
Alangkah bertuah seseorang itu jika dikejutkan oleh Allah di tengah malam daripada tidur yang lena.
Jangan marah jika dikejutkan kerana ada hikmah tertentu yang Allah berikan. Dan salah satunya adalah supaya mengingatiNya dengan mengerjakan solat sunat Tahajud.
Namun ada antara kita yag tidak tahu cara terbaik untuk mengerjakan Solat Tahajjud ini. Dalam perkongsian di laman sosial Facebook Majlis Ilmu memberitahu cara untuk melakukan Solat Tahajjud ini.
Ada cara tertentu dan paling penting jangan buat laju-laku dan diakhiri dengan melakukan solat witir.
Boleh juga dapatkan barangan keperluan solat di sini

MACAM MANA NAK BUAT SOLAT TAHAJUD
1. Waktu ikutlah kesesuaian kita. Jika ingin menunaikannya sekitar 4.00 pagi pun boleh dan waktunya hinggalah sebelum subuh.
2. Niat di dalam hati “aku melakukan solat sunat tahajud kerana ALLAH” .
3. Caranya, buat 2 rakaat salam, 2 rakaat salam .Terpulang kepada kemampuan masing-masing sama ada nak buat 2, 4, 6 atau 8 atau semampunya. Untuk permulaan 2 rakaat sudah memadai.
4. Tidak terkhusus dengan mana-mana surah, ikut hafalan masing-masing. Kalau tak mampu baca quran dan surah yg hanya mampu dihafal itu cuma surah Al-Ikhlas , “Qulhuallah hu ahad…” maka silakan baca surah yg sama pada setiap rakaat. Solat tetap sah dan terbaik.

5.Jadi lamakan sujud dan mintak doa kepada Allah apa saja yang kita hajatkan. Kata para ulamak kita boleh berdoa dalam bahasa apa yang kita faham. Sah tahajud walaupun kita baca doa dalam bahasa melayu.
6.Jangan solat laju-laju dan yang penting buat setenang-tenangnya. Selangilah setiap 2 rakaat itu dengan istighfar dan mana-mana zikir yg kita hafal.
7.Jika dah buat tahajud maka tutupilah tahajud itu dengan 1 rakaat witir sekiranya witir belum dibuat selepas isyak. Kalau sudah solat witir selepas isyak maka tak perlu lagi buat witir selepas tahajud.
Semoga memberi manfaat. Aaminn
SENANGKAN…?
Kredit Kuliah Studios
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Subhanallah! Pelajar Malaysia Di Mesir Hidap Meningitis, ‘Tunggu’ Emak & Ayah Saat Akhir Sebelum Dijemput Ilahi

Mati itu adalah pasti, tetapi kita tidak tahu bila masanya. Hanya Allah yang tahu bila waktunya akan sampai untuk bertemu penciptaNya.
Kalau boleh kita mahu jenazah insan disayangi kebumikan di sini agar mudah untuk menziarahi kelak.
Namun tidak bagi keluarga seorang pelajar Malaysia di Mesir yang disahkan meninggal dunia kerana masalah meningitis.
Artikel Berkaitan: “Masa Diisi Dengan Baca Al-Quran, Zikir & Solat Jemaah” – Jururawat Kongsi Amalan Pelajar Tahfiz Sepanjang Di Wad COVID-19
Sebelum itu, arwah disyaki dijangkiti Covid-19, tetapi setelah melalui pemeriksaan, keputusannya adalah negatif.

