Puasa hari putih atau puasa ayyamul bidh bermaksud berpuasa pada hari bulan mengambang iaitu pada setiap hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan bulan Islam. H
Ini kerana pada waktu ini cahaya bulan sangat terang-benderang.
Dalam satu hadith dari Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu (RA), berkata:
صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.” Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721).
Berdasarkan hadith di atas kita digalakkan berpuasa selama tiga hari dalam satu-satunya bulan Islam. Namun, lebih afdal sekiranya kita dapat melakukannya pada hari ke-13, 14 dan 15 dalam bulan Islam.
Hal ini merujuk kepada hadis yang berikut.
Daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, berpuasalah pada 13, 14, dan 15 hari bulan.” Riwayat al-Tirmizi (761).
Bagaimana lafaz niat puasa hari putih?
Niat Puasa Hari Putih Bacaan rumi:
Nawaitu sauma ayyamal bidh sunnatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah taala
APAKAH BENTUK PUASA UMAT ZAMAN SILAM SEBELUM KEDATANGAN NABI MUHAMMAD?
Sebelum kita melakukan puasa sunat hari putih, ini sejarah mengenai puasa ini seperti dikongsikan oleh Mufti Negeri Terengganu, Sahibus Samahah Prof. Madya Dr. Haji Mohamad Sabri bin Haron berdasarkan soalan, apakah bentuk puasa umat-umat zaman silam sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW?
Jawapan:-
Allah berfirman yang ertinya:-
“Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan juga kepada orang-orang yang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa”
. (al-Baqarah: 183)Walaupun dalam al-Quran atau hadith tidak dijelaskan bagaimana bentuk puasa generasi terdahulu, tetapi ada petunjuk-petunjuk bahawa agama-agama yang dibawa oleh para rasul terdahulu itu adalah agama monotheisme yang mengajarkan kepercayaan pada keesaan Allah.
Ahli sejarah Islam, Ibnu Kathir mengatakan bahawa ibadat puasa sudah ada sejak zaman Nabi Adam a.s dan Hawa a.s. Menurutnya, Adam berpuasa selama tiga hari setiap bulan sepanjang tahun.
Diriwayatkan bahawa Nabi Adam a.s apabila sampainya di bumi setelah diturunkan dari syurga akibat kesalahan yang dilakukan, baginda bertaubat kepada Allah s.w.t dan baginda berpuasa selama tiga hari setiap bulan. Itulah yang kemudian dikenal dengan puasa hari-hari putih iaitu pada setiap tanggal 13, 14 dan 15 setiap bulan di mana ia juga sunnah untuk dikerjakan oleh umat Nabi Muhammad SAW.
Ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa Nabi Adam a.s berpuasa pada 10 Muharam sebagai rasa syukur kerana bertemu dengan isterinya, Hawa, di Arafah. Ada juga yang lain berpendapat, Nabi Adam berpuasa sehari semalam pada waktu dia diturunkan dari syurga oleh Allah.
Ada juga yang mengatakan Adam berpuasa 40 hari 40 malam setiap tahun. Ada pendapat yang mengatakan Adam berpuasa dalam rangka mendoakan putera-puterinya supaya berada dalam kebaikan.
Selain itu, ada yang mengatakan, Adam berpuasa pada hari Jumaat untuk mengenang peristiwa penting iaitu baginda dijadikan oleh Allah dan diturunkan ke bumi olehNya dan diterima taubatnya pada hari Jumaat. Dalam hadith disebutkan:
''Sesungguhnya Allah menjadikan Adam pada hari Jumaat, diturunkannya ke bumi pada hari Jumaat, baginda bertaubat kepada Allah atas kesalahannya memakan buah larangan pada hari Jumaat dan baginda wafat pun pada hari Jumaat.'' (Riwayat Bukhari).
Diriwayatkan bahawa Nabi Nuh a.s juga berpuasa selama tiga hari setiap bulan sepanjang tahun, seperti puasanya Nabi Adam. Baginda Nabi Nuh juga memerintahkan kaumnya untuk menyembah Allah dan berpuasa ketika mereka berbulan-bulan hidup terapung-apung di dalam perahu besar di tengah banjir yang luas dan memerintahkan mereka terus menerus bertaubat kepada Allah.
Nabi Dawud a.s juga melaksanakan puasa, bahkan baginda berpuasa dalam waktu yang cukup lama iaitu setengah tahun, di mana baginda berpuasa satu hari dan berbuka satu hari sepanjang tahun.
Nabi Ibrahim a.s juga terkenal dengan kegemarannya berpuasa, terutama pada saat hendak menerima wahyu dari Allah, yang kemudian dijadikan suhufnya yang rasmi. Ajaran Nabi Ibrahim tentang puasa ini turut dilaksanakan oleh anaknya Nabi Ismail a.s yang terkenal taat beribadat dan ia diikuti juga oleh Nabi Ishaq a.s iaitu anak Ibrahim dari isterinya Sarah.Anak Ishaq iaitu Nabi Ya'kub a.s yang juga seorang Rasul di mana baginda gemar berpuasa terutama ketika mendoakan keselamatan putera-puteranya.
Imam Al-Qurthubi dalam kitabnya al-Jami’ li Ahkamil Qur’an (2/274) menyebutkan bahawa Allah telah mewajibkan ibadat puasa kepada bangsa Yahudi (umat Nabi Musa a.s) selama 40 hari, kemudian kepada umat Nabi Isa a.s selama 50 hari. Tetapi kemudian mereka merubah waktunya sesuai nafsu mereka iaitu jika bertepatan dengan musim panas mereka menundanya hingga datang musim bunga. Hal itu mereka lakukan demi mencari kemudahan dalam beribadat. Hal itu jelas bercanggah dengan ajaran asal agama mereka.
Hal ini juga menggambarkan betapa umat Yahudi dan Kristian sesat kerana selalu menghindarkan diri untuk melaksanakan ibadat dengan sempurna sesuai dengan aturan Tuhan. Mereka mahu puasa dilaksanakan pada musim dingin atau musim bunga yang siangnya lebih pendek dari malam, berbeza dengan puasa pada musim panas, di samping suhu yang panas, siangnya juga lebih panjang dari malam hari. Itulah kesesatan umat Yahudi dan Kristian.
Umat Islam hari tidak pernah melakukan perubahan begitu kerana itu adalah bercanggah dengan keputusan Allah dan RasulNya. Di samping itu, mereka juga sedar tentang hikmah Allah memerintahkan puasa berdasarkan perjalanan bulan bukan matahari agar puasa dirasakan pada semua musim dan semua cuaca. Sebab, jika puasa berdasarkan perjalanan matahari, maka ibadat puasa akan selau berada dalam satu keadaan.
Jika tahun ini, puasa di mulai pada musim panas, maka selamanya puasa akan berada pada musim panas. Berbeza dengan perjalanan bulan yang selalu berubah, di mana jika tahun ini, puasa dilaksanakan pada musim panas, maka tahun depan atau beberapa tahun kemudian puasa akan dilaksanakan pada musim dingin dan seterusnya.
Umat Yahudi berpuasa pada 10 Muharram
Dalam satu riwayat disebutkan bahawa umat Yahudi berpuasa setiap tahun pada tanggal sepuluh Muharram, sebagai syukur atas keselamatan Nabi Musa a.s dari pemburuan Firaun. Maka Nabi Muhammad s.a.w juga memerintahkan umatnya untuk berpuasa pada tanggal sepuluh Muharram yang dikenal dengan puasa hari ‘Asyura.
Umat Yahudi juga diperintahkan berpuasa satu hari pada hari ke sepuluh bulan ke tujuh dalam hitungan bulan mereka. Puasa itu selama sehari semalam.
Diriwayatkan bahawa Nabi Yusuf a.s pula berpuasa ketika berada dalam penjara bersama para pesalah lainnya. Kebiasaan berpuasa ini juga baginda terapkan ketika menjadi pemerintah Mesir atau ketika menjawat sebagai menteri ekonomi negeri Mesir. Baginda Nabi Yusuf a.s pernah bersabda tentang kekerapan puasa yang dilakukannya:
''Aku khuatir apabila aku kenyang, nanti aku akan melupakan perut fakir miskin
Nabi