Hari ini sudah hari ke 12 kita menjalani ibadah puasa. Di samping sibuk dengan aktiviti harian serta menambah amal ibadah, ramai yang sudah mula membuat persiapan menyambut hari kemenangan seluruh umat Islam iaitu hari raya Aidilfitri.
Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam. Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah, kepada fitrah kejadian manusia.
Namun apakah sebenar hari raya yang betul-betul indah?
Hari raya yang betul-betul indah ialah…
ANAK-ANAK PULANG KE KAMPUNG HALAMAN
Setiap ibu bapa pasti menantikan kepulangan anak masing-masing bagi meraikan Aidilfitri bersama-sama. Buat anak-anak, walau sesibuk mana pun kita dengan urusan kerja, luangkan masa untuk pulang berjumpa kedua-dua ibu bapa kerana sesungguhnya mereka amat menanti kepulangan anda.
BERSEDERHANA DAN TIDAK BERLEBIH-LEBIHAN
Sambut hari raya dengan cara sederhana. Tidak perlulah tukar semua yang baharu. Elakkan pembaziran.Tukar mana yang perlu sahaja. Hari raya bukanlah satu adat tetapi ibadat. Maka wajarlah ia dilakukan secara tidak berlebih-lebihan. Hari raya yang disambut mengikut cara dan tuntutan syarak, akan mendapat ganjaran pahala. Menyambut Aidilfitri ertinya kita berbalik kepada fitrah manusia. Kita menyambutnya hari raya kerana kejayaan dan kemenangan kita kembali kepada fitrah.
SALING MAAF-MEMAAFKAN
Seperti yang terkandung dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan ali-Imran ayat 134: …Mereka yang tetap berderma baik dalam keadaan lapang ataupun sempit dan mereka mampu menahan marah, lagi pula bersifat pemaaf kepada sesama manusia. Apa yang lebih penting daripada itu ialah melalui semangat Syawal kita terus menperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah.
BERTAKBIR MENGAGUNGKAN ALLAH ATAS SEGALA PETUNJUKNYA
Syahdunya takbir hari raya membuatkan hati terasa sayu kerana bulan Ramadan telah berlalu. Namun air mata kegembiraan juga tidak segan untuk tumpah kerana meraikan kemenangan seluruh umat Islam. Moga amal kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan akan diteruskan secara berpanjangan.
BERSYUKUR DENGAN MEMBAHAGIKAN REZEKI
Berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan dengan cara membayar zakat fitrah. Tidak semua insan bernasib baik dapat meraikan hari raya aidilfitri dengan pakaian serba baru juga makanan yang enak-enak terhidang di atas meja. Maka jangan sesekali kita lupa dengan mereka yang serba kekurangan. Bantulah setakat yang termampu.
PENGEMBARAAN KEROHANIAN YANG DIAKHIRI DENGAN KESEMPURNAAN
Aidilfitri merupakan hari pertama umat Islam pulang dari pengembaraan kerohanian setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadan. Dalam pengembaraan itu, semua perkara yang buruk ditinggalkan. Kemunculan Aidilfitri ini mengakhiri satu perjalanan kerohanian yang memerlukan kesabaran dan limpah rahmat dari Allah dan di sinilah bermulanya perjalanan baharu demi sebuah kehidupan yang lebih baik.