Minggu lalu Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.
Bagi yang banyak melabur di institusi ini sudah pasti sudah mengira pulangannya. Tapi dalam kegembiraan bakal menerima dividen ini Januari nanti jangan lupa pelaburan ASB wajib dibayar zakat. Ia perlu dilunaskan.
Ikuti penjelasan Pusat Pungutan Zakat mengapa ASB dikenakan zakat dan bagaimana cara pengiraannya.
Kenapa pelaburan ASB perlu bayar zakat
Zakat diwajibkan ke atas pelaburan di ASB kerana terdapat sebuah kaedah dalam ibadah zakat yang berbunyi كل مال نام فهو وعاء للزكاة. Ini bermaksud setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat.
Pelaburan yang dibuat di ASB adalah bertujuan untuk mengembangkan harta dan mendapat pulangan berupa keuntungan yang diperolehi menerusi dividen, bonus dan pendapatan ASB setiap tahun. Oleh yang demikian, sesuatu hasil yang diperoleh menerusi pengembangan harta (yang disandarkan kepada emas dan perak) dikenakan zakat sebanyak 2.5%.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu mata wang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali setelah genapnya haul (setahun).”
(Riwayat Abu Dawud dan al-Baihaqi)
Begitu juga dalam sebuah hadis yang lain:
“Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu”
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham = 5 dirham).
Kaedah Pengiraan Zakat ASB
Pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB boleh dikategorikan berdasarkan beberapa kaedah dan situasi seperti berikut:
1. Pelaburan dibuat menggunakan wang atau modal sendiri
Bagi situasi ini pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan pokok dan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperolehi. Jika diteliti penyata pelaburan ASB yang dikemukakan, baki akhir (atau baki tamat) pelaburan tahunan telah mengambil kira keseluruhan pegangan unit oleh pelabur (modal pokok + dividen). Justeru, formula taksiran zakat adalah seperti berikut:
Ads
Baki Akhir Pelaburan Tahunan x 2.5%
Portal rasmi ASNB turut memaparkan taksiran zakat dengan mengambil kira baki akhir pelaburan pada tahun taksiran semasa sebagaimana contoh jadual berikut:
Berpandukan contoh di atas, penyata pelaburan memaparkan untuk tempoh Januari sehingga Disember pada tahun taksiran semasa, justeru dalam contoh ini nilai dividen telah dimasukkan sekali dalam baki akhir pelaburan.
2. Pelaburan dibuat dengan fasiliti pembiayaan ASB dengan pihak bank
Bagi situasi ini, pengiraan zakat hanya akan dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperolehi sahaja. Adapun bagi modal pelaburan, tidak dikenakan zakat ke atasnya kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan.
Formula kiraan adalah seperti berikut:
Dividen / Pendapatan ASB x 2.5%
Contoh kaedah kiraan seterusnya cuba meraikan beberapa bentuk kaedah pelaburan yang lazimnya diamalkan oleh para pelabur ASB dengan menggunakan fasiliti pembiayaan ASB.
Kes 1: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi TIDAK DIGUNAKAN untuk membuat pembayaran semula pembiayaan.
Ads
Contoh:
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen/ Pendapatan ASB 2021: 5.00% dari RM 200,000 = RM 10,000
= RM 10,000 x 2.5%
= RM 250
Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 250
Dalam contoh ini, nilai dividen yang diperolehi tidak melebihi nisab tahunan zakat.
Mengapa dikenakan zakat juga?
Hal ini memerlukan sedikit perincian. Dalam contoh di atas, pendapatan dari ASB itu dicampurkan dengan kesemua pemilikan harta individu yang telah cukup haulnya untuk dizakatkan. Maka kecukupan nisab dikira secara relatif dengan dicampurkan harta-harta lain yang berada di bawah pemilikan individu terbabit.
Namun, jika individu yang terbabit tidak mempunyai harta-harta lain yang cukup haul dan sedia dizakatkan, maka zakat TIDAK DIKENAKAN ke atas dividen/pendapatan ASB yang tidak mencukupi nisab itu tadi. Kaedah yang sama juga terpakai ke atas nilai-nilai lain di bawah nilai pelaburan maksimum.