Walaupun begitu, arwah yag menuntut di Alexandria University Mesir berkesempatan bertemu ibu dan ayahnya di saat akhir, sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.30 pagi waktu tempatan 27 November lalu di Hospital Iskandariah.
Siti Aishah Mohd Dani, 20, yang merupakan tahun ketiga jurusan perubatan pergigian sebelum itu menerima rawatan selama sembilan hari selepas disahkan menghidap meningitis iaitu jangkitan kuman dalam otak.
Menurut abangnya, Muhammad Afiq, 29, berkata, Siti Aishah yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik sebelum itu disyaki dijangkiti Covid-19 namun selepas menjalani kuarantin dan beberapa siri ujian, adiknya disahkan negatif.
Namun, katanya, Siti Aishah kemudiannya mengadu sakit dada dan pening kepala sebelum rakan menghantarnya ke hospital.
Artikel Berkaitan: Tak Pernah ‘Skip’ Puasa Sunat Isnin & Khamis, Rahsia Remaja Lelaki Ini Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al-Quran
Tambahnya lagi ayah mereka, Mohd Dani Md Ali, 59, dan ibu, Nabiha Omar, 56, ditemani dua adik lelakinya berlepas ke Kaherah, Mesir pada awal pagi 26 November lalu dan sempat bertemu dengan Siti Aishah pada sebelah petang.
“Doktor memaklumkan pada pagi Khamis, Siti Aishah berdepan dengan serangan jantung tetapi kembali stabil selepas diberikan rawatan kecemasan.
“Walaupun tidak sedar, adik saya tetap kuat mungkin untuk menunggu ketibaan ibu dan ayah. Alhamdulillah ibu dan ayah sempat jumpa walaupun sebelum itu doktor memaklumkan tiada harapan lagi buatnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muhammad Afiq berkata, jenazah Siti Aishah dikebumikan di Perkuburan El Manara, Iskandariah Mesir.

Bercerita mengenai peribadi satu-satunya adik perempuan dalam keluarganya, Muhammad Afiq berkata, Siti Aishah merupakan seorang pelajar yang cemerlang.
“Di universiti juga, dia merupakan antara pelajar yang sentiasa mendapat keputusan cemerlang. Dia juga merupakan adik kesayangan kami kerana dialah satu-satunya adik perempuan yang kami ada.
“Kami reda dengan apa yang berlaku. Saya bersyukur, ibu dan ayah dapat bertemu dengan Siti Aishah sebelum dia dikebumikan,” katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE
Artikel Berkaitan: “Kehidupan Mereka Sangat ‘Humble’ & Islami “- Rahsia Kejayaan Gadis Yang Raih 7 Kali Anugerah Diraja
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Terpaksa Solat Jamak, Tahan Lapar & Pakai PPE 18 Jam” – Pak Nil Kongsi Kisah Frontliner Sanggup Berkorban Demi Jihad

Menjadi rakyat Malaysia, sangat bangga melihat kegigihan barisan hadapan atau dipanggil frontliner yang bertanggungjawab membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjuang menentang wabak COVID-19 ini.
Mereka sanggup mengetepikan keluarga demi untuk menunaikan tanggungjawab serta komited dengan tugas yang diamanahkan.
Melihat perkongsian perbualan Datuk Aznil Haji Nawawi dengan seorang kakitangan barisan hadapan ini yang bertugas di Hospital Seremban dikenali dengan Nurul memang cukup beri kesan mendalam.
Menurut Nurul, dia dipinjam daripada unit rawatan jantung untuk memenuhi keperluan rawatan pesakit COVID-19 di Malaysia.
Dia turut berkongsi kesukaran pemakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di mana Setiap kakitangan terpaksa mengenakan sut berkenaan sehingga 18 jam sehari.
Dan disebabkan itu juga kebanyakan frontliner ini terpaksa menjamak solat fardhu, menahan lapar sehingga PPE dibuka dan terus dilupuskan.
Tambah Nurul lagi, kakitangan yang bertugas di Unit Rawatan Rapi pula terpaksa bekerja lebih dari 18 jam sehari bagi memastikan pesakit mendapat rawatan sepenuhnya.
Apa yang lebih menyedihkan dalam perbualan itu, Nurul yang juga ibu tunggal memberitahu dia sudah lama tidak berpeluang bertemu dan memeluk anaknya kerana tidak mahu merisikokan nyawa mereka.
“Saya tidak dapat berjumpa mereka sejak cuti sekolah bermula. Saya terpaksa menghantar kedua-dua anak untuk dijaga oleh adik. Saya juga merupakan seorang ibu tunggal.
“Selalunya kami akan buat panggilan video call dan mereka selalu bertanya bila ibu boleh balik, bila kita boleh makan bersama, bila nak keluar jalan sama-sama.
“Saya hanya mampu menjawab, bila keadaan sudah reda nanti. Kami sendiri tidak pasti bila keadaan akan beransur pulih. Ramai kawan-kawan di Hospital Sungai Buloh sudah lama tidak pulang ke rumah kerana kekurangan kakitangan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Ikut Pintu Belakang. Balik Mandi & Tidur Luar Khemah”
“Bukan tidak takut terkena jangkitan, namun kita kena ikhlaskan diri. Selama mana harus melawan wabak ini jika kita tidak berjuang. Apa yang membuatkan saya terus berjuang dan bertahan merawat pesakit ialah saya mahu balik rumah dan berjumpa anak-anak, saya tidak mahu terus begini.

“Ayah saya pesan, saya kena teruskan berdoa dan jangan putus berdoa kepada Allah, dan kena kuat nutuk anak-anak. Ada juga frontliner terpaksa putuskan susu badan kerana tidak mahu risikokan nyawa anak.
“Apa yang boleh saya pesan kepada rakan-rakan seperjuangan, ikhlaskan hati, kuatkan hati. Kita kena berjuang sehingga wabak ini tamat, kita berjihad kerana Allah,” luahnya sambil menangis.
Ternyata perkongsian daripada Pak Nil ini sangat menyentuh hati. Walaupun ada yang kecam kerana dikatakan mahu mencuri perhatian, tetapi niat sebenar Pak Nik sekadar mahu memberi kesedaran kepada mereka yang masih ambil ringan tentang bahaya COVID-19 ini.
Walaupun ada yg kecam Paknil dgn menuduh Paknil cari perhatian dgn cerita2 yg #paknil paparkan, sesungguhnya nawaitu sebenar adalah untuk memberi kesedaran kpd mereka yg masih ambil ringan ttg bahaya covid 19. Paknil tidak akan tunduk pd kata2 negatif #teampaknil
KREDIT FOTO: INSTAGRAM PAK NIL
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ajaran Menyeleweng & Khurafat, 4 Mufti Tolak Fahaman Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT)

Di media sosial hangat diperkatakan mengenai mimpi dialami seorang wanita yang diperlihatkan tentang gambaran kiamat semakin hampir. Ia mengisahkan beberapa peristiwa dan sebahagaiannya sudah terjadi yang didakwa dialami oleh seorang pengguna fb atas nama Sittah Annur sejak beberapa bulan lalu.
Dilhat mula mengumpul ribuan pengikut-pengikut dari seluruh negara, mimpi wanita berkenaan mendapat reaksi dari beberapa orang mufti khususnya dari Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Perak yang menyifatkan ajar Perjalanan Mimpi Yang Terakhir sebagai menyelewang dan khurafat dan meminta orang ramai berhati-hati.
Dipetik dari Harian Metro, berikut adalah reaksi Jabatan Agama Islam dan Mufti mengenai ajaran kumpulan ini.
“Mengarut dan khurafat”.
Itu reaksi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang mendakwa kebenaran mimpi ketuanya digelar Sittah Annur.
Mohd Asri dalam satu ulasannya yang dipetik di YouTube berkata, mimpi di dalam Islam sememangnya diiktiraf menerusi beberapa dalil namun ia hanya membabitkan orang soleh dan bukannya dakwaan mengarut yang dikatakan wanita berkenaan.
Beliau berkata, Jabatan Mufti Perlis mempunyai maklumat berhubung pergerakan kumpulan itu termasuk mengenal pasti ketua-ketua ajaran ini.
“Kumpulan ini bukan seratus, dua ratus pengikut, mereka ada ribuan pengikut termasuk menggunakan pelbagai platform media sosial untuk menyebarkan fahaman khurafat mereka.
“Mereka (pengikut kumpulan PMYT) ini bergantung kepada mimpi wanita berkenaan yang membuat pelbagai ramalan terutama membabitkan kiamat.
“Ada dalam kalangan pengikut mereka yang sudah menjual rumah, membina rumah di dalam hutan, korek tanah untuk jadikan kubu dan bermacam lagi termasuk untuk memulakan perjalanan ke Syam bersama dengan Imam Mahdi,” katanya.
Mohd Asri berkata, ada juga pengikut PMYT sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi peperangan akhir zaman dengan membeli peralatan seperti anak panah.
Beliau berkata, kumpulan ini juga menyasarkan lokasi sempadan negara termasuk Perlis untuk berkumpul sebelum memulakan perjalanan untuk menyertai pasukan Imam Mahdi.
“Kita (Jabatan Mufti Perlis) mempunyai maklumat berhubung pergerakan kumpulan ini dan tahu siapa kepalanya (ketua) serta pengikut mereka,” katanya.
Metro Ahad semalam melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam, Selangor itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.
Bersedia untuk tindakan tegas!
Tindakan tegas akan diambil jika sebar ajaran menyeleweng di Pulau Pinang.
Itu komitmen Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dalam membanteras sebarang unsur ajaran sesat yang dibawa seorang wanita seperti dilaporkan Metro Ahad, semalam.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan memanggil wanita berkenaan jika didapati dia cuba menyampaikan ajarannya di negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan terhadap ajaran berkenaan.
“Jika ada bukti, Jabatan Mufti akan memanggilnya untuk bersoal jawab. Jika apa yang diajarnya didapati menyeleweng daripada akidah atau syariat Islam berdasarkan kefahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah, maka dia akan dinasihat supaya bertaubat dan tidak menyebarkan ajaran sesat berkenaan.
“Bagaimanapun jika dia berdegil dan meneruskan juga penyebaran ajaran itu, dia akan didakwa di Mahkamah Syariah mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berpandangan wanita terbabit mempunyai masalah jiwa yang serius termasuk hidup di dalam khayalan.
Katanya, ada ketikanya khayalan itu membentuk kepercayaan yang palsu, tetapi bagi pengidapnya adalah suatu realiti.
“Mungkin dia menganggap dirinya seorang yang hebat atau mempunyai kebolehan luar biasa.
“Kemungkinan juga dia mempercayai bahawa dirinya boleh berdampingan dengan makhluk ghaib seperti malaikat atau bertemu dengan para nabi, dapat melihat atau masuk ke alam barzakh, masuk ke dalam syurga dan sebagainya.
“Selanjutnya mimpi dilihat daripada perspektif Islam bukanlah sumber hukum syarak yang wajib diterima oleh orang Islam sebagai panduan di dalam kehidupan. Mimpi juga tidak boleh dijadikan sebagai panduan bagi kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Beliau berkata, jika seseorang yakin bahawa mimpinya benar dan baik, dia boleh menerimanya sebagai pengalaman peribadi dan mengamalkannya di dalam kehidupannya sendiri asalkan tidak bertentangan dengan akidah dan syariat.
Namun, katanya, ia bukan untuk mengajak orang lain turut mempercayai dan mengamalkan bersamanya ajaran yang diperoleh di dalam mimpinya.
“Saya ingin menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak mudah mempercayai ajaran yang didakwa oleh mana-mana individu yang mendapatkannya menerusi mimpi.
“Ini kerana agama Islam sudah sempurna pada zaman Nabi Muhammad SAW masih hidup, tak perlu lagi ditokok tambah dengan mimpi orang yang tidak siuman atau yang ada kepentingan tertentu.
“Rasulullah SAW hanya meninggalkan dua sumber sebagai panduan hidup umatnya iaitu al-Quran dan Sunnah. Umat Islam hendaklah berpegang teguh kepada kedua-dua sumber ini.
“Elakkan daripada mempercayai dakwaan yang tidak diketahui motif di sebaliknya,” katanya.
Dakwaan bercanggah dengan ajaran Islam
Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika didapati kumpulan berkenaan aktif memberi ceramah atau merekrut ahli kumpulan di Pahang.
Ia termasuk kemungkinan untuk menahan mana-mana individu yang berkaitan dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).
Demikian amaran Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung kumpulan terbabit dan jika dikesan bertapak di negeri itu, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Setakat ini, kita tidak terima apa-apa lagi (kegiatan dan aktiviti) kumpulan berkenaan di negeri ini (Pahang) namun jika ada, kita akan buat tindakan tegas.
“Dakwaan ketua kumpulan ini adalah sangat bercanggah dengan ajaran Islam malah dakwaan-dakwaannya mampu menimbulkan keresahan umum.
“Memang benar, mimpi adalah sesuatu yang diiktiraf di dalam Islam namun mimpi yang benar adalah (membabitkan) orang- orang soleh sahaja,” katanya, semalam.
Abdul Rahman berkata, dakwaan wanita ini yang menyatakan dia pergi ke Arasy diikuti malaikat pengiring dan beberapa lagi adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
“Kami juga difahamkan bahawa kumpulan ini turut aktif bergerak di media sosial termasuk mempunyai beberapa kumpulan di Telegram bertujuan untuk menyebar luaskan fahaman mereka.
“Saya berharap masyarakat Islam tidak terpengaruh dengan dakwaan seumpama ini kerana ia sangat bertentangan dengan Islam.

“Seperti yang saya katakan, jika didapati kumpulan ini aktif di Pahang, pasti kita akan ambil tindakan dengan segera kerana kita tidak mahu fahaman songsang ini mempengaruhi masyarakat,” katanya.
Menurutnya, berita-berita akhir zaman sudah pun dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan ulasannya sudah banyak dinukilkan oleh ulama terdahulu.
Katanya, jika masyarakat mengikuti ulasan ulama, pastinya mereka tidak akan tersesat dengan dakwaan sebegini.
Jaipk buat laporan polis, SKMM
Bimbang dakyah berhubung ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) terus tersebar di media sosial, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) sudah membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin berkata, laporan berkenaan dibuat kira-kira tiga minggu lalu susulan aduan diterima pihaknya berhubung ajaran PMYT.
Mengulas lanjut, Mohd Yusop berkata, tidak ada pusat aktiviti ajaran berkenaan dikesan di negeri itu namun pihaknya khuatir mengenai dakyah yang disebarkan menerusi media sosial.
“Kita mendapat maklumat awal mengenai ajaran itu dan membuat laporan polis serta SKMM.
“Kita difahamkan (ajaran ini) ada di merata-rata. Jadi laporan dibuat untuk pihak berkuasa terbabit mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Yusop berkata, pihaknya dimaklumkan ada perancangan untuk mengembangkan ajaran berkenaan di negeri itu namun pihaknya masih belum mengesan sebarang aktiviti setakat ini.
Katanya, beliau menasihatkan umat Islam khususnya di Perak supaya berhati-hati dan mendalami ilmu agama daripada sumber yang betul dan tidak menyeleweng.
“Kita juga berharap mereka yang mendengar atau tahu mengenai ajaran ini supaya memaklumkan kepada Jaipk untuk kita ambil tindakan. Nasihat saya, berhati-hati dan salurkan maklumat kepada pihak berkuasa agama mahu pun jabatan mufti.
“Setakat ini ajaran itu memang diragui, tapi untuk menentukan statusnya, kita perlu rujuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Tapi apa pun, berhati-hatilah, kena kenal siapa yang bawa apa-apa jua ajaran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mengenai ajaran terbabit.
Katanya, umat Islam diminta merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri terhadap sebarang persoalan dan isu membabitkan percakapan, perbuatan serta lain yang meragukan, mengelirukan dan menyimpang yang mungkin bertentangan dengan prinsip hukum syarak.
“Ada (aduan) dan Jais sedang meneliti perkara ini. Orang awam diminta tidak membuat sebarang tuduhan mendahului fatwa, undang-undang dan mahkamah,” katanya.
Menurutnya, satu laporan bakal dikemukakan kepadanya dalam masa terdekat dan pihaknya akan menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil. Sumber : Harian Metro
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI