Enggan Bermadu, Apakah Hukumnya Wanita Letak Syarat Bakal Suami Tidak Boleh Berpoligami

Share

Sebut sahaja poligami pastinya ia seperti ‘nightmare’ kepada wanita-wanita di luar sana. Bimbang dimadukan ada wanita yang meletakkan syarat agar bakal suami mereka tidak boleh berpoligami.

Namun apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami? Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?

Berikut ulasan Mufti Wilayah Persekutuan. 

Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:

Pertama: Mazhab Hanafi

Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/350) Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami. (Rujuk Al-Mabsuth, 19/120)

Kedua: Mazhab Maliki

Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan. Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan. (Rujuk Al-Mudawwanah, 2/131)

Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu. (Rujuk Al-Taudhih fi Syarh Mukhtasar Ibn al-Hajib, 4/181)

Ketiga: Mazhab Syafie

Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 7/265; Tuhfah al-Muhtaj, 7/312 dan 387; Mughni al-Muhtaj, 4/377 dan Al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/186)

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 4/83-83)

Keempat: Mazhab Hanbali

Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie. Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.

Selain itu, sabda Nabi SAW juga:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka.

Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)

Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi. Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadis:

لاَ تَسْأَلُ الْمَرْأَةُ طَلاَقَ أُخْتِهَا لِتَكْتَفِئَ صَحْفَتَهَا وَلْتَنْكِحْ فَإِنَّمَا لَهَا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهَا

Maksudnya: Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya. Sahih Muslim (1408)(Rujuk Al-Mughni, 7/93-94)

Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh.

Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya. Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata:

مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ

Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Rujuk Al-Fatawa al-Kubra, 3/90)

Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.

Namun demikian, jika isteri itu reda dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh. Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.

Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali. (Rujuk Syarh Zad al-Mustaqni’, 20/60-62)

KESIMPULAN

Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.

Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif. Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.

Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

Sumber kredit: Mufti Wilayah

VIDEO KASHOORGA:

 

Published by
wan erni