Dr Zulkifli Terharu Dapat Jumpa Anak Allahyarham Tan Sri P.Ramlee

Share

Tidak dinafikan ketokohan yang dibawa oleh Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) cukup popular di kalangan pengguna laman media sosial. Mesra dengan panggilan Dr Zulkifli, bekas Mufti Wilayah Persekutuan ini juga seringkali berkongsi mutiara kata serta aktiviti hariannya di laman media sosial.

Hari ini, KASHOORGA tertarik dengan perkongsian Dr Zukilfli yang bertemu menyampaikan sumbangan kepada Encik Sazali yang merupakan anak kepada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Apa yang menarik kunjungan tersebut bagaikan pertemuan di antara dua sahabat. Itulah yang membuatkan KASHOORGA rasa kagum dengan ketokohan Dr Zulkifli.

Memetika perkongsiannya di Twitter, beliau turut berkongsi kegembiraan dapat bertemu Sazali yang diingatinya sebagai ‘anak jin’ menerusi filem legenda, ‘Ahmad Albab’.

“Semalam sempat singgah sebentar menyampaikan sumbangan kepada En. Sazali P. Ramlee. Bagi yang masih teringat filem Ahmad Albab, inilah “anak jin” yang bermain-main dengan Ahmad Albab di dalam gua,” jelasnya.

Pada pertemuan tersebut beliau sempat berbual-bual dengan Sazali dengan mengimbau kisah silam Seniman Agung P.Ramlee yang dipanggil mesra oleh anaknya itu dengan gelaran ‘daddy’.

Dr Zulkifli juga berkata dia difahamkan bahawa Sazali mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dikesempatan itu juga beliau turut sama-sama mendoakan kesejahteraan Sazali bersama isterinya yang tercinta.

“Sebelum melangkah pulang, seakan terngiang-ngiang lagu Anakku Sazali. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah kepada almarhum Tan Sri Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh @ P. Ramlee,” katanya Dr Zulkifli menerusi hantaran bebenang di Twitter beliau.

Kredit: Twitter Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Published by
webadmin