Elak Guna 7 Ayat Kasar Ini Sewaktu Bertengkar Suami Isteri

Share

Orang kata, kalau tak bertengkar suami isteri, tak ada thrill lah. Hubungan suami isteri memang tak pernah sunyi daripada perselisihan faham.

Bak kata peribahasa, ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ Pengalaman menangani masalah rumahtangga secara matang mampu menjamin kerukunannya.

Setiap pasangan mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap rumahtangga yang asalnya dibina dengan penuh kasih dan sayang.

Rasulullah SAW bersabda :

Orang lelaki ialah penjaga ke atas keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka, manakala perempuan penjaga ke atas rumahtangga dan anak-anaknya serta dia bertanggungjawab terhadap mereka (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam melayari bahtera perkahwinan, sebagai insan biasa, kita sering melakukan kesilapan seterusnya mencetus pertengkaran.

Dalam situasi tidak stabil ini, selalu terkeluar kata-kata yang menyakitkan hati antara satu sama lain.

Artikel berkaitan:Resipi Hubungan Suami Isteri Makin Erat, Segala Benda Perlu Dikongsi Bersama

Artikel berkaitan:Amalkan Bacaan Ayat Kursi Ini Untuk Elakkan Gangguan Sihir Dalam Rumahtangga

Hasutan syaitan bakal menyemarakkan lagi amarah. Di sini lah kekuatan cinta dan kasih suami isteri diuji dan tidak mustahil pasti ada hati yang terluka.

Oleh itu, awas! Jangan kita gunakan ayat-ayat kasar ini untuk melempiaskan rasa marah kepada pasangan semasa bertengkar.

1. Menyumpah seranah

Acapkali terjadi, kita gagal kawal fikiran dan emosi masa bergaduh. Ada sahaja kata nista terkeluar bagai air mengalir deras. Sumpah seranah, maki-hamun dan kutukan laju sahaja keluarnya dari mulut tanpa memikirkan perasaan pasangan.

Masa ini lah syaitan berpesta kerana berjaya memainkan peranan. Hati sakit, dosa pun dapat.

2. Jolokan nama kasar

Jika semasa keadaan aman damai, indah dan baik sekali nama panggilan yang diberikann kepada pasangan. Tetapi tatkala bergaduh, keluar semua nama panggilan yang kurang enak dituturkan.

Bertambah malang apabila panggilan itu turut didengari anak-anak yang masih kecil. Ini akan menjadi teladan oleh mereka. Ia sangat bahaya.

3. Membandingkan pasangan dengan bekas kekasih

Macam-macam boleh terjadi ketika emosi tak terkawal. Ini termasuklah apabila sanggup membandingkan kekasih lama dengan pasangan.

Jika kita boleh terima kekurangan pasangan semasa keadaan harmoni, kenapa pantas bertukar kepada adegan perbandingan yang boleh mengguris hati? Itu kan kurang bijak namanya.

4. Meminta cerai

Perkataan cerai ini sewajarnya dielakkan langsung. Takut-takut, akan jatuh talak. Hati yang sedang marah memang tidak fikir kesan masa hadapan. Apa yang penting waktu itu, hati puas menyakitkan pasangan. Bawa-bawalah beristighfar.

5. Mempersendakan impian atau kegemaran pasangan

Kadangkala, apabila bertengkar, semua perkara nak diungkit termasuklah hal-hal yang tidak bersangkutan pun dengan isu pokok punca pertengkaran.

Matlamat ketika ini hanyalah ingin menyakitkan hati pasangan. Hindarilah kata-kata mempersendakan impian dan kegemaran pasangan. Ia satu tindakan tidak matang.

6. Mempertikaikan takdir dipertemukan dengan pasangan

Berhati-hati lah ketika menghemburkan perkataan ketika bertengkar. Jangan mengeruhkan lagi keadaan sehingga sanggup menyalahkan takdir dipertemukan dengan pasangan. Apabila ini terjadi seolah-olah kita menyalahkan Allah dengan jodoh yang ditetapkanNya.

7. Mengharapkan pasangan mati

Ucapan ini sepatutnya langsung tak boleh keluar dari mulut kita walau apa pun keadaannya. Jangan sesekali berkata betapa kita mahu pasangan mati cepat agar kita tidak pening kepala!

Ini hanya akan menyebabkan pasangan saling membenci antara satu sama lain dan jika berbaik sekali pun selepas pertengkaran itu, hati yang terluka tetap akan berbekas.

Sebagai seorang Muslim, kita mempunyai keimanan di hati. Ketujuh-tujuh ucapan di atas tidak menggambarkan didikan agama yang diterapkan oleh ibu ayah dan guru kita. Cuba audit diri selalu.

Paling penting, bawa bertenang. Ikut cara Rasulullah SAW mengawal rasa marah.

Dalam satu hadis yang mahsyur, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:
Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda:
“Janganlah kamu menuruti amarah”
Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali. (HR Sahih Bukhari : 6116)

Alangkah baiknya jika kita dapat kawal emosi. Tenangkan diri, mungkin boleh keluar seketika dari rumah untuk mencari ketenangan seperti ke masjid atau ke pantai.

Hanya dengan ketenangan hati, kita dapat berfikir secara rasional dan matang serta dapat mencari solusi yang baik.

Published by
Emma Masri