
Dosa menghalang penerimaan doa, boleh jadi kerana ini doa kita tidak dimakbulkan meski bertahun-tahun lamanya memanjatkan doa yang sama. Boleh jadi juga dek kerana cara kita berdoa kerana dalam berdoa kepada Yang Maha Esa sudah tentu ada adabnya.
Perkara ini dikongsi oleh Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia dalam satu hantaran di akaun media sosial miliknya.
Dalam perkongsian tersebut beliau mengajak kita menghayati doa oleh Nabi Sulaiman. Ini kerana katanya adalah contoh menarik yang dipersembahkan dalam al-Quran mengenai adab berdoa kepada Allah.
Nabi Sulaiman memohon keampunan dari Allah dahulu sebelum menyebutkan tentang intipati permohonannya yang lain.
Firman Allah:
قَالَ رَبِّ ٱغْفِرْ لِى وَهَبْ لِى مُلْكًا لَّا يَنۢبَغِى لِأَحَدٍۢ مِّنۢ بَعْدِىٓ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ
Kata Nabi Sulaiman: ” Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya “. (Surah Sad: 35)
Jelasnya ayat al-Quran ini memberikan kepada kita satu petunjuk bahawa dosa seseorang seakan-akan berupaya menghalang doanya dari diperkenankan oleh Allah.
Oleh itu, antara adab yang baik ketika memohon sesuatu dari Allah adalah mendahulukan permohonan keampunan dahulu sebelum menyebutkan permintaan lain.
Sumber haram penghalang doa diterima
Atas dasar itu Rasulullah pernah mengingatkan kita bahawa terjerumus dengan sumber haram berupaya menjadi penghalang yang menyebabkan doa seseorang itu tidak diterima.
Sabda Rasulullah:
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
“Kemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dipenuhi dengan sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan diterima? (HR Muslim).
Terang Dr Sanusi lagi ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Razi pula menjelaskan bahawa doa ini mengandungi pengajaran bahawa kita seharusnya memulakan doa mengenai urusan keagamaan dahulu sebelum memohon permintaan dunia.

Kata al-Razi:
دلت هذه الآية على أنه يجب تقديم مهم الدين على مهم الدنيا
“Ayat ini menunjukkan bahawa wajib bagi kita mendahulukan keutamaan agama dahulu sebelum menyebut tentang perkara urusan dunia.”
Oleh yang demikian, ketika berdoa kepada Allah, mulakan pujian kepadaNya, ucapkan selawat kepada Nabi, dan mohonlah keampunan dari Allah dahulu sebelum menyebutkan permintaan kita.
Sumber: Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi
Artikel berkait: Doa Ketika Ditimpa Kesusahan Dan Kesedihan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tampal Ayat Al-Quran Pada Kereta Ada Panduannya, Boleh Jadi Haram Kalau Salah Caranya

Sering kali kita lihat pada kereta ada ayat al-Quran atau zikir ditampal pada kereta. Ia juga boleh menjadi satu cara dakwah bila mana orang lain turut membacanya.
Meskipun begitu ada juga keadaan tindakan menampal ayat suci al-Quran pada kereta ini dilarang dan tidak diboleh. Perkara ini dijelaskan oleh bekas mufti Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
Ujarnya pada asasnya, tidak arahan dan juga larangan yang khusus berkenaan perkara ini, namun sekiranya seseorang ingin melekatkan ayat al-Quran atau pelekat berunsur agama seperti zikir-zikir hendaklah dengan niat yang betul seperti dengan tujuan niat berdakwah atau berkongsi perkara yang baik, dan bukannya sebagai tangkal atau seumpamanya.
Hal ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikanlah daripada aku walau pun hanya satu ayat.” Riwayat al-Bukhari (3461)
Namun begitu, sekiranya niat menampal ayat al-Quran dengan tujuan yang tidak baik seperti untuk menunjuk-nunjuk sehingga menimbulkan perasaan riya’ ataupun dengan tujuan sebagai tangkal, maka ia tidak bolehkan dan dilarang dalam Islam.
Justeru, dalam hal ini, dinasihati bagi sesiapa yang meletakkan pelekat ayat al-Quran atau yang berunsur agama seperti kalimah zikir pada kenderaan dengan mengikuti panduan seperti berikut:
1. Sekiranya pelekat yang berupa ayat Quran atau hadith atau yang berbahasa Arab, adalah lebih baik diletakkan sekali terjemahannya kerana ia lebih mencapai kepada maksud dakwah dan tujuan pelekat itu diletakkan.
