pendakwah terkenal, Tuan Guru Dr Abdul Basit yang sering menggunakan gelaran Abu Anas Madani yang juga pentadbir Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian.

Seorang yang cukup aktif dalam bidang dakwah melalui penulisan, kuliah-kuliah, dan pembentangan kertas kerja di seminar-seminar selain kerap muncul dalam rancangan keagamaan di TV, “pengajaran” dari perkongsiannya lebih lembut dan mendidik. Bukan terus menghukum kerana manusia itu sebenarnya boleh berubah jika dididik dengan penuh kelembutan.

Dari perkongsian ceramahnya, pendakwah ini memaklumkan dirinya pernah pergi ke sebuah masjid.
.

“Budak curi tabung masjid. Pakcik jaga masjid tangkap. Semua pakat nak pukul. Kecuali pengerusi masjid.

“Saya kata jangan pukul, bawak budak tu ke sini. Saya nak jumpa. Bila bawak budak tu jumpa saya. Bila mari dia tanya.

“Adik, kenapa adik mencuri. Ini soalan tuan-tuan.Sambil cerita sambil beri nasihat. Bagaimana nak suruh orang sayang masjid. Dia kata, bapa saya tak bagi saya duit. Cikgu sekolah besok nak beli buku ni, tak saya memang tak ada duit. Duit saya memang tak dapat.

“Pengerusi masjid kata, bila saya dengar cerita ini, saya nak menitiskan air mata. Sedih di saat kita makan, makanan nak buka puasa, boleh beli lima enam bungkus plastik, anak kariah aku ada lagi tak boleh beli buku sekolah.

“Pengerusi sedih. Dia cerita dengan saya dia sedih. Tak apalah kalau itu keadaan kamu, dalam islam pun kita tak boleh potong tangan kalau orang mencuri dalam keadaan terdesak. Hari ini saya mengisytiharkan kamu sebagai anak angkat masjid.

“Mu nak apa jumpa saya. Nak duit ke, nak baju sekolah ke, nak makanan ke, mu jumpa saya. Mu jadi anak angkat masjid mu kena solat lima waktu, semua majlis ilmu, Quran kamu kena hadir. Alhamdulillah, budak tu hari ini menjadi penunggu setia masjid, budak yang baik.

“Bagaimana kalau kita halau dia hari itu. Tuan bayangkan bagaimana kalau kita pukul budak tu hari tu. Dialah yang akan jadi manusia pendendam kepada masjid, tidak jadi orang yang cintakan masjid. Teknikal, Alhamdulillah, budak ni dah jadi budak baik.Sekarang ni kalau tak ada jaga masjid, dia jadi jaga masjid, tolong buka pintu, tolong hampar tikar, tolong tutup lampu, alhamdulillah, jadi anak angkat masjid,” katanya lagi.

Moga ramai memahami untuk menjadikan manusia itu sebenar-benar manusia, kekerasan bukanlah pengajarannya kerana kalau kena dengan cara yang baik, hati manusia boleh berubah. Insya Allah.

Published by
almaswa Haji Che Ros