Kes 2: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi DIGUNAKAN bagi membuat pembayaran semula pembiayaan.
Dalam kes ini, zakat hanya akan dikenakan ke atas baki atau lebihan dividen/pendapatan ASB yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.
Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama maksimum 30 tahun)
= RM 1,099 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 13,188
= RM 10,000 (dividen/pendapatan ASB) – RM 13,188 (bayaran semula pembiayaan)
= RM (3,188)
Oleh kerana bayaran semula pembiayaan melebihi jumlah dividen yang diterima, maka TIDAK ADA ZAKAT dikenakan. Juga tidak dikenakan zakat jika jumlah dividen menyamai jumlah pembayaran semula pembiayaan.
3. Perolehan selepas penyerahan semula sijil pembiayaan pelaburan ASB
Sebahagian pelabur menggunakan kaedah membuat pembiayaan pelaburan ASB dan dalam tempoh tertentu membuat penebusan sijil (surrender) dan menyelesaikan bayaran baki pembiayaan untuk mendapatkan keuntungan dan pulangan.
Kes 1: Penyerahan semula sijil pelaburan lebih awal sebelum tamat tempoh pembiayaan.
Contoh (i) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun ke-5 dalam tempoh pembiayaan selama 25 tahun:
[Lebihan tunai selepas penyerahan sijil pelaburan + dividen tahun semasa ASB] x 2.5%
[RM 22,002.61 (lebihan tunai penyerahan sijil pelaburan bernilai RM 200,000) + RM 10,000 (dividen tahun semasa ASB)] = RM 32,002.61
= RM 32,002.61 x 2.5%
= RM 800.07
Zakat dikenakan adalah RM 800.07
Contoh (ii) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun akhir pembiayaan / selepas tamat tempoh pembiayaan 25 tahun.
[RM 200,000 (nilai penyerahan sijil pada tahun akhir pembiayaan/selepas tamat tempoh pembiayaan) + RM 10,000 (nilai dividen semasa ASB)] = RM 210,000
= RM 210,000 x 2.5%
= RM 5,250
Zakat dikenakan adalah sebanyak RM 5,250
*Untuk mengetahui nilai serahan (surrender value) yang sebenar, anda perlu merujuk terus kepada pihak ASNB atau bank penyedia fasiliti pembiayaan. Kiraan di atas adalah bertujuan memberi simulasi taksiran sahaja.
Dengan penjelasan ini, diharapkan agar dapat memberikan manfaat dan kefahaman yang jelas kepada para pelabur dan pembayar zakat.
Kita memang digalakkan bangun awal pagi untuk menunaikan solat subuh. Namun perlu diingatkan jangan tidur kembali selepas subuh kerana amalan ini sangat tidak bagus untuk diri kita.
Sepatutnya gantikan suatu aktiviti yang berfaedah seperti melakukan aktiviti senaman yang boleh memberi kesegaran kepada tubuh badan.
Sebenarnya apa aktiviti yang kita lakukan sejam selepas solat subuh itu memberi manfaat yang sangat bagus. Seperti perkongsian yang diberitahu oleh Abu Hurairah Asiifa di laman sosial facebook.
1 jam selepas subuh menentukan bagaimana hala tuju hidup kita.
Jadi, apakah yang perlu kita buat 1 jam selepas subuh?
1. Jangan tidur lepas subuh. Ia menutup banyak pintu rezeki malah akan membuatkan tubuh jadi lemah. Kalau terlalu penat, tunggu waktu syuruk jam 7.00 pagi ke atas. Dan selepas itu rehatlah tak mengapa.
2. Biasakan untuk mandi dan bersihkan diri. Mandi sebelum dan selepas subuh akan membantu sistem badan menjadi segar dan sihat. Juga membuatkan wajah menjadi awet muda. Cubalah!
3. Sarapan. Makan sikit diwaktu pagi membuatkan sistem penghadaman akan berfungsi dengan baik. Ambil sepotong roti pun takpe. Segelas susu dan kopi pun baik. Janji makan atau minum sikit.
4. Ini yang terpenting. Baca Al Quran. Zikir. Selawat. Nak buat atau nak baca atau nak pasang sahaja di Youtube pun tak mengapa. Asalkan kita niat untuk memberi makan buat hati. Hati akan jadi kuat dan tidak akan lemah.
1 jam kita buat semua ini, insyaAllah hidup akan bermakna.
Dan kita mampu melangkah lebih jauh dan bertenaga.
Ketika ini banyak sekali badan bukan kerajaan atau NGO mengutip derma atau dana atas nama untuk membantu pembangunan sekolah pondok, madrasah, masjid, orang sakit, bantuan bencana dan sebagainya.
Tapi pada masa yang sama daripada kutipan derma yang diperoleh, NGO ini mengambil beberapa peratus sebagai komisen atau untuk tujuan pengurusan dan ada juga dilihat hidup mewah. Dalam hal ini apakah hukumnya?
Menurut pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, haram hukumnya mengutip derma untuk sekolah pondok kemudian mengambil komisen dan hidup mewah.
Perkara ini dijelaskan oleh beliau apabila ditanya tentang hal tersebut dalam satu siri ceramahnya.
“Hukumnya haram! Memang ramai yang nak membantu sekolah pondok tapi sebenarnya dengan niat lain untuk dapatkan wang.
“Dr Wahbah al-Zuhaili dalam buku Al fiq Al Islami mengatakan upah pengurusan itu sebenarnya kecil antara 2-3 peratus saja, atau 4 peratus dibenarkan syarak.
“Ini tidak, dapat kutipan RM100k untuk sekolah pondok tapi NGO ambil RM30k atau 30 peratus untuk pengurusan. Itu bukan pengurusan.
“Dalam perbuatan kita biarlah ada keikhlasan. Guna duit kita sekali selain duit sumbangan orang ramai untuk beri bantuan supaya kita tidak rasa ‘sedap’ hingga kita lupa tujuan asal perbuatan kita.
“Ada yang buat NGO dan sebagainya kerana ‘sedap’ dapat sumbangan besar. Contoh dapat RM4 juta sebulan tapi ambil RM1 juta untuk pengurusan bagi urusan gaji dan sebagainya. Lama lama jadi kaya dengan cara itu,” jelas beliau.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Wanita dan perhiasan memang tak dapat dipisahkan. Bukan saja rantai, gelang dan cincin tapi terdapat juga perhiasan pada kaki.
Gelang pada kaki ini juga seringkali siap dengan loceng, bila berjalan maka berbunyilah ia. Akan tetapi adakah pemakaian gelang sebegini dibenarkan memandangkan ia boleh menarik perhatian?
Memetik penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan perhiasan pada asalnya adalah diharuskan sekiranya tiada dalil yang mengharamkannya seperti berlebihan dan melampaui batas dan mendatangkan fitnah.
Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
(Surah al-A’raf, 31)
Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam tafsirnya, apa yang dimaksudkan ayat di atas adalah perintah menutup aurat ketika solat. Oleh itu, menutup aurat apa yang terdapat pada perhiasan di badan. Dan merangkumi apa yang terkandung di dalam ayat ini adalah memakai pakaian yang baik dan bersih, arahan menutup aurat dan penggunaan perhiasan untuk kecantikan. (Lihat Taisir al-karim al-Rahman fi Tafsir kalam al-Mannan, 1/287)
Gelang kaki berbunyi
Berkenaan perhiasan dengan memakai rantai atau gelang kaki bagi perempuan, Allah SWT melarang perempuan menghentakkan kaki supaya gelang kaki itu berbunyi dan bertujuan menarik perhatian lelaki, Firman Allah SWT:
Maksudnya: dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah al-Nur, 31)
Di dalam al-Muasu’ah al-Kuwaitiyyah menaqalkan kata-kata Ibnu Kathir:
“Para wanita di zaman jahiliah pada kaki mereka memakai gelang kaki yang berloceng, dan ketika mereka berjalan sambil menghentakkan kaki supaya didengari dan dilihat oleh golongan lelaki perhiasan yang terdapat di badan mereka. Oleh itu, Allah SWT melarang perempuan muslimah melakukan perkara seperti berikut.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/88)
Imam al-Izz bin Abd al-Salam menafsirkan ayat di atas menyatakan, “Mereka para wanita apabila berjalan sambil menghentakkan kakinya bertujuan untuk mengeluarkan bunyi gelang kakinya maka larangan akan perbuatan tersebut. (Lihat Tafsir al-Izz Abd al-Salam, 2/399)
Imam Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan, “Sesiapa yang melakukan perbuatan berikut (menghentakkan kakinya) bertujuan untuk bermegah-megahan dengan perhiasannya maka perbuatan itu adalah makruh. Dan sesiapa yang melakukannya bertujuan tabarruj serta menarik perhatian lelaki maka perbuatan itu adalah diharamkan dan dikeji.
Begitu juga perbuatan menghentakkan kasut bagi lelaki, sekiranya dilakukan dengan perasaan ujub mmaka diharamkan keran ujub merupakan dosa yang besar, dan sekiranya seseorang lelaki melakukannya kerana tabarruj maka tidak diharuskan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/238)
Imam Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya menyatakan, “Wanita pada zaman Jahiliyyah apabila mereka berjalan dan terdapat gelang pada kaki mereka dan gelang itu tidak berbunyi. Oleh itu, mereka akan menghentakkan kaki supaya gelang kaki itu berbunyi dan diketahui oleh golongan lelaki akan bunyinya.
Maka, Allah SWT melarang kaum Muslimat untuk melakukan perbuatan itu. Begitu juga, sekiranya sesuatu perhiasan yang terlindung, maka ia menggerakkannya (perhiasan) supaya untuk memperlihatkan perhiasannya yang tersembunyi. Oleh itu, perbuatannya itu termasuk di dalam larangan ini. Begitu juga dengan larangan memakai wangian ketika keluar rumah dan dihidu akan wangiannya itu oleh golongan lelaki.” (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 6/49)
Dr. Wahbah Zuhaili dalam menafsirkan ayat di atas menyatakan: “Pemakaian gelang kaki dan menghentak kaki dengan mengeluarkan bunyi bertujuan untuk untuk menarik perhatian lelaki, perbuatan ini adalah dilarang untuk menunjukkan perhiasan dan ini juga merupakan dalil larangan melunakkan suara bagi perempuan. (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 18/212)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada persoalan dan penelitian dalil yang diberikan dapat disimpulkan, larangan ayat di atas, adalah disebabkan sesuatu perbuatan yang boleh mendatangkan fitnah dan menarik perhatian golongan lelaki ajnabi.
Ini seperti perbuatan menghentak kaki atau menggoyangkan tangan supaya mengeluarkan bunyi pada gelang yang dipakainya untuk menarik perhatian golongan lelaki, maka perbuatan itu merupakan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Begitu juga sebaliknya, sekiranya memakai gelang kaki atau tangan bertujuan untuk menarik perhatian suaminya maka perbuatan itu diharuskan. Selain itu, pemakaian gelang kaki atau tangan yang berloceng pada kanak-kanak perempuan bertujuan untuk pengawasan, maka kami berpendapat ianya diharuskan.
Ini juga boleh dikaitkan dengan pemakaian kasut bertumit tinggi, apabila berjalan dapat mengeluarkan bunyi sehingga boleh menarik perhatian lelaki, maka perbuatan itu juga diharamkan kerana ia juga termasuk di dalam larangan ayat di atas. Dan sekiranya sebaliknya maka ia diharuskan.
Oleh itu, dapat disimpulkan di sini, pemakaian gelang kaki mestilah:
Bukan bertujuan untuk tabarruj serta menarik perhatian golongan lelaki ajnabi
Bukan bertujuan untuk ujub, riak dan takabbur.
Tidak berlebihan dan melampaui batas di dalam pemakaikan sehingga menyebabkan pembaziran
Ini seperti yang disarankan oleh Baginda Nabi SAW hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bi al-Ash RA: