Minggu lalu Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.
Bagi yang banyak melabur di institusi ini sudah pasti sudah mengira pulangannya. Tapi dalam kegembiraan bakal menerima dividen ini Januari nanti jangan lupa pelaburan ASB wajib dibayar zakat. Ia perlu dilunaskan.
Ikuti penjelasan Pusat Pungutan Zakat mengapa ASB dikenakan zakat dan bagaimana cara pengiraannya.
Zakat diwajibkan ke atas pelaburan di ASB kerana terdapat sebuah kaedah dalam ibadah zakat yang berbunyi كل مال نام فهو وعاء للزكاة. Ini bermaksud setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat.
Pelaburan yang dibuat di ASB adalah bertujuan untuk mengembangkan harta dan mendapat pulangan berupa keuntungan yang diperolehi menerusi dividen, bonus dan pendapatan ASB setiap tahun. Oleh yang demikian, sesuatu hasil yang diperoleh menerusi pengembangan harta (yang disandarkan kepada emas dan perak) dikenakan zakat sebanyak 2.5%.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu mata wang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali setelah genapnya haul (setahun).”
(Riwayat Abu Dawud dan al-Baihaqi)
Begitu juga dalam sebuah hadis yang lain:
“Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu”
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham = 5 dirham).
Pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB boleh dikategorikan berdasarkan beberapa kaedah dan situasi seperti berikut:
Bagi situasi ini pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan pokok dan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperolehi. Jika diteliti penyata pelaburan ASB yang dikemukakan, baki akhir (atau baki tamat) pelaburan tahunan telah mengambil kira keseluruhan pegangan unit oleh pelabur (modal pokok + dividen). Justeru, formula taksiran zakat adalah seperti berikut:
Baki Akhir Pelaburan Tahunan x 2.5%
Portal rasmi ASNB turut memaparkan taksiran zakat dengan mengambil kira baki akhir pelaburan pada tahun taksiran semasa sebagaimana contoh jadual berikut:
Sumber: https://www.asnb.com.my/zakat.php
Berpandukan contoh di atas, penyata pelaburan memaparkan untuk tempoh Januari sehingga Disember pada tahun taksiran semasa, justeru dalam contoh ini nilai dividen telah dimasukkan sekali dalam baki akhir pelaburan.
Bagi situasi ini, pengiraan zakat hanya akan dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperolehi sahaja. Adapun bagi modal pelaburan, tidak dikenakan zakat ke atasnya kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan.
Formula kiraan adalah seperti berikut:
Dividen / Pendapatan ASB x 2.5%
Contoh kaedah kiraan seterusnya cuba meraikan beberapa bentuk kaedah pelaburan yang lazimnya diamalkan oleh para pelabur ASB dengan menggunakan fasiliti pembiayaan ASB.
Kes 1: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi TIDAK DIGUNAKAN untuk membuat pembayaran semula pembiayaan.
Contoh:
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen/ Pendapatan ASB 2021: 5.00% dari RM 200,000 = RM 10,000
= RM 10,000 x 2.5%
= RM 250
Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 250
Dalam contoh ini, nilai dividen yang diperolehi tidak melebihi nisab tahunan zakat.
Mengapa dikenakan zakat juga?
Hal ini memerlukan sedikit perincian. Dalam contoh di atas, pendapatan dari ASB itu dicampurkan dengan kesemua pemilikan harta individu yang telah cukup haulnya untuk dizakatkan. Maka kecukupan nisab dikira secara relatif dengan dicampurkan harta-harta lain yang berada di bawah pemilikan individu terbabit.
Namun, jika individu yang terbabit tidak mempunyai harta-harta lain yang cukup haul dan sedia dizakatkan, maka zakat TIDAK DIKENAKAN ke atas dividen/pendapatan ASB yang tidak mencukupi nisab itu tadi. Kaedah yang sama juga terpakai ke atas nilai-nilai lain di bawah nilai pelaburan maksimum.
Kes 2: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi DIGUNAKAN bagi membuat pembayaran semula pembiayaan.
Dalam kes ini, zakat hanya akan dikenakan ke atas baki atau lebihan dividen/pendapatan ASB yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.
Contoh (i):
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen/ Pendapatan ASB 2021: 5.00% dari RM 200,000 = RM 10,000
Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama maksimum 30 tahun)
= RM 1,099 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 13,188
= RM 10,000 (dividen/pendapatan ASB) – RM 13,188 (bayaran semula pembiayaan)
= RM (3,188)
Oleh kerana bayaran semula pembiayaan melebihi jumlah dividen yang diterima, maka TIDAK ADA ZAKAT dikenakan. Juga tidak dikenakan zakat jika jumlah dividen menyamai jumlah pembayaran semula pembiayaan.
Sebahagian pelabur menggunakan kaedah membuat pembiayaan pelaburan ASB dan dalam tempoh tertentu membuat penebusan sijil (surrender) dan menyelesaikan bayaran baki pembiayaan untuk mendapatkan keuntungan dan pulangan.
Kes 1: Penyerahan semula sijil pelaburan lebih awal sebelum tamat tempoh pembiayaan.
Contoh (i) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun ke-5 dalam tempoh pembiayaan selama 25 tahun:
[Lebihan tunai selepas penyerahan sijil pelaburan + dividen tahun semasa ASB] x 2.5%
[RM 22,002.61 (lebihan tunai penyerahan sijil pelaburan bernilai RM 200,000) + RM 10,000 (dividen tahun semasa ASB)] = RM 32,002.61
= RM 32,002.61 x 2.5%
= RM 800.07
Zakat dikenakan adalah RM 800.07
Contoh (ii) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun akhir pembiayaan / selepas tamat tempoh pembiayaan 25 tahun.
[RM 200,000 (nilai penyerahan sijil pada tahun akhir pembiayaan/selepas tamat tempoh pembiayaan) + RM 10,000 (nilai dividen semasa ASB)] = RM 210,000
= RM 210,000 x 2.5%
= RM 5,250
Zakat dikenakan adalah sebanyak RM 5,250
*Untuk mengetahui nilai serahan (surrender value) yang sebenar, anda perlu merujuk terus kepada pihak ASNB atau bank penyedia fasiliti pembiayaan. Kiraan di atas adalah bertujuan memberi simulasi taksiran sahaja.
Dengan penjelasan ini, diharapkan agar dapat memberikan manfaat dan kefahaman yang jelas kepada para pelabur dan pembayar zakat.
Sumber: Pusat Pungutan Zakat