2. Letakkan ayat Quran atau hadith di tempat yang kelihatan mulia pada bahagian kenderaan kerana memuliakan Quran dan hadith-hadith Nabi itu adalah disuruh oleh syarak.
3. Tidak meletakkan perkataan-perkataan yang menghina agama lain kerana ia ditegah dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT:
وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu semua memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah. Takut nanti mereka akan memaki pula akan Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” (Surah al-An’am : 108)
4. Tidak terlalu banyak sehingga boleh mengganggu penglihatan pemilik kenderaan. Ini jelas akan membawa kemudharatan. Kaedah menyebutkan:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”

5. Jangan meletakkan ayat-ayat al-Quran berada pada tempat yang rendah sehingga dibimbangi apabila kotor debu atau sebarang najis boleh mengena kepada tulisan tersebut. Hal ini amatlah tidak wajar.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa menampalkan ayat-ayat al-Quran atau kalimah zikir dengan tujuan memberi peringatan atau dengan tujuan dakwah adalah tidak menjadi masalah jika dilakukan dengan sopan, seperti melekatkannya pada cermin kereta atau seumpamanya.
Namun, sekiranya perbuatan menampal ayat-ayat al-Quran pada cermin kereta dengan tujuan sebagai tangkal dan pelindung, atau pun mempunyai risiko untuk ayat-ayat tersebut dipandang rendah, terdedah kepada kemungkinan rosak, atau penyebab kepada kurangnya penghormatan terhadap keagungan ayat-ayat al-Quran, maka ia tidak dibolehkan dan diharamkan jika sekiranya ia digunakan sebagai tangkal dan pelindung kerana ia jelas merupakan perbuatan yang membawa kepada syirik.
Oleh itu, dalam hal ini adalah lebih baik menghadkan tampalan tersebut kepada beberapa zikir atau nasihat yang bermanfaat.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Lailatul Qadar, Malam Yang Dinanti-nantikan

10 akhir Ramadan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin.
Bulan Ramadan, Al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain. Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain.
Kelebihan Malam Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:
- Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
- Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
- Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
- Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.
Waktu Atau Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”
Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”
Adapun mereka yang menentukan malam Lailatulqadar ada banyak pendapat, antaranya:
Pertama:
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:
- Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatulqadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”
- Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.”
- Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.
- Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”
Kedua:
Pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلَاثَ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”
Ketiga:
Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اُطْلُبُوهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلَاثِ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan.”
Keempat:
Pada malam 24 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.”
Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi
Kelima:
Pada malam akhir Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.”
Riwayat Ibn Nasr
Rahsia Menyembunyikan Lailatulqadar
Antara rahsia menyembunyikan Lailatulqadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatulqadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatulqadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya. Begitulah seterusnya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita Lailatulqadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.
Alamat Malam Qadar
Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan. Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:
- Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. Lihat Umdah al-Qari 11/134.
- Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
- Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Lihat Umdah al-Qari 11/134.
Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya?
Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya. Lihat Fath al-Bari 4/268 dan al-Majmu’ 6/461.
Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi: “Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Di Retweet Lebih 22K, Lelaki Ini Dedah 30 Kesan Menakutkan Lakukan Maksiat Tanpa Sedar. Allahuakbar!

Isi Kandungan
ToggleSebagai manusia kita tidak terlepas dari melakukan kekhilafan. Tidak kira kecil atau besar, tidak salah untuk kita terus memohon keampunan dari Allah SWT. Hanya Dia yang berhak untuk mengampunkan setiap doa dilakukan hamabNya ini.
Perkongsian dari pengguna laman sosial twitter menggunakan akaun nama @shukery_azizan yang memberitahu 30 kesan pada diri seseorang jika melakukan maksiat.
Menurutnya maksiat ini adalah apa-apa yang melanggar perintah Allah, sama ada kecik atau besar. Itulah maksiat! Mengumpat pun maksiat, menipu pun maksiat, meniru assignment orang lepas tu claim kita buat pun maksiat juga.
1. Nafsu tidur bertambah
Bila hidup dlm maksiat, secara tak langsung nafsu tidur bertambah dgn mendadak. Disebutkan oleh Imam Hassan al Basri,
“Sesungguhnya ketika seorang hamba melakukan dosa, dia akan terhalang melakukan solat malam dan puasa di siang hari”.
(Al-Maqrizi)
2. Potensi diri ‘terbantut’.
Ini bukan andaian sesuka hati, tapi dah dibuktikan sejak zaman sahabat lagi. Contohnya, surat Saidina Umar kpd Saad Abi Waqqash sblm perang Qadisiyyah, iaitu sebelum pembukaan Parsi.
Antaranya sebahagian isi surat Saidina Umar adalah ;
3. Nafsu makan semakin liar.
Kata Ar Robi’ semasa menambah kata2 Imam Syafie,
“Kerana yang namanya kenyang membuat badan menjadi berat, hati menjadi keras, kecerdasan berkurang, lebih banyak tidur dan malas ibadah.”
(Siyar A’lamin Nubala)
4. Banyak kerja yang tak menjadi.
Maksiat juga buat banyak kerja terbengkalai & sebahagian besarnya langsung tak jadi. Allah sebut,
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit..”
(Surah Taha ayat 124)
5. Allah tarik keberkatan rezeki.
Maksiat menjadi penyebab kenapa rezeki kita terasa sempit. Ianya disebabkan ditariknya keberkatan rezeki. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Seorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang diperbuatnya.”
(Riwayat Imam Ahmad)
6. Hubungan dengan manusia rosak.
Pesanan seorang salaf tentang kesan maksiat yang berlaku pada dirinya sendiri,
“Sesungguhnya aku bermaksiat kepada Allah, maka aku lihat pengaruhnya pada perilaku binatang (kenderaan) dan isteriku.”
(Al-Jawabul kafi)
7. Allah tarik nikmat kesihatan.
Pesanan Ibnu Abbas,
“.. perbuatan buruk (maksiat) itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk.”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
8. Ilmu susah masuk ke dalam hati.
Kata Imam Malik,
“Aku melihat Allah telah menyiratkan dan memberikan cahaya di hatimu, wahai anakku. Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan maksiat.”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
9. Otak malas berfikir.
Kata seorang ulama salaf,
“Perbuatan dosa & maksiat mampu merosakkan akal fikiran manusia kerana dalam akal fikiran ada cahaya, manakala perbuatan derhaka dapat memadamkan cahaya. Apabila cahaya itu padam, akal fikiran menjadi lemah..”
(Al-Jawabul kafi)
10. Allah menarik keberkatan masa.
Masa kita pun akan menjadi tidak berkat sebab kita telah penuhi dengan aktiviti maksiat. Sebab itu Ibnu Qayyim pernah sebut,
“Sungguh! Maksiat itu adalah sebab hilangnya keberkatan rezeki dan waktu.”
11. Allah menarik nikmat beribadah.
Ia sama seperti mana disebutkan oleh Ar Robi’,
“Kerana yang namanya kenyang membuat badan menjadi berat, hati menjadi keras, kecerdasan berkurang, lebih banyak tidur dan malas ibadah.”
(Siyar A’lamin Nubala)
12. Seronok & ketagih buat maksiat.
Kata Imam Ibnu Qayyim,
“Jika sudah seperti itu, hati kita akan melihat maksiat begitu indah. Tidak ada keburukan sama sekali.”
(Al-Jawabul kafi liman sa’ala ‘anid dawa as syafi)
13. Susah menerima teguran dan nasihat.
Allah berfirman dalam surah al-Muthaffifiin ayat 14,
“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
14. Merasakan diri paling hebat & betul.
Maksiat membuatkan kita ego, hingga menganggap kitalah yang paling hebat & betul. Ini yang berlaku kpd bani Israel. Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah di dalam surah as soff ayat 5,
15. Selalu merungut dlm banyak keadaan.
Allah sebut dlm surah al Maarij ayat 19-21,
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Bila ditimpa kesusahan, dia sgt resah gelisah,
Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sgt bakhil kedekut;”
16. Tak suka muhasabah kelemahan diri.
Allah sebutkan di dalam al-Quran,
“Sebenarnya! (Ayat2 Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Muthaffifiin : 14)
17. Sering mencari kesalahan orang lain.
Allah berfirman dlm surah Yaasin ayat ke 18 & 19,
“Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa nahas & malang dgn sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu)..
18. Penyebab kpd turun bala bencana daripada Allah.
Rasulullah pernah beri amaran dalam satu hadith,
“Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab (seksa) kepada mereka.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tidak ada pada waktu itu orang-orang soleh?”
19. Hati tidak rasa apa2 dgn kematian & al-Quran.
Rasulullah bersabda,
“Sesungguhnya hati manusia itu berkarat spt karatnya besi.” Sahabat2 bertanya, “Apakah penggilapnya wahai Rasulullah?” Rasulullah menerangkan, “Membaca Al-Quran dan mengingati mati.”
(Riwayat al-Baihaqi)
20. Sukar untuk bergaul dengan masyarakat
Lihat pada poin nombor 6
21. Jiwa cepat merasa resah.
Rasulullah bersabda,
“Mintalah fatwa pada jiwamu. (baginda menyatakannya sampai 3 kali). Kebaikan adalah sesuatu yang menenangkan jiwa & menenteramkan hati. Sedangkan keburukan (dosa) selalu menggelisahkan jiwa & menggoncang hati.” (Riwayat Ahmad)

22. Cepat putus asa
Allah berfirman
“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dgnnya (sehingga lupa daratan); & jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh dgn mereka sendiri, tiba2 mereka berputus asa.” (Rum:36)
23. Semakin susah utk berzikir kepada Allah.
Imam Ibnu Qayyim pernah menyebut,
“Maksiat dan lalai membuatkannya lupa zikir kepada Allah, sebagaimana tanaman tumbuh kerana air dan kebakaran terjadi kerana api.”25. Cepat marah.
Rasulullah ﷺ bersabda,
“Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api..”
(Riwayat Abu Daud)
24. Suka mencarut
Ramai orang kata, biar mulut jahat asalkan hati baik. Sebenarnya, salah. Apabila hidup suka bermaksiat termasuklah mencarut, itu tandanya imannya ada masalah! Rasulullah ﷺ bersabda,
25. Cepat marah.
Rasulullah ﷺ bersabda,
“Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api..”
(Riwayat Abu Daud)
Syaitan itu sifatnya sukakan maksiat. Mana ada syaitan sukakan pahala dan amal soleh.
26. Terasa berat untuk solat subuh & isyak.
Rasulullah ﷺ pernah memberikan amaran tentang sifat orang munafik,
“Solat yang paling berat untuk orang munafik adalah solat isyak dan solat fajar (subuh).”
(Riwayat Ibnu Majah)
27. Mengelak drpd majlis ilmu
Imam Syafie berkata,
“Aku pernah mengadu kpd Waki’ ttg terjejasnya hafazanku. Beliau membimbingku utk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahu padaku bahawa ilmu adalah cahaya & cahaya Allah tidaklah mungkin diberikan pada ahli maksiat.”
28. Mengelak daripada bersama orang yang soleh.
Maksiat biasanya membuatkan kita SENGAJA menjauhkan diri daripada orang-orang soleh sebab takut daripada ditegur atas maksiat yang kita lakukan. Sebab memang sifat orang soleh adalah mencegah kemungkaran.
29. Memendekkan umur & keberkatan hidup
Kata Ibnu Qayyim,
“Ketahuilah bahawa maksiat dpt mengurangi umur dan pasti dapat pula mengurangi keberkatannya, sebagaimana pula amalan kebaikan dapat menambah umur. Itulah perbuatan dosa dapat mengurangi umur.”
(Al-Jawabul kafi )
30. Maksiat menumbuhkan maksiat lain
Maksiat ini seakan seperti berantai. Apabila kita ketagih dengan satu maksiat, ia akan mengheret kita melakukan maksiat yang lain. Seperti mana kata seorang ulama salaf,
“Jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi pelakunya.”
(Al-Jawabul kafi)
Cuba muhasabah diri, daripada 30 kesan ini, ada tak yang melekat pada diri kita?
Kalau ada, sekarang juga istighfar secepat dan sebanyak mungkin. tak susah pun istighfar. Sebab istigfar itu langkah pertama kita bertaubat n minta ampun pada Allah.
Maksiat ni adalah apa2 yang melanggar perintah Allah, samada kecik atau besar. Itulah maksiat!
Mengumpat pun maksiat, menipu pun maksiat, meniru assignment orang lepas tu claim kita buat pun maksiat juga.
Allahu..
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI