Semua orang tahu bahawa untuk mengurangkan berat badan kita harus mengurangkan kuantiti makanan dan lebih banyak bergerak. Seperti yang diketahui bahawa berat badan yang berlebihan boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.
Untuk mengurangkan penyakit yang disebabkan oleh berat badan yang berlebihan atau obesiti, masyarakat perlu berubah. Namun perubahan tersebut tidak boleh terlalu drastik. Kita memerlukan strategi pengurangan berat badan yang efektif.
Usaha menurunkan berat badan juga bukan sahaja untuk tujuan kesihatan tetapi juga tujuan untuk memudahkan beribadah. Apabila tubuh sihat maka kualiti ibadah juga dapat dipertingkatkan.
Berikut tip yang diberikan oleh Dr Hamid Arshat tentang panduan untuk menurunkan berat badan.
PANDUAN KURANGKAN BERAT BADAN
Pengalaman saya merawat pesakit-pesakit yang gemuk/obesiti memang agak menghampakan kerana hampir 90 peratus gagal menurunkan berat badan.
Yang berjaya turunkan pun hanya 10 peratus dari berat asal. Lepas itu hilang kawalan dan berat naik semula melebihi tahap asal.
Faktor yang amat penting untuk berjaya ialah mengubah cara gaya hidup khususnya tabiat makan. Saya nasihatkan mereka tentang kawalan dan kurangkan amount makanan khususnya yang mengandungi gula dan karbihaidret saperti nasi , roti, mee, kuih-muih, donut, biskut dan makanan junk.
Saya juga tekankan tentang exercise, berjalan kaki, atau berkebun, atau basuh kereta atau bersih rumah selama 30 minit setiap hari.
Perlu kuatkan azam dan kesungguhan serta berusaha dengan tekun untuk mengubah beberapa tabiat yang tidak sesuai.
1. Jangan terlalu laju makan. Habiskan makan selama 20 minit. Jangan cuba berlumba untuk habiskan makanan antara suami isteri. Kunyah perlahan-lahan sampai makanan jadi lumat sebelum ditelan. Tempoh 20 minit atau lebih diperlukan untuk otak dapat signal perut sudah kenyang.
2. Lebihkan tidur satu jam dari biasa. Kurang tidur boleh menjadi lapar dan selera makan meningkat dan makanan-makanan sampingan menyumbang kepada kenaikan berat badan.
3. Cuba hidangkan 3 jenis sayuran untuk makan malam, hidangkan juga buah-buahan. Masak sayur sekejap tanpa overcooking, suhu rendah dan kurangkan guna minyak. Sayur dan buah-buahan mengandungi banyak fiber, vitamin dan antioksiden serta kurang kalori yang menggemukkan.
4. Mulakan makan dengan buah-buahan diikuti sup sayur dan mushroom. Ia boleh mengenyangkan tanpa mengemukkan. Buat sendiri air stok ayam, daging atau ikan bilis untuk sup.
Ads
5. Jauhkan makan bergula dan yang dibuat dari tepung gandum saperti donut, cakes dan lain-lain. Makan ‘whole grain’ wheat. oat, barley dan brown rice.
6. Jauhkan fast foods, kentang goreng, deep fried chicken, burger, hot dog, nuggets.
7. Jauhkan semua jenis minuman soda, fizzy drink, soft drink dan juice dalam botol atau dalam kotak kerana terlalu banyak mengandungi gula dan manisan.
8. Minum teh hijau, ia mempunyai banyak khasiat kerana kandungan catechins dalam teh.
Ads
9. Makan di rumah dengan masakan sendiri sekurang-kurangnya 5 kali dalam seminggu. Banyak faedah masak sendiri, boleh kawal kualiti dengan memilih makanan berzat dan berkhasiat, kurangkan belanja.
10. Amalkan ‘berhenti rehat seketika waktu tengah makan.’ Masa itu ia akan berasa kenyang. Minum air mineral waktu rehat makan.
11. Amalkan kunyah ‘chewing gum’ ketika menonton TV atau ketika melayari internet, ia bertujuan untuk mencegah dari makan junk foods. Orang gemuk kadangkala makan sedikit di hadapan orang lain tetapi di belakang, atau senyap-senyap ia ulang makan.
12. Gunakan pinggan kecil (10′) menggantikan pinggan besar (12′) untuk mengurangkan muatan makanan yang diambil. Lebihkan sayurs-sayuran atau salad dan lauk-lauk dalam hidangan serta kurangkan nasi.
13. Bila makan di restoran, kongsi hidangan, order saiz makanan untuk kanak-kanak, bungkus tapau separuh hidangan sebelum mula makan.
14. Bila rasa lapar dan mengeletar atau ‘craving’ makan segenggam campuran kacang almond, gajus dan peanuts dan minum air mineral. Orang gemok sering ketageh atau ‘craving’ makanan yang manis. Makan buah-buahan atau kacang-kacang waktu ketagih nak makan, jauhkan segala makanan manis dan karbohidrat.
15. Berjalan 30 minit sejauh 2 hingga 3 km, atau cabut rumput rumpai dihalaman rumah, bersihkan kereta atau dalam rumah. Exercise hingga berpeluh. Jauhkan minuman manis selepas exercise atau berkerja. Minum air mineral saja.
KASHOORGA: Paling penting usaha menurunkan berat badan itu perlu kena dengan niat. Bukan kerana ingin menunjuk-nunjuk tetapi untuk memudahkan urusan menunaikan ibadah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Gigi yang cantik menjadi idaman setiap orang. Salah satu cara untuk mendapatkan gigi yang cantik ialah melalui teknik menanam gigi. Menanam gigi di dalam dunia perubatan gigi dikenali sebagai dental implant. Ada dua jenis implant iaitu endosteal implants dan subperiosteal implants. Kedua-dua implant ini adalah jenis implant yang selamat. Proses implant (penanaman) adalah berbeza dengan dental bridge. Ini kerana dental bridge (jambatan) tidak ditanam ke dalam gusi melalui pembedahan seperti implant.
Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, ada perkara utama yang perlu diambil. Apakah tujuan daripada penanaman gigi tersebut. Adakah ianya dilakukan untuk tujuan rawatan atau hanya sekadar untuk kecantikan. Kedua-duanya mempunyai hukum yang berbeza.
Jika ianya dilakukan hanya kerana untuk tujuan kecantikan maka ianya tidak dibolehkan. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi saw
Maksudnya: ”Allah swt melaknat orang lelaki dan perempuan yang melukis tatu, yang menyambung rambut dan yang menjarangkan gigi untuk kelihatan cantik dan yang mengubah ciptaan pemberian Allah.”
Riwayat al-Bukhari (5931)
Kata Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini:
“Difahami daripada hadis bahawa ia adalah satu bentuk perbuatan mazmumah jika dia melakukannya untuk tujuan kecantikan. Jika ianya dilakukan kerana keperluan perubatan maka diharuskan.”
Rujuk Fath al-Bari (10/372)
al-Qastalani menyebut:
“Jika apa yang dilakukannya itu adalah dengan tujuan kecantikan maka ia adalah haram. Jika ianya diperlukan untuk tujuan mengelokkan (mengubati) atau terdapat aib pada gigi maka ianya dibolehkan.”
Rujuk Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari (8/474)
Adapun jika dia melakukannya dengan tujuan rawatan maka ianya harus dan dibolehkan. Bahkan ia menjadi satu keperluan kerana dengan ditanam gigi tersebut maka memudahkan dia untuk makan dan bercakap. Keharusan ini adalah keumuman hadis yang diriwayatkan daripada Usamah Bin Syarik:
Maksudnya: “Berawatlah. Sesungguhnya Allah azza wa jalla tidak mendatangkan penyakit melainkan Dia datangkan juga ubat kecuali satu penyakit (yang tidak boleh disembuhkan ) iaitu tua.
Riwayat Abu Daud (3357)
Di sana juga ada peristiwa yang berlaku kepada seorang sahabat iaitu ‘Arjafah bin As’ad ketika peperangan. Kata beliau:
Maksudnya: ”Hidungku telah terputus pada hari peperangan Kulab di zaman Jahiliyyah. Maka aku mengambil (menggantikan) hidungkan dengan perak. Lalu (beberapa ketika) hidungku mula membusuk. Maka Rasulullah saw memerintahkan aku untuk menggantikan hidungku dengan emas.”
Riwayat al-Tirmizi (1877)
Emas yang asalnya haram digunakan maka ia menjadi harus jika digunakan untuk rawatan berdasarkan apa yang berlaku kepada sahabat Nabi saw iaitu ‘Arjafah Bin As’ad.
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Jika terdapat pada manusia kecacatan yang menyebabkan kesakitan sama ada yang nyata atau secara emosi maka tidak mengapa untuk merawatnya.Selagi mana dia dia lakukan untuk menghilangkan kesakitan tersebut yang mana kesakitan itu menyusahkannya dan menganggu kehidupannya. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan agama ini satu yang payah.”
Kesimpulannya, harus untuk menanam gigi kerana ada maslahat iaitu untuk rawatan yang mana jika tidak dilakukan maka akan menyusahkan dan menyukarkan kehidupan seperti tidak mampu untuk menguyah makanan dan lain-lain. Jika ianya sekadar untuk kecantikan seperti menggantikan gigi yang ada dengan yang lain yang lebih elok, maka seeloknya ianya tidak dilakukan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
“Bukan sakit bersalin yang saya takutkan. Tapi saya serik dengan keadaan dan situasi sepanjang proses kelahiran. Tambah lagi jika datang doktor bersama pelajar-pelajar perubatan lelaki. Seorang demi seorang melihat dan pegang bahagian ####### saya… kata mereka nak tahu ‘bukaan’ rahim berapa…”
Luahan di atas adalah antara suara pesakit yang selalu dilontar ke blog penulis. Pengalaman penulis di hospital juga sedikit sebanyak membenarkan kegusaran sedemikian.
Ditambah lagi dengan kesedaran beragama yang semakin baik di kalangan Muslim Malaysia, maka isu aurat wanita semasa mendapatkan rawatan menjadi sensitiviti dan hak yang semakin perlu diberi perhatian sama ada oleh pesakit, perawat mahupun pihak pemerintah.
Hukum Aurat Pesakit
Sebagaimana Muslim keseluruhannya wajib menutup aurat di hadapan bukan mahram, tidak boleh memandang, bersentuhan apatah lagi berkhalwat dengan insan berlawanan jantina maka hukum yang sama juga ditaklifkan kepada perawat dan pesakit berlainan jantina.
Hukum ini jelas di dalam Surah An-Nur (30-31) agar kedua-dua Mukmin dan Mukminat menundukkan pandangan, menjaga kemaluan dan tidak mendedahkan badan mereka kecuali kepada yang berhak.
Dalam hal ini juga, kebanyakan fatwa ulamak tidak mengharuskan pesakit dirawat perawat berlainan jantina sedari awal lagi atas alasan menutup ruang maksiat, mengelak fitnah di samping menjaga maruah dan sifat malu wanita,. Mereka juga menggesa perawat agar mahir dalam merawat pesakit sama jantina semata-mata. Justeru, hukum asal melihat aurat pesakit berlainan jantina adalah haram sama sekali.
Darurat Melihat Aurat Pesakit
Bagaimanapun hukum asal di atas tertakluk kepada keadaan biasa sahaja. Apabila berlaku keperluan luar biasa iaitu darurat, maka hukum asal itu akan terangkat mengikut satu Kaedah Fiqh “ad-Dharurah Tubihu al-Mahzurat” atau ‘Darurat Mengharuskan yang Terlarang’.
Antara darurat utama adalah untuk memelihara nyawa, seperti digariskan dalam prinsip Maqasid Syariyyah. Dalam kes kecemasan nyawa seperti kebakaran, lemas, kemalangan, serangan jantung, tercekik, sawan, nazak, proses kelahiran luar biasa seperti pembedahan, shoulder dystocia, tumpah darah dan lain-lain seerti dengannya, maka soal Ihtilat dan aurat tidak wujud. Malah menjadi kewajipan doktor yang layak yang berada berdekatan tanpa mengira beza jantina untuk merawat. Dan pesakit yang menolak rawatan sehingga dia mati dianggap berdosa seperti membunuh diri.
Kadar Darurat
Walaupun begitu, keharusan perawat melihat atau pesakit mendedahkan aurat seperti telah dinyatakan tertakluk pula kepada satu Kaedah Fiqh seterusnya iaitu “ad-Dharurah Tuqaddar bi Qadariha” atau ‘Darurat itu Mengikut Kadar Keperluannya’. Jika ada bahagian aurat yang perlu didedahkan, maka cukuplah setakat yang perlu untuk prosedur itu tanpa melampaui bahagian badan lain. Justeru kadar darurat ini akan berubah mengikut keberadaan (availability), capaian (accessibility) dan had (limitation) bentuk perawatan, kepakaran, logistik dan bilangan doktor Muslim yang ada.
Dari segi perawatan, ada prosedur yang bersifat pemeriksaan, penyiasatan, penyelidikan mahupun terapeutik (penyembuhan). Contohnya ujian Pap Smear adalah penyiasatan rutin semata-mata, bukannya langkah terapeutik untuk menyelamatkan nyawa ketika terdesak. Dalam hal ini, pesakit masih mempunyai ruang untuk meminta doktor wanita atau mencari klinik lain bagi mengelak diperiksa doktor lelaki.
Namun begitu, ada perkara yang memerlukan doktor pakar tertentu untuk memeriksanya. Contoh mudah adalah apabila penyakit telinga yang memerlukan pakar ENT memeriksa dengan rapi. Begitu juga pembendahan barah payudara yang memerlukan pakar bedah. Umum mengetahui tidak semua tempat mempunyai doktor pakar perempuan. Maka mendapatkan rawatan di bawah doktor pakar lelaki dikira darurat akibat kurangnya Muslimah yang pakar dan masalah logistik untuk ke tempat yang lebih jauh.
Hal ini bukanlah suatu yang pelik dan telah berlaku sejak zaman Nabi s.a.w lagi di mana Sahabiyah wanita seperti Umm `Atiyah, Umm Sulaym dan ar-Rabi’ binti Muawwath r.a. menjadi jururawat merawat Sahabat berlainan jantina yang cedera semasa perang, lantaran kebanyakan Sahabat lelaki memenuhi tanggungjawab jihad di barisan depan medan tempur.
Situasi semasa juga menyumbang kepada keadaan darurat apabila tidak ramai doktor wanita dihasilkan dalam bidang tertentu. Contoh jelas ialah apabila pakar sakit puan dilihat ramai lelaki. Perlu dimaklumi bahawa hal ini berlaku akibat peluang Muslimah melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan sekitar lebih 20 tahun dahulu amat terhad dan fakulti perubatan tempatan masa itu hanya ada tiga buah.
Namun masalah ini semakin baik seiring dengan bertambahnya peluang buat Muslimah hari ini. Dalam darurat sebegini, Majma’ Fiqh Islami telah memberi panduan untuk pesakit wanita dalam memilih perawat; yang utamanya mencari perawat Muslimah, dan jika tidak ada diikuti perawat wanita non-Muslim, seterusnya perawat lelaki Muslim, dan akhir sekali perawat lelaki non-Muslim.
Tanggungjawab Pesakit
Selain yang disebutkan di atas, pesakit juga perlu maklum hak autonomi mereka ketika mendapatkan rawatan, iaitu mereka berhak memilih atau menolak bentuk rawatan dan perawat tertentu dengan syarat mereka telah diberi informasi selengkapnya. Namun dalam kes kecemasan dan terhad perawat yang layak, mereka harus terima seadanya. Di samping meminta hak mereka agar dihormati, mereka juga harus faham limitasi sistem kesihatan yang ada buat masa ini.
Mereka harus memainkan peranan agar hak dan sensitiviti mereka berkenaan aurat ini sentiasa dimaklumi pihak perawat dan juga autoriti yang bertanggungjawab menyediakan khidmat perubatan. Mereka boleh bertindak sebagai pendesak (public pressure group) agar aurat mereka terjaga semasa mendapatkan rawatan melalui advokasi di saluran media, NGO atau Lembaga Pelawat Hospital. Hasilnya dapat dilihat dengan bertambahnya jumlah perawat Muslim yang prihatin di peringkat kementerian dan hospital. Ada antara mereka yang menubuhkan Hospital Islam atau hospital khusus wanita yang menerapkan amalan perubatan menepati Syariah. Ini semua wujud akibat kesedaran dan permintaan (demand) dari komuniti Muslim yang semakin peka di negara ini.
Namun pesakit juga harus faham bahawa keadaan ideal yang mereka idamkan tidak mampu wujud sekelip mata. Maka mereka harus berkorban buat masa ini untuk kesenangan masa depan. Sebagai contoh, mereka perlu beri kerjasama kepada pelajar perubatan Muslim yang ingin mempraktikkan kemahiran temubual, memeriksa dan melakukan prosedur ke atas mereka.
Masyarakat awam juga perlu realistik terhadap desakan mereka. Contohnya, seorang suami yang kuat pegangan agama bertegas mahukan hanya doktor atau bidan perempuan mengurus isterinya yang bersalin tengah malam, namun dalam masa sama dia pula menghalang isteri atau anak perempuannya dari menceburi bidang perubatan atas alasan agama berpendapat perempuan lebih baik di rumah. Pendirian yang kontradik ini tidak membantu menyumbang kepada sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada pesakit Muslimah.
Tanggungjawab Perawat
Walaupun diakui bahawa kod etika perubatan global menetapkan perbezaan jantina tidak harus menjadi halangan untuk doktor menjalankan tugasnya kepada pesakit, namun menjadi tanggungjawab doktor Muslim mengamalkan tuntutan agamanya demi kemaslahatan pesakit. Sebagai contoh, pesakit perempuan yang koma tiada tanggungjawab dan tidak mampu menutup aurat sendirinya, justeru doktor atau jururawat yang peka boleh melindungi auratnya dengan sesuatu dan menutup dengan tabir atau langsir penghadang dari orang yang lalu lalang.
Begitu juga apabila terpaksa memeriksa bahagian sulit pesakit lain jantina, hendaklah dibawa pengiring ketiga (chaperon) dari ahli keluarga atau staf. Jika ia pemeriksaan rutin tanpa dibuka aurat, harus juga dibawa chaperon atau berada di tempat terbuka demi mengelakkan suasana syak, khalwat dan fitnah. Maruah (modesty) pesakit dan rahsia (confidentiality) mereka juga harus dijaga dengan tidak mendedahkan bahagian tubuh melebihi keperluan. Saranan-saranan ini sebenarnya telah sedia termaktub di dalam Kod Etika Professional seorang doktor.
Sebagai kesimpulan hukum asal melihat aurat pesakit lain jantina adalah tidak dibenarkan melainkan terdapat darurat mendesak. Perawat dan pesakit mestilah menunjukkan perasaan tidak reda di dalam hati terhadap situasi tersebut, ia hanya terpaksa direlakan akibat darurat. Darurat pula harus ditangani seadanya bergantung kepada faktor-faktor keselamatan nyawa, logistik, kemahiran dan bilangan perawat. Kedua-dua pihak pesakit dan perawat bertanggungjawab untuk menjaga aurat dan kehormatan pesakit serta berusaha mewujudkan biah sistem perkhidmatan perubatan yang lebih mesra Muslimah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sebenarnya amalan perbomohan memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Perkara ini sememangnya tidak dapat dinafikan. Pada tahun-tahun sebelum datangnya peradaban serta pendidikan barat khususnya Inggeris, peranan atau fungsi bomoh begitu menonjol sekali di kalangan masyarakat Melayu.
Dalam perkataan lain, peranannya di sini tidaklah terhad pada bidang mengubati dan menyembuhkan penyakit sahaja, bomoh juga terlibat dalam kegiatan harian masyarakat Melayu. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah mendirikan rumah baru, upacara perkahwinan, berpindah rumah, meneroka hutan, memilih jodoh, hal-hal mengenai kelahiran bayi, bersunat, mengubati penyakit dan lain-lain lagi.
Dan sehingga ke hari ini juga amalan ini masih lagi diteruskan oleh masyarakat Melayu khususnya umat Islam. Menariknya lagi, kini mungkin nama bomoh itu tidak digunakan lagi tetapi telah ditukar dengan gelaran-gelaran yang lain termasuklah ada di antara mereka yang mengaku sebagai Ustaz. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Mengapakah masyarakat kita lebih-lebih lagi yang beragama Islam sanggup mengambil keputusan untuk berjumpa dengan bomoh bagi mengubati penyakitnya? Dan adakah menggunakan jin Islam itu dibenarkan?.
Menurut Ustaz Mohd Fickri Che Hussain menggunakan jin dalam perubatan merupakan sesuatu perkara yang tidak dianjurkan sama ada jin itu Islam atau pun tidak kerana kelemahan manusia untuk mengenalinya. Biasanya hubungan dengan jin boleh berlaku melalui beberapa amalan khurafat oleh golongan yang ingin bersahabat dengan jin. Antara amalan tersebut seperti menjamu pulut semangat, tepung tawar, puja pantai dan puja semangat padi. Satu lagi unsur penting yang terlibat dalam proses ini adalah pemujaan termasuk menyembelih binatang dengan bacaan mantera tertentu.
Maka perbuatan sebegini akan membawa kepada dosa syirik. Jin sebenarnya takut kepada manusia. Ini berdasarkan daripada beberapa keterangan Al-Quran berhubung dengan tunduknya jin kepada manusia.
“Dan Kami telah tundukkan (kepada Sulaiman) segolongan syaitan-syaitan yang menyelam (ke dasar laut) untuk mengerjakan perintahnya; dan adalah Kami memelihara (mengawal) mereka itu.” (Al-Anbiya’: 82).
“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia dan burung, lalu mereka itu berbaris dengan tertib.” (An-Naml: 7).
“Dan sebahagian daripada jin ada yang bekerja di bawah kekuasaan (Sulaiman) dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa yang menyimpang di antara mereka daripada perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala. Jin-jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur.” (Saba: 12-13).
Membela atau bersahabat dengan jin untuk mendapatkan sesuatu daripadanya adalah salah dalam Islam. Apa yang berlaku pada zaman Nabi Sulaiman, baginda telah diperintahkan melalui wahyu Allah kepadanya di mana dengan menggunakan khidmat jin, beliau memindahkan istana Puteri Balqis.
Islam melarang bersahabat dengan jin walaupun untuk mendapat maklumat atau menggunakan khidmatnya untuk masyarakat atau untuk membantu kita mengatasi masalah perbuatan sihir dan sebagainya. Perkara ini boleh berlaku tetapi ia masih memerlukan kepada aspek pemujaan sebagai penghubung untuk memanggil jin-jin dan kaedah pemujaan beginilah yang dibimbangkan boleh membawa kepada syirik.
Apabila kita memuja jin, mereka akan menjadi lebih sombong dengan kesesatannya lebih-lebih lagi apabila sampai ke tahap jin disembah sebagai Tuhan kerana manusia mencari perlindungan daripada mereka. Firman Allah: “Bahawa ada beberapa orang lelaki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu (yang diminta pertolongan daripadanya) hanya menambah dosa dan kesalahan (pada diri mereka).” (Surah Al-Jin: 6).
Bagaimana pula dengan bomoh yang bertopengkan gelaran ustaz. Apakah pandangan Ustaz?
Kegiatan bomoh, dukun, pawang, ahli nujum dan sesetengah bomoh jin yang mengubati pesakit melalui bantuan jin adalah sebahagian amalan yang menyesatkan hidup manusia sendiri. Ada golongan yang menggunakan gelaran ustaz tetapi masih menggunakan khidmat jin dan ini sebenarnya merosakkan akidah mereka.
Perbuatan bertemu dengan dukun itu juga adalah ditegah sebagaimana Nabi s.a.w bersabda: “Barang siapa mendatangi peramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari”. (Hadis Riwayat Muslim)
Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitab Al-bayan al-Mubin fi Akhbar al-Jinni wa al-Syayathin, “Jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan berasa bangga apabila diminta bantuan dan mereka akan segera datang. Jin dan syaitan sangat mengetahui bahawa manusia itu lebih mulia dan lebih berkuasa daripada mereka. Maka apabila manusia tunduk kepada jin dan meminta perlindungan daripada mereka, ia ibarat seorang raja yang melutut di kaki seorang hamba untuk meminta ditunaikan hajatnya.”
Mengapakah perlu dijauhi perubatan menggunakan jin?
Ada beberapa sebab yang mana di antaranya:
1. Jin akan mengelirukan manusia dengan bisikan kepada bomoh tersebut bahawa itu merupakan roh para wali yang datang berdampingan dengannya. Amalan seumpama ini dinamakan juga sebagai amalan ’menurun’. Sekiranya didapati pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’ atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik.
2. Timbulnya segala kemudaratan akibat meminta pertolongan jin antaranya ialah balasan neraka sebagaimana firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut daripada manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah.” (surah Al-An’am : 128)
3. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat tidak pernah meminta pertolongan jin sama ada daripada aspek rawatan atau pun dalam isu darurat seperti peperangan dan sebagainya.
4. Menguasai atau melihat jin merupakan mukjizat khusus untuk para Nabi dan manusia biasa mustahil boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya sebagai khadam suruhan. Firman Allah: “Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka”. [surah Al A’raf, 27] Kecuali jika ia menyerupai haiwan seperti anjing, ular hitam dan sebagainya seperti yang dinyatakan dalam hadis Nabi s.a.w.
5. Tipu muslihat jin sangat licik dalam usaha untuk menyesatkan manusia. Allah berfirman: “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja daripada mereka yang bersyukur.” (surah Al A’raf, ayat 16-17)
6. Hanya orang yang jahil dalam urusan beragama yang ingin bersahabat dengan jin. Maka mereka tidak lagi peduli soal pahala dan dosa kerana mementingkan soal keduniaan semata-mata.
7. Perlu dijauhi dari bersahabat dengan jin agar diri tidak dikuasai olehnya secara sedar mahupun tidak kerana ia akan menjauhkan seseorang itu dari Allah Taala dan petunjuk-Nya.
8. Jin tidak rela melakukan kerja-kerja khadam kerana pekerjaan tersebut adalah suatu yang menghinakan. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Saba ayat 14: “Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan.” Ayat ini menyatakan khidmat jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman dalam keadaan terpaksa. Bila Nabi Sulaiman wafat, mereka merasakan baru sahaja terlepas daripada perhambaan yang menghinakan. Jadi jika suruhan Nabi Sulaiman mereka buat dalam keadaan terpaksa, apatah lagi suruhan dari manusia biasa .
9. Bersahabat dengan jin boleh membawa kepada upacara ‘menurun’ dengan mengilhamkan sesuatu melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib daripada pandangan, serta pelbagai lagi perkara-perkara luar biasa. Firman Allah: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (surah Al An’am : 112)
10. Bersahabat dengan jin akan memudahkan ia merasuk dalam diri seseorang itu dan kerasukan itu mampu membawanya jauh daripada rahmat Allah dan ia akan melakukan segala bentuk kesyirikan demi memuaskan kehendak jin tersebut seperti ‘menjamu’ pulut semangat, tepung tawar, memuja pantai dan sebagainya.
TIP JAUHI DIRI DARIPADA KESYIRIKAN
*Memurnikan tauhid dan beramal dengan akidah yang sahih
*Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dalam setiap keadaan
*Menjaga solat dan amalan kebajikan yang lain
*Memperbanyakkan membaca al-Quran dan mentaddabur isi kandungannya
*Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
*Menjauhi maksiat dan meninggalkan perbuatan dosa
*Memperbanyakkan amalan-amalan kebajikan bagi mendekatkan diri kepada Allah
Berkata Ibn al-Qayyim: Kebanyakan manusia yang mudah dirasuk adalah disebabkan kurangnya amalan agama mereka. Kosongnya hati dan lidah mereka daripada hakikat zikir, berta’awwuz, membentengi diri dengan selawat dan sebagainya. Keadaan itu menjadikan jiwa kosong tanpa sebarang senjata yang dapat mempertahankannya dan ia berkemungkinan tanpa sebarang pakaian yang dapat melindunginya.
Kebanyakan jiwa manusia cepat diserang dengan rasukan ini yang mudah dapat menguasainya, memerangkap dan merasuk di mana sahaja yang diingininya. Sudah pasti jiwa yang kosong tadi tidak dapat menghalang dan melepaskan diri daripada rasukan tersebut dan jika ia kian kuat, pastinya mereka yang terkena rasukan tersebut tidak mampu sedar dan menjadi gila, maka itulah rasukan yang sebenar. Semoga Allah memberikan pertolonganNya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Anak yang selalu beri duit dimanja dan disayangi, tapi anak yang jarang hulur duit kerana hidup susah dilayan kasar dan dimarah-marah. Bukan hanya dalam...