‘Ditimpa strok, tiada siapa nak jaga.’ Hukum suami sakit tinggal sebumbung dengan bekas isteri kerana anak-anaknya mahu menjaga sang ayah yang sakit.
Tidak semua pasangan jodohnya panjang hingga ke hujung usia, ada yang bercerai di pertengahan jalan dan mulakan hidup dengan pasangan baru.
Namun langit tak selalu cerah apabila suami yang berkahwin baru sakit dan isteri barunya tidak dapat menjaganya kerana komitmen lain.
Ikuti perkongsian ini dan hadam baik-baik penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.
Artikel Berkaitan: ‘Sentiasa Berdoa Agar Dia Kembali Sembuh.’ Suami Ini Tidak Pernah Terbeban, Urus Isteri Terlantar Kanser Otak
SOALAN:
Saya bercerai dengan isteri pertama dan berkahwin dengan isteri kedua, setelah itu saya ditimpa sakit iaitu strok, isteri kedua saya tidak mampu untuk menjaga.
Kemudian, anak-anak saya dari isteri pertama buat keputusan untuk menjaga saya di rumah mereka iaitu bersama satu rumah dengan bekas isteri.
Apakah hukum saya berada di rumah bekas isteri dalam masa yang sama saya sedang sakit dan anak-anak hendak jaga saya?
JAWAPAN:
Tidak harus bagi suami tinggal bersama-sama dengan bekas isterinya di dalam sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang didiami bekas isterinya kerana dikhuatiri akan menjurus kepada fitnah dan maksiat.
Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat mahram kepada salah seorang daripada mereka bersama bekas isteri berkenaan atau orang yang setaraf dengan mahram seperti isteri yang lain atau perempuan yang boleh dipercayai, maka suami diharuskan masuk rumah tersebut dan duduk tinggal di situ.
HURAIAN JAWAPAN:
Dilarang bagi pasangan suami, isteri yang sudah tamat iddahnya untuk berada dalam satu rumah kerana hukum bekas suami ketika ini samalah seperti lelaki ajnabi (orang asing) yang lain, iaitu Haram masuk ke dalam rumah dalam keadaan tidak ada mahram atau wanita yang dipercayai di dalamnya.
Keadaan ini boleh menyebabkan terjebak kepada perbuatan khalwat. Dalam meneliti isu ini, kami bawakan sebuah kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hal ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amr R.anhuma:
أَنَّ نَفَرًا مِنْ بَنِي هَاشِمٍ دَخَلُوا عَلَى أَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ وَهِيَ تَحْتَهُ يَوْمَئِذٍ فَرَآهُمْ فَكَرِهَ ذَلِكَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ لَمْ أَرَ إِلاَّ خَيْرًا . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَرَّأَهَا مِنْ ذَلِكَ ” . ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ ” لاَ يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ بَعْدَ يَوْمِي هَذَا عَلَى مُغِيبَةٍ إِلاَّ وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ
Maksudnya: “Suatu ketika beberapa lelaki Bani Hasyim masuk ke rumah Asma binti ‘Umais. Tidak lama kemudian Abu Bakar al-Siddiq juga memasuki rumah tersebut ketika itu Asma binti Umais telah menjadi isteri Abu Bakar. Di dalam rumah Asma, Abu Bakar melihat para lelaki Bani Hasyim tersebut, dan beliau tidak menyukai perkara itu. lalu beliau menceritakan kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata:
“Saya tidak melihat apa-apapun melainkan perkara yang baik sahaja!” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Allah telah membebaskan Asma dari hal-hal buruk itu.” Kemudian Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: “Semenjak hari ini, jangan sekali-kali seorang lelaki menemui wanita yang menyendiri (saat suaminya tidak ada) kecuali dia disertai oleh satu atau dua lelaki lainnya”- Riwayat Muslim
Melihat pada situasi ini anak-anak dan bekas isteri sudah mengizinkan bapa atau bekas suami tinggal bersama mereka.
Perkara yang menjadi larangan dari sudut syarak adalah apabila mereka berada dalam keadaan berdua-duaan. Kerana Nabi SAW bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) melainkan ada yang ketiga iaitu syaitan”.
Riwayat al-Tirmizi
Oleh hal yang demikian, tidak ada halangan dari sudut hukum syarak untuk suami tinggal di dalam satu rumah dengan bekas isterinya selagi mana terdapat mahramnya seperti anak-anak mereka, bahkan ia termasuk amalan yang terpuji dan juga dikira sebagai memuliakan ayah kandung mereka.
Selain itu perkara ini juga memupuk semangat berbudi di antara bekas pasangan suami isteri yang mana perkara ini sangat-sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَنسَوُاْ ٱلۡفَضۡلَ بَيۡنَكُمۡۚ
Maksudnya: “Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri”.
Surah al-Baqarah
Namun, dalam konteks bermuamalat wajib bagi kedua-dua bekas pasangan ini menepati batasan yang di tetapkan oleh syarak sebagai status ajnabi iaitu hubungan yang bukan lagi suami isteri. Selain itu, wajib juga bagi bekas isteri itu menjaga aurat dan etika pakaian menurut syariat di hadapan bekas suaminya.
Dilarang berbual panjang dalam tempat yang lama melainkan atas dasar keperluan. Selain itu, dilarang berkhalwat berdua-duaan di antara mereka. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya:”Janganlah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita melainkan jika terdapat bersamanya mahram”. -Riwayat al-Bukhari.
Baca Di Sini:
Tiada Lagi Peluang Tambah Pahala Jaga Mak Sakit, Ramai Sebak Anak Hilang Syurganya
Kesimpulannya, Islam mewajibkan anak-anak berbuat baik kepada ibu, bapa. Lebih-lebih lagi ibu bapa dalam keadaan sakit yang memerlukan sokongan dan penjagaan dari anak-anak mereka.
Oleh yang demikian, tidak menjadi kesalahan seorang lelaki tinggal serumah bersama bekas isterinya sekiranya menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama fiqh iaitu wujudnya mahram atau wanita ajnabi yang dipercayai dalam rumah itu. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmatnya.
Kashoorga : Bila seorang ayah sakit, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menjaga.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.