Jika dua tahun lalu dia diuji dengan kanser ovari, kini pelakon yang berperwatakan wajah lembut dan keibuan, Wafa Abdul Kadir diuji pula dengan kanser peritoneal tahap 4. Patutlah agak lama wajah Wafa ‘hilang’ dari radar dunia lakonan. Rupa-rupanya dia diuji dengan begitu hebat sekali.
Penasihat Agama dan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Konsultan Perawatan Islam, Datuk Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar telah berkongsi perkembangan terbaru pelakon itu yang pasrah menempuhi kehidupannya meskipun menahan kesakitan dan tidak berupaya untuk banyak bergerak.
CC ADIK Farisha Irwayu Asmawi DEMI SURVIVAL KEHIDUPAN , WAFA TAN SRI ABDUL KADER TERUS TABAH SELAIN MENHADAPI KANSER TAHAP 4 , BELIAU JUGA ADA MEMBUKA PERNIAGAAN SPA – SERENE SPA DI HOSPITAL KPJ DAMANSARA.. ( *DAPATKAN DI CARIAN FB DAN INSTAGRAM )
RAUT wajahnya masih jelita. Walaupun kelihatan menahan sakit dan tak berupaya untuk banyak bergerak, tidak sekalipun dia mengeluh. Malah berkali-kali menyatakan yang semuanya telah ditentukan oleh Yang Maha Esa, dia pasrah dengan yang diberikan kepadanya. Katanya sambil tersenyum, apa pilihan lain yang dia ada, selain reda dan tawakal? Bertemu dengan wanita cekal ini, Wafa Abdul Kadir, 52, atau saya panggil Kak Long @wafaabdulkadir yang mengidap kanser peritoneal, sejenis kanser yang jarang berlaku, banyak mengingatkan diri betapa ujian Tuhan itu datang dalam pelbagai cara.
Diduga berturut-turut bermula pada 2013, akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan pembedahan membetulkan tulang leher sehinggalah disahkan menghidap kanser ovari dua tahun lalu dan yang terkini, kanser peritoneal, Kak Long melihat segala-galanya dari sudut positif. Mengandaikan sakit itu berupa isyarat yang dihadiahkan oleh Yang Esa, sekali gus memberi peluang untuk dia lebih mendekati Allah SWT, dia tidak pernah kesal dengan yang berlaku.
KANSER PERITONEAL TAHAP 4
Begini, akhir 2014 saya mendapat simptom awal kanser. Mulanya ingatkan simptom menopaus atau kesan daripada pembedahan tulang sebelum ini. Apabila berjumpa pakar tulang, dia sahkan tiada punca daripadanya. Jadi saya pergi mendapatkan pakar sakit puan. Dari situlah saya dikesan ada kanser ovari yang sudah merebak ke beberapa bahagian termasuk ovari, uterus dan saluran fallopian. Cara terbaik ialah melalui pembedahan.
Jadi saya dibedah pada April 2015. Tetapi pada awal 2016, saya kena demam, sembelit, cirit-birit dan muntah hijau yang teruk. Saya masuk hospital kerana sangkakan keracunan tetapi kemudian doktor mendapati ada saki-baki sel kanser yang melilit sekitar usus dan dinding ovari. Saya tidak boleh dibedah dan harus mendapatkan rawatan kemoterapi. Saya menjalani 18 kali proses kemoterapi bagi mematikan sel kanser dan selesai pada Jun 2016.
Tetapi baru-baru ini, saya sekali lagi demam, muntah dan cirit-birit sehingga hijau kehitaman dan dibawa ke hospital. Darah saya tidak stabil dan hasil ujian, doktor sahkan yang saya menghidap kanser peritoneal, sejenis kanser yang jarang berlaku.
Ads
Kanser ini merebak ke lapisan dalam dan banyak terdapat di luar usus. Jenis ini dipanggil kanser liar. Tak boleh nak dikikis di bahagian lapisan itu. Saya sendiri sudah memberitahu doktor, buatlah apa pun yang boleh. Kalau mahu dibuang usus saya atau dipendekkan, buat sahaja asalkan saya sihat. Tetapi semua itu tak dapat ditentukan lagi. Saya perlu bertemu dengan pakar di IKN dahulu dan mereka masih memikirkan apa rawatan terbaik untuk kanser ini.
Saya pula tidak boleh menerima sebarangan ubat sebab dari kecil lagi saya alahan dengan sesetengah ubat terutamanya ubat tahan sakit, ponstan. Kalau orang lain makan satu biji ponstan akan kurang sakit tapi saya makan separuh pun boleh membawa maut. Sehinggakan saya memakai gelang besi pada tangan sebagai tanda amaran kepada pihak perubatan sekiranya tiba-tiba saya dimasukkan ke hospital.
Perubatan alternatif? Saya tidak berani. Memang ramai yang cakap itu dan ini bagus tapi saya sudah serik. Pernah pada awal kanser, saya mencuba perubatan alternatif, konon menggunakan daun belalai gajah. Mungkin bagi sesetengah orang berhasil tetapi tidak kepada saya. Apabila saya mengamalkan sekali sahaja, tekanan darah saya jatuh mendadak dan sel darah putih saya bertambah. Doktor tidak izinkan saya lagi kerana saya ada alahan. Tetapi di IKN sendiri, ada perubatan alternatif seperti fisioterapi dan akupuntur yang memang digalakkan oleh doktor.
Dari segi pemakanan? Saya makan mengikut yang disarankan oleh doktor dan pakar pemakanan. Kalau nak diikutkan selera, memang tidak ada nafsu makan langsung tetapi saya paksa untuk mendapatkan tenaga. Kalau tak dipaksa makanan masuk ke mulut, saya akan jadi lebih lemah. Cuma saya terus amal memakan madu dan habatus sauda dan beberapa makanan yang sesuai untuk saya.
Barangkali ada yang mahu dikongsi dengan penghidap kanser yang lain? Jangan ikut perasaan. Kena lawan perasaan malas dan letih. Ketika di IKN dahulu, banyak perkara yang saya belajar. Kami penghidap kanser saling berkongsi ilmu dan memberi semangat. Ada seorang rakan ini yang meminta saya mandi tidak kira waktu selepas habis kemoterapi. Bagi yang tidak tahu, rawatan kemoterapi ini sangat meletihkan dan melemahkan badan. Lain orang lain penerimaannya. Saya akan jadi sangat lembik selepas habis kemoterapi sehingga harus dipapah. Jadi rakan ini menyuruh saya kerap mandi tak kira waktu. Dan memang sangat membantu badan saya menjadi lebih segar.
Bagaimana keadaan ketika ini? Nampak sahaja muka saya sihat kan? Tapi ini sebenarnya kesan steroid. Saya panggil ini muka steroid. Saya sejuk tapi berpeluh. Badan saya ini sebenarnya penuh dengan morfin. Ada pad morfin di badan saya untuk kurangkan sakit. Ketika saya bercakap ini pun, saya tahan sakit sebab perut saya rasa tegang. Saya tak tahu bagaimana nak diterangkan, Allah SWT sahajalah yang tahu sakitnya tapi alhamdulillah, saya boleh harungi.
Masih berhubungan dengan rakan-rakan artis? Saya tidak pernah putus hubungan dengan mereka kerana ada segelintirnya adalah sahabat-sahabat saya. Mereka mengunjungi saya ketika sakit tetapi saya tidaklah gembar-gemburkan kepada orang lain.
Melalui perkongsian Tuan Asmawi Tuan Umar di laman Facebooknya berikut perkembangan terbaru Wafa.
( HARAPAN_KAK_LONG_WAFA )
Sedutan dialog sebelum saya beredar dari rumah Kak Long Wafa Abdul Kader.
@wafaabdulkadir Sungguh menyentuh hati kecil saya.
“..Kak Long,kalau ada apa-apa emergency,call saya segera ya..” Tuan Asmawi
Ads
( Dengan suara yang amat lemah beliau membalas sambil saya dengar dengan perlahan )
“..kalau kak long meninggal dunia, kak long nak dikebumikan sebelah kubur Baba (Alm Tan Sri Abd Kader Talip) dan kubur Mama (Alm Puan Sri Sohair Abdel Moneim Sery) di Kubur Bukit Kiara, katanya Abg Long Tajul sudah ambilkan surat pengesahan kariah, solat itu tidak kiralah di masjid mana pun, tapi kata Abg Long Tajul dia berniat untuk bawa ke kampungnya iaitu Kg Tengku..” ujar Wafa Abdul Kader
“..Kak Long, tolong jangan cakap macam itu, saya tidak mahu dengar dulu kata-kata itu..kita doakan Allah aturkan yang terbaik untuk Kak Long..” ujar saya.
Pada hari ini 4 Februari 2019 saya menziarahi Kak Long Wafa Abdul Kader di rumahnya. Beliau memberitahu saya bahawa badannya sejuk dan kebas serta berdebar-debar. Alhamdulillah, sewaktu saya membacakan Surah Yaasin khusus untuk beliau,beliau mengikutinya walau pun banyak terlelap disebabkan ubat-ubatan terlalu banyak dimasukkan dalam badan beliau.
Saya amat menghargai doa dan kata-kata semangat yang turut dikongsikan oleh para netizen yang baik hati dan budiman.
Sama-samalah kita terus berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan segala keajaiban kurniaan Allah SWT buat beliau.
Kak Long, kita tahu Kak Long seorang yang tabah dan kuat semangat. Allah SWT bersamamu.
TRIVIA
• Berkahwin dengan Tajul Faizal Tamimuddin pada 2010.
• Ayahnya, Tan Sri Abdul Kader Talip merupakan bekas Mufti Wilayah Persekutuan 1991 – 1997 dan meninggal dunia pada 2015.
• Ibunya Puan Sri Datin Sohair Abdel Moneim Sery meninggal dunia beberapa tahun lalu selepas 10 bulan disahkan mengidap kanser ovari.
• Wafa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 18 kali
Sumber kredit: FB: Tuan Asmawi Tuan Umar, Instagram Wafa Abdul Kadir dan Astro Awani
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Tanah Suci Makkah mempunyai kelebihan berbanding tempat lain. Banyak kenangan sejarah Rasulullah SAW dan kebangkitan Islam di Madinah dan kota Makkah. Selain itu Tanah Suci Makkah juga mempunyai kelebihan bagi mereka yang meninggal di sana. Ia berikutan terdapat riwayat menunjukkan Nabi SAW memuji mereka yang meninggal di Tanah Suci.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sekiranya terdapat dalam kalangan kamu yang terpilih meninggal dunia di Madinah (Tanah Suci), maka bergembiralah. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih (oleh Allah) untuk mati di Madinah, Aku akan menjadi saksi dan syafaat untuknya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat al-Tabrani: Hasan Sahih).
Melalui perkongsian di Facebook miliknya, seorang anak muda berkongsi kisah pemergian ibunya ketika menunaikan ibadah umrah di Makkah. Kata pemuda itu, ibunya berkali-kali berpesan supaya mengkebumikan jenazahnya di Makkah jika ditakdirkan meninggal dunia di sana.
Berikut perkongsian Shafwan Redhauddin Shatri.
Makkah.
Special place in my heart. Tanah haram. Tempat terbaik dan paling suci didunia. Tempat adanya Kaabah dan air zamzam. Tempat lahirnya Rasulullah. Tempat Rasulullah menerima wahyu yang pertama. Tempat wafatnya isteri Rasulullah, Siti Khadijah.
Dan juga tempat bersemadi arwah umi.
Umi selalu pesan, kalau umi mati nanti masa buat umrah, jangan bawa balik jenazah umi. Umi nak tanam dekat sini. Berkali kali umi pesan.
8/2/2019
Kami sampai di mekah dan alhamdulillah umi selesai buat umrah bersama2 kami. Cuma umi tersangat lemah dan muntah 2 kali semasa saie. Muka dia sangat pucat. Terus balik ke hotel umi terus baring.
9/2/2019
Umi mengadu dia makin sakit. Susah nak gerak. Dia selalu kata dia rasa “sekok” bahagian perut. Aku dan aqi hanya boleh tolong apa yang mampu sahaja. Urut sana sini. Umi makin kurang menjamah makanan berbanding sebelum ini.
Malam tu, aku dan aqi bawa umi ke tandas. Umi nak sangat makan tohinah dan roti ish. Dia suka makanan tu since aku bawa dia makan2 dimesir dulu. Aqi ambil di Restoran bawa ke bilik. Tohinah, roti ish dan buah zaitun hijau. Itu kali terakhir aku bergurau dengan umi dan bagi makan dekat umi. Umi makan atas wheelchair sambil gurau-gurau dengan aku dan aqi. Sebelum tidur aku sempat potong kuku kaki umi. Sebab sudah panjang.
10/2/2019
Aku minta izin untuk buat umrah ke 2 seorang diri. Umi benarkan. Masa tawaaf, masa saie aku lebih banyak doakan untuk umi dari aku sendiri. Minta Allah kurangkan sakit dia. Minta Allah kasihani dia.
Anak mana sanggup tengok mak sendiri dalam kesakitan.
Balik dari umrah umi mengadu makin sakit dan susah untuk bernafas. Dia tak boleh bergerak ke kanan atau mana2 position. Hanya satu position sahaja dia boleh duduk. Reliving position. Aqi call ambulance untuk bawa umi ke hospital.
Sementara tunggu aqi bawa paramedic masuk ke bilik, aku urut belakang umi. Aku minta maaf dan minta halalkan segala benda dari umi.
Aku menangis masa tu. Umi dalam tahan kesakitan, umi kata “abang, maafkan umi ya”
Lagi berderai air mata aku. Apa hak aku untuk umi minta aku maafkan dia? Aku anak. Dia mak. Aku yang patut minta maaf pada dia.
Sampai di hospital, masyaAllah. Kesabaran diuji setinggi-tingginya. Dengan system hospital arab. Dengan perangai arab. Dengan kehabisan morphine. Perlbagai lagi. Tapi alhamdulillah masih boleh tenang. Suapkan umi air zamzam dan bacakan al-Quran.
Lepas Isya umi makin critical Dr masukkan dalam icu emergency. Kemudian pukul 11 pm umi mula menunjukkan kemerosotan pernafasan dia. MasyaAllah. Sedih tersangat sedih.
Pukul 1 am semua bacaan dimonitor makin rendah. Aku dan aqi bergilirgilir zikir dan mengucap ditelinga umi. Umi pesan bende tu berkali-kali sebelum ini.
Tepat 1:51 am heart rate umi flat di monitor. Masa itu, terkaku, terdiam, rasa dunia stop berpusing.
Seorang manusia, yang doanya untuk aku tiada hijab antara Allah, dah tiada di dunia ini. Apa terjadi selepas itu biar la antara aku dan aqi. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan, dan umi selamat dikebumikan di Tanah Haram Makkah pada hari yang sama selepas waktu asar.
Jenazah umi disembahyang di dalam masjidil Haram yang disembahyangkan oleh beribu mungkin jutaan manusia. MasyaAllah, satu kematian yang dicemburui. Yang terbaik. Yang diimpikan oleh semua orang islam.
Tenanglah umi di sana. Tiada lagi sakit yang umi perlu tanggung lagi. Tiada lagi sekok yang umi akan rasa. Tiada sedih lagi.
Hari ini hari terakhir abang dan aqi di kota haram Makkah, umi. Meninggalkan beribu kenangan manis dan pahit antara kita umi. Meninggalkan tempat paling suci di dunia. Meninggalkan umi di sini buat selama-lamanya.
Maafkan abang, umi. InsyaAllah, jumpa lagi nanti, diSyurga.
Selamat jalan Umi. Terima kasih Umi. Jumpa lagi.
-Makkah, 14 Februari 2019- @ مسجد الحرام – Masjid Al Haram
KASHOORGA: Mungkin akan ada yang bertanya, bolehkah kita sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita di satu daripada dua Tanah Suci ini? Jawapannya, boleh. Umat Islam dibenarkan untuk sentiasa berdoa agar mati di Tanah Suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau ibadat haji.
Sumber kredit: FB: Shafwan Redhauddin Shatri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Tiada kata yang mampu dilafazkan namun itulah yang telah tersurat. Hasrat seorang ibu berada di samping anak lelaki yang terlantar di wad lantaran ditimpa kemalangan jalan raya tidak kesampaian. Lebih memilukan si ibu hanya mampu ‘menonton’ pengebumian anak lelakinya melalui panggilan video.
28 Mei lalu telah berlaku satu kemalangan di hadapan stesen minyak Petronas Serendah. Penunggang motosikal, Rozaimy Adam, 21 meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan tersebut.
MENYUSULI PEMERGIAN SAHABAT BAIK
Pembonceng motosikal Abdul Syaid Abdul Razak, 21, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.15 malam di Hospital Selayang selepas 20 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah menyusuli pemergian sahabatnya yang telah kembali ke rahmatullah terlebih dahulu.
Ketika kemalangan itu berlaku, dua sahabat itu dalam perjalanan pulang dari Serendah ke Selayang. Abdul Syaid menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.15 malam di Hospital Selayang selepas 20 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah.
Menurut Raihan Adam, 34, iaitu kakak kepada arwah Rozaimy, kedua-dua Allahyarham bersahabat baik sejak berusia 7 tahun dengan menetap di Flat Taman Seri Murni, Selayang. Katanya, motosikal ditunggang dua sahabat itu melanggar sebuah lori tangki di hadapan stesen minyak berkenaan.
“Dalam kemalangan malam 23 Ramadan, adik saya meninggal dunia manakala Abdul Syaid parah dengan pendarahan di otak, paru-paru dan mata.
MENINGGAL SELEPAS PEMBEDAHAN
“Abdul Syaid berada di unit rawatan rapi (ICU) selama 15 hari sebelum
diletakkan di wad biasa sejak lima hari lalu.
“Kelmarin arwah menjalani pembedahan di bahagian paru-paru namun ALLAH lebih menyayanginya apabila menghembuskan nafas terakhir selepas satu jam tamat pembedahan,” katanya.
Raihan berkata, arwah Abdul Syaid bekerja di kedai komputer dan tinggal bersama seorang adik lelaki berusia 14 tahun selepas kematian bapa dua tahun lalu.
Menurutnya, ibu kepada dua-beradik itu merupakan warga negara Indonesia dan terpaksa kembali ke Jakarta pada tahun lepas kerana tamat tempoh visa.
“Mereka ada seorang lagi adik orang kurang upaya (OKU) tapi sudah meninggal dunia sebelum emak mereka pulang ke Indonesia.
“Sepanjang arwah berada di hospital akibat kemalangan, adiknya berusia 14 tahun tinggal sendirian di rumah yang diwakafkan oleh kawan arwah bapa mereka.
“Memandangkan sudah lama kenal, keluarga saya dan jiran berdekatan turut membantu makan minum adiknya itu,” katanya.
IBU TAK SEMPAT PERBAHARUI VISA
Raihan berkata, mereka turut mengutip sumbangan daripada kenalan bagi memastikan ibu kepada arwah Abdul Syaid dapat datang ke negara ini untuk menemani anak di hospital.
Menurutnya, ibu yang dikenali dengan panggilan Cik Wati tidak berkemampuan untuk menampung kos memperbaharui visa.
“Meskipun sebanyak RM2,000 berjaya diperoleh namun urusan berkenaan tidak sempat diselesaikan.
“Arwah pergi buat selama-lamanya tanpa ibu di sisi dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Selayang.
“Saya membuat panggilan video bagi membolehkan ibunya menyaksikan pengebumian arwah anak dan kubur Allahyarham Abdul Syaid bersebelahan dengan kubur arwah adik saya,” katanya.
Ramai selebriti mengerjakan umrah pada tahun ini termasuklah Saharul Ridzwan. Menunaikan ibadah umrah bersama isterinya, Deena Emir dan anak mereka, Muhammad Luth Ali. Melalui laman Instagram Saharul mahupun Deena, masing-masing berkongsi potret ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah.
Namun apa yang menarik perhatian ialah gelagat anak mereka dengan pakaian ihram. Sesiapa yang melihat pasti akan geram dengan dengan wajah comel Ali. Bertuahnya Ali, dalam usia yang masih ‘hijau’ telah berpeluang menjejakkan kasi ke bumi Makkah.
Berikut beberapa gambar yang dikongsikan oleh Saharul dan juga Deena di laman Instagram mereka.
Bagus sebenarnya mendidik anak-anak mengenal ajaran agama Islam sejak mereka masih kecil lagi. Kata pepatah, melentur buluh, biarlah daripada rebungnya. Semoga Ali membesar menjadi seorang anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapanya.
Sumber kredit: @Saharul Ridzwan dan Deena Emir
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?