Selepas tular perlakuannya mempersendakan seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris di program DidikTV, kemuncaknya penyampai radio Hitz FM Sarawak, DJ Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Shukri meletak jawatan berkuat kuasa di stesen semalam.
Jelas ia satu tindakan berani bagi meredakan ketegangan dan ia juga satu tindakan yang wajar dipuji. Jujurnya tiada manusia tidak melakukan kesilapan dalam hidup dan semua manusia tidak terlepas untuk belajar sesuatu yang berharga.
Sesungguhnya meminta maaf itu satu perlakuan berani dan ia langsung tidak merendahkan martabat seorang muslim.
“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran: ayat 133-134)
Dalam laporan Harian Metro, perletakan jawatan itu disahkan pihak pengurusan Hitz FM Sarawak menerusi hantaran di Instagram.
Dalam satu perkongsian Harian Metro, Hitz FM tetap komited untuk terus memberi maklumat dan hiburan kepada rakyat Malaysia. Berikutan siasatan dalaman kami mengenai kontroversi baru-baru ini yang membabitkan salah seorang penyampai kami, pihak kami sudah menerima perletakan jawatannya berkuatkuasa 22 Februari 2021," tulisnya
Terdahulu, DJ Yusuf atau nama sebenarnya, Muhammad Yusuf Shukri, 29, terbabit kontroversi apabila memuat naik video di aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita.
Video yang dimuat naiknya itu mengundang kecaman netizen hingga dia akhirnya tampil membuat permohonan maaf di Instagram TV pada 20 Februari lalu.
Yusuf menerusi video permohonan maaf itu turut meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru berkenaan bagi membolehkannya memohon maaf atas sikap yang ditunjukkan.
"Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit. Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk," katanya.
Terdahulu, tindakan Yusuf memuat naik video sebagai respons kepada sebutan bahasa Inggeris guru wanita sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah mencetuskan kemarahan netizen yang turut mendesak stesen radio Hitz FM Sarawak memecat Yusuf.
Susulan itu, Yusof digantung tugas serta-merta menerusi kenyataan dikeluarkan wakil pengurusan stesen radio itu pada 19 Februari lalu.
Hasil tinjauan Harian Metro di Instagram Yusuf setakat ini, dia masih belum membuat sebarang kemaskini dan memaklumkan mengenai perletakan jawatannya itu.