Soal rezeki, ajal maut itu terletak di tangan Allah. Hanya Dia yang mengetahui bilakah nyawa kita akan diambil.
Oleh sebab itu ketika hayat masih ada, jangan lupa untuk membuat urusan penama terutama bagi urusan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Jangan tidak tahu, jika si mati tidak meletakkan nama, walau ada simpanan yang banyak duit yang ada tidak akan dapat dikeluarkan dalam masa cepat.
Terpaksa melalui proses yang payah dan agak merumitkan bagi waris sebelum mendapat hak yang sepatutnya.
Terbaru di laman sosial Facebook Siti Zainab Abd Raof wanita ini berkongsi kepentingan meletakkkan penama bagi akaun KWSP.
“Saya nak keluarkan duit EPF arwah suami saya.Nahh ini dia sijil kematian suami saya.”
“Boleh tunjukkan surat kuasa jika nak keluarkan duit arwah suami?”
Tanya pegawai yang bertugas di kaunter.
“Kenapa perlu surat kuasa pulak tuan.Bukankah arwah suami saya meletakkan nama saya sebagai penama EPF beliau?”
Soalan dibalas dengan soalan.
“Mengikut dalam sistem kami,arwah suami puan tidak pernah meletakkan sebarang penama untuk akaun EPF beliau.”
“Apa?Kenapa macamtu pulak.Sijil kematian dan surat nikah ni tak cukup kuat ke bukti untuk saya keluarkan duit arwah?”
Tanya balu tersebut sambil menangis teresak-esak.
“Maaf puan.Ini prosedur standard mana-mana institusi kewangan.Jika berlaku kematian tanpa penama,kami memerlukan surat kuasa Probate jika berwasiat atau LA(letter of admin) jika tidak berwasiat.
Barulah duit yang di dalam akaun pencarum akan dapat dikeluarkan.”
Panjang lebar pegawai tersebut menerangkan.
Ini salah satu risiko yang bakal berlaku sekiranya pencarum EPF tidak mengemaskini penama akaun mereka.
Tambahan pula,jika penama meninggal dahulu sebelum pencarum.
Korang tahu tak surat kuasa tu menatang apa?
Sila ingat ya.
Sijil kematian dan permit pengebumian saja tidak LAKU untuk membuat pentadbiran harta pusaka.
Berlaku saja kematian dan setelah didaftarkan kematian tersebut,maka terbekulah segala harta dan aset si mati.
Jadi,semua institusi kewangan(harta alih) dan pejabat tanah(harta tak alih) akan minta surat kuasa jika waris hendak menuntut harta tersebut.
Senang ke tak nak dapatkan surat kuasa tersebut?
Senang tapi tak mudah juga sebenarnya.
Senang jika waris bekerjasama untuk sama-sama turun semasa hari bicara di pejabat pusaka kecil.
Tak nak turun?Boleh saja.Tunjukkan borang DDA(dicop pesuruhjaya sumpah) dan dinyatakan siap-siap bagaimana pembahagian harta samada muafakat atau faraid.Kalau nak tolak bahagiannya pun kena nyatakan juga.
Harta simati melebihi 2 juta yang lagi haru.
Masalah tau!
Terus nak kena tadbir melalui mahkamah tinggi tau.
Kena ada dua orang penjamin yang harta mereka bernilai melebihi 2 juta jugak.
Kos siapa nak tanggung?
Waris ler.
Payah jugak kan.
Nak senang cerita,semasa hidup ni buatlah perancangan siap-siap ke atas harta kita guys.
Buatlah perlantikan pentadbir harta supaya pabila kita meninggal kelak,harta dapat ditadbir dengan cepat.
So guys,
Sis nak bagi pesanan khidmat masyarakat ni.
Sila check semula penama EPF kalian.Begitu juga penama di institusi kewangan lain seperti insurans/takaful, TH dan juga akaun ASB.
Kemaskini jika penama sudah meninggal.
BIG NO!Jangan meletakkan penama anak-anak yang di bawah umur 18 tahun.
Anak-anak tiada kuasa pun nak mentadbir harta tersebut selagi tak berumur 18 tahun.
Tapi,harus diingat.
Penama hanya berfungsi sebagai pemegang amanah sahaja.
Pembahagian wang epf tersebut masih perlu dibahagi mengikut faraid atau muafakat waris.
Itu belum lagi masuk cerita akaun simpanan bank,pelaburan yang tidak mempunyai fungsi penama.
Rumah,kereta,tanah dan lain-lain.
Jadi,masih memerlukan surat kuasa untuk mentadbir harta pusaka tersebut.
Jadi,jom bertindak sekarang.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Allah Turun Ke Langit Dunia Pada Malam Nisfu Sya’ban, Berdoalah Kerana Akan Dimakbulkan Saat Pintu Langit Terbuka
Malam Nisfu Sya’ban adalah hari di mana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.
Nisfu bermaksud separuh (Nisf). Oleh itu Nisfu Sya’ban bermaksud separuh daripada bulan Sya’ban, iaitu pada malam ke-15. Malam Nisfu Sya’ban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Malam Nisfu Sya’ban tahun ini jatuh pada hari ini, 28 Mac membawa ke 29 Mac 2021.
Dalam pada itu tiada amalan khusus perlu dibuat di malam Nisfu Sya’ban sebagaimana yang tular dalam masyarakat tapi kita digalakkan berdoa, berzikir dan mengaji di malam Nisfu Sya’ban. Bahkan kita disunatkan berpuasa sunat Sya’ban pada esok harinya.
Dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan status hadis beberapa amalan yang perlu dibuat di malam Nisfu Sya’ban, ini panduan yang boleh kita fahami mengenainya.
Jawapan :-
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
- Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
- Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
- Daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
- Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
- Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
- Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَنْزِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِكُلِّ نَفْسٍ إِلَّا إِنْسَانًا فِيْ قَلْبِهِ شَحْنَاء أَوِ المُشْرِكَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini.
Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibban bahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkan syawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
- Terdapat hadith lain yang menyatakan bahawa Allah SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah SWT turun pada malam nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.
- Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam al-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam nisfu Sya’ban adalah mustajab.
- Di dalam hadith ini juga menunjukkan keampunan Allah SWT amat luas. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan akan Allah SWT itu bersifat dengan pengampun. Firman Allah SWT:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun”. [Nuh:10]
- Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya melainkan dengan taubat. Berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
- Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini ada disebut di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
- Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadith yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
- Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الموبِقَاتِ . قالوا : يَا رَسُولَ اللهِ : وَمَا هُنَّ ؟ قال : الشِّركُ بِاللهِ ، وَالسِّحرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيْمِ ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ المحْصَنَاتِ المؤْمِنَاتِ الغَافِلَاتِ
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98]
Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
- Telah berkata Ibn Hajar al-Haithami:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
- Telah berkata Imam al-Nawawi:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
- Telah berkata Imam Ibn al-Jauzi:
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
- Telah berkata Imam al-Syaukani:
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]
Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Berlakon Berpelukan: Menghalalkan Yang Haram Kerana Mencari Rezeki? Adakah Jatuh Kufur?
Berlakon berpelukan dalam drama atau filem memang menjadi antara aksi wajib dalam mana-mana penerbitan. Dari dahulu sehingga hari ini, drama seperti ini mempunyai pengikutnya tersendiri.
Lakonan mantap penuh penghayatan menjadikan aksi mereka sangat real; bertengkar, bergaduh, lafaz cerai malah berpelukan antara pelakon lelaki dan perempuan bukan mahram.
Ramai suka tonton aksi ini, namun, adakah lakonan ini dibenarkan dalam Islam tambahan pula pelakon pun mencari rezeki atas lakonan itu?
Apa yang jelas, Islam tidak membenarkan kita menghalalkan perkara yang diharamkan. Kita dapatkan penjelasan ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Artikel berkaitan: No Way, Cuci Duit Haram Untuk Jadikannya Halal, Lelaki Ini Beri Penjelasan Padu
Artikel berkaitan: Jangan Over Pandang Transjantina, Hukum Harus Bertukar Haram
Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Maaf ganggu sebab saya ada kemusykilan berkenaan sebuah drama (stesyen televisyen swasta) yang di dalamnya terdapat adegan pelakon wanita peluk pelakon lelaki padahal pelakon wanita itu sudah berkahwin dan ada anak. Saya ada berbual dengan kawan.
Saya cakap teruklah perempuan ini, dah kahwin oun boleh peluk lelaki lain. Kawan saya cakap tak salah pun, itu karier dia…dia kena professional.
Saya tetap pertahankan benda itu salah dan dia juga tetap dengan pendapat dia bahawa perbuatan itu tak salah sebab cari rezeki. Lagipun suami dia izinkan.
Soalan saya, apakah hukum menghalalkan yang haram akan jatuh kufur?
Jawapan:
Perbuatan wanita peluk lelaki yang bukan suami dan bukan mahram jelas hukumnya haram dan berdosa besar. Ini kerana perbuatan ini dikategorikan sebagai perbuatan yang menghampiri zina.
Perbuatan lebih teruk kecamannya menurut syarak kerana ia dipamerkan di hadapan umum dan dibanggakan. Perkara ini jelas disabdakan oleh Rasulullah ﷺ dalam sepotong hadis:
كل أمتي معافى إلا المجاهرين وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا ثم يصبح وقد ستره الله عليه فيقول يا فلان عملت البارحة كذا وكذا وقد بات يستره ربه ويصبح يكشف ستر الله عنه. متفق عليه
Maksudnya: “Setiap umatku akan mendapat pengampunan kecuali mujahirin (orang terang-terangan berbuat dosa) Dan termasuklah mereka yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang melakukannya (dosa) pada malam, kemudian pada pagi dia menceritakannya, padahal Allah SWT menutupi perbuatan itu.
Dia berkata: “Hai fulan, malam tadi aku melakukan begini dan begitu.’ Sebenarnya pada malam hari Tuhannya melindungi (aib) perbuatannya itu tetapi pada paginya dia sendiri menyingkap perbuatan (dosanya sendiri) yang ditutupi oleh Allah SWT.” (HR Bukhari & Muslim)
Sebagai seorang muslim wajib taat segala yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan. Sebagai seorang muslim juga dia wajib mengharamkan apa yang Allah haramkan dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah Ta’ala.
Seseorang yang meyakini bahawa sesuatu perkara yang haram itu halal sedangkan perkara itu tiada khilaf dalam kalangan ulama maka boleh jatuh kepada kekufuran.
Perkara ini dinyatakan oleh Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi di dalam karyanya “al-Mughni”:
ومن اعتقد حل شيء أجمع على تحريمه، وظهر حكمه بين المسلمين، وزالت الشبهة فيه للنصوص الواردة فيه كلحم الخنزير، والزنا، وأشباه ذلك مما لا خلاف فيه، كفر.
Maksudnya: “Sesiapa yang beriktiqad(menyakini) halal sesuatu diharamkan secara ijmak ulama dan jelas hukumnya di antara umat Islam serta hilang syubhah(keraguan) padanya mengenai nas-nas yang wujud mengenainya seperti daging babi, zina dan seumpamanya yang mana ia tiada khilaf (di antara ulama) maka di jatuh kafir.”
Berdasarkan kenyataan Imam Ibn Qudamah di atas, seseorang itu boleh jatuh kufur bila menghalalkan perkara yang diharamkan dan sebaliknya jika menepati syarat-syarat di bawah ini:
i- Mesti diyakini tanpa berbelah bahagi perkara haram itu halal di sisinya
ii- Haram itu mesti sepakati oleh para ulama iaitu tiada khilaf
iii- Perkara itu diketahui haram oleh umat Islam pada pelbagai peringkat (المعلوم من الدين بالضرورة). Contohnya bila sebut sahaja arak memang semua tahu ianya haram.
iv- Hukum haram perkara itu berdasarkan nas atau dalil yang secara jelas menunjuk perkara itu haram tanpa boleh ditakwil, seperti dalil haramnya arak, zina, babi, meninggalkan solat fardu dan lain-lain lagi.
Namun menjatuh hukum kafir bukan perkara yang mudah dan amat berat hukum dan pernilaiannnya.
Malah menjatuhkan hukum kafir kepada seseorang tidak layak dilakukan secara individu malah tugasan ini dijalankan oleh pihak berautoriti untuk menyiasat secara terperinci seperti Jabatan Agama Islam Negeri.
Jika siasatan telah dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan oleh syariat barulah pihak berautoriti membuat keputusan samaada seseorang itu murtad atau tidak.
Berbalik kepada soalan di atas, rakan si penanya tidak boleh dihukum kafir kerana masih tidak jelas dia menghalalkan perkara yang diharamkan.
Ini kerana kata-katanya masih bole ditakwil yang mana mungkin ‘tidak salah’ baginya disebabkan darurat menurut kejahilannya atau mungkin dia menganggap ia hanya dosa kecil.
Tambahan pula kita tidak dapat menilai isi hatinya adakah dia benar-benar meyakini di dalam hatinya bahawa perkara haram itu halal?
Walaubagaimana pun kata-kata rakan si penanya itu dikira sebagai dosa kerana memandang baik dan elok pada perbuatan maksiat.
Namun perbuatan dosa besar sekali pun tidak semestinya menjadikan seseorang itu kafir atau murtad.
Seperti yang sedia maklum, matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara. Tidak sepatutnya seseorang sanggup melakukan perbuatan mungkar demi kerjayanya.
Meskipun niatnya baik untuk mencari rezeki namun Islam tidak menghalalkan perbuatan haram dengan alasan apa sekalipun.
Maksudnya perbuatan berpelukan antara lelaki dan perempuan tidak sepatutnya berlaku, banyak cara lain untuk menghidupkan sesuatu scene yang menarik tanpa memerlukan perbuatan maksiat.
Pendek kata “Tak mati lah” kalau buat drama tanpa adegan yang menghairahkan.
Suami bertanggungjawab mendidik isteri ke jalan yang benar. Tidak sepatutnya seorang suami membiarkan (mengizinkan) isteri berpelukan dengan lelaki lain.
Ini amat memalukan bagi seorang lelaki pembimbing isteri tetapi hakikatnya dia berperanan mencabul maruah diri dan isterinya.
Ingat! Suami seperti ini dilabel sebagai “DAYUS” dan hukuman bagi ketua keluarga seperti ini amat-amat berat hukumannya di akhirat kelak, seperti yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah ﷺ:
ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي
Ertinya : Tiga golongan yang telah Allah haramkan syurga untuknya: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan ‘Dayus’ yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya” (HR Imam Ahmad & Nasa’ie)
Wallahu A’lam
Kashoorga: Semoga penjelasan ini dapat difahami. Jangan sewenang-wenangnya membuat tafsiran sendiri untuk menghalalkan yang haram atas kapasiti mencari rezeki. Dan jangan sewenang-wenangnya juga menjatuhkan hukum kafir kepada orang lain.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tular Pok Soh Wali Meninggal, Namun Ada Mengakui Terjumpa Wali Allah Ini Di Sekitar Bandar Kuala Terengganu
Sejak dua minggu lalu, tular berita mengatakan wali Allah Pok Soh Wali atau nama sebenarnya Jusoh bin Salleh diberitakan meninggal dunia pada 7 Januari 2021 ketika berusia 75 tahun. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.
Namun baru ini cerita mengenai kebaikan wali Allah yang terkenal zuhud ini mendapat perhatian bila mana ada yang mendakwa masih melihat Pok Soh Wali di sekitar bandar Kuala Terengganu dan bukannya meninggal seperti didakwa malah meminta agar posting asal itu dipadam.
Waallahualam, tidak diketahui kebenaran ceritanya, sama ada benar telah meninggal atau masih hidup. Tapi wajar kita yang masih hidup ini belajar sisi baik Pok Soh Wali. Di dunia atau dilihat pada penampilan luarannya, Pok Soh Wali mungkin tidak seglamor sebagai mana ahli politik tetapi di atas langit Allah, sisinya jauh bernilai.
Bacalah kebaikan dilakukannya. Semoga ada pengajaran buat kita. Apa yang penting, jangan kita menilai segi luaran manusia kerana Allah hanya melihat hati kita yang suci bersih, bukan pada kot atau pakaian mahal kita pakai.
Nama sebenar wali Allah yang masyhur ini ialah Jusoh bin Salleh dan dilahirkan pada tahun 1946. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pok Soh Wali berasal dari Terengganu.
Pernah suatu ketika dahulu, tular satu kisah di mana ada seorang pak cik tua yang nampak dhaif sungguh masuk ke sebuah kedai makan. Ramai orang di kedai tersebut pandang serong padanya. Akhirnya pak cik tua tersebut belanja habis semua orang dalam kedai tu. Inilah pak cik yang dimaksudkan di dalam kisah itu.
Sememangnya beliau seorang yang berperwatakan sangat zuhud dan dhaif. Orang-orang sekitar Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Kuantan mungkin kenal dengan wali Allah ni.
Pok Soh Wali suka beriktiqaf di masjid dan surau. Dikisahkan oleh mereka yang pernah bertemunya, saban tahun Pok Soh dizinkan Allah Taala bertemu malam Lailatul Qadar.
Beliau tinggal di Bukit Bauk, Dungun. Sebuah kawasan yang penuh dengan kisah- kisah misteri alam ghaib seperti jin dan seumpamanya. Dikisahkan juga jin dikawasan tersebut takut dan hormat pada Pok Soh.
Kadang-kadang beliau ada di Kuala Terengganu dan kadang-kadang ada yang melihat beliau di Kemaman. Saya percaya beliau seorang yang dikurniakan Allah Taala karomah yang besar.
Pok Soh Wali merupakan seorang ahli dalam ilmu tasawuf. Sesiapa yang berjumpa beliau pasti akan mendapat kata-kata nasihat yang berbentuk penyucian hati.
Antara nasihatnya ialah:
Orang mukmin yang hebat itu ialah:
Dia meninggalkan dunia, sebelum meninggal dunia,
Dia bersedekah sampai kaya, bukan dah kaya baru bersedekah,
Dia berdakwah sampai jadi alim, bukan dah alim baru berdakwah,
Dia beramal sampai ikhlas, bukan dah ikhlas baru nak beramal.
Tubuh itu dari tanah, maka penawarnya ialah apa yang datang dari tanah. Roh itu dari Allah, maka penawarnya juga adalah apa yang datang daripada Allah.
Diceritakan oleh Tuan Guru Ustaz Mustaffa Kamal Hamzah – Mudir Madrasah al-Hidayah, Batu Burok yang selalu mendapat nasihat dan tunjuk ajar Pok Soh Wali:
“Pok Soh Wali ialah seorang wali Allah yang Allah Taala sembunyikan. Siapa-siapa yang nak cari atau jumpa beliau pasti tak kan jumpa. Tapi kalau kita tak berhajat pun nak jumpa beliau. InsyaAllah kita akan jumpa”
Al-faqir pernah hampir bertemunya dalam 10 meter sahaja pada tahun 2014, tapi itulah kehendak Allah Taala. Benar sungguh kata Tuan Guru Ustaz Mustaffa Kamal, Jumpa bila tak berhajat, Hilang bila ia berhajat.
Ketuk pintu bagi duit, bayarkan hutang orang
Pernah dikisahkan seorang pemuda yang sedang berfikir panjang di sebuah kedai makan tentang bagaimana nak selesaikan hutang yang berjumlah ribuan ringgit. Tiba-tiba Pok Soh Wali datang ke kedai tersebut.
Pemuda ni kasihan tengok Pok Soh dengan keadaan yang dhaif lalu dijemputnya duduk semeja dengan dia. Selesai makan, Pok Soh tanya kenapa muram. Pemuda itu beritahu tengah fikir macam mana nak bayar hutang. Dengar penjelasan itu, Pok Soh pun berlalu pergi.
Malam itu, tiba-tiba pintu rumah pemuda tersebut diketuk dan ternyata Pok Soh datang dengan menghulurkan sepucuk sampul. Dalam sampul surat tu ada jumlah wang yang cukup, serupa dengan hutangnya. Yang menghairankan bagaimana Pok Soh tahu jumlah tersebut sedangkan pemuda itu tak beritahu pun dan bagaimana juga Pok Soh mengetahui rumahnya. Wallahualam.
Pok Soh meninggal dunia pada 7 Januari 2021 ketika berusia 75 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.
Moga Allah Taala merahmati roh para auliaNya. Amin. Al Fatihah buat buat arwah Pok Soh.
*Oleh – Tengku Yusuff
*Sumber – Tuan Guru Ustaz Mustaffa Kamal & Maklumat awam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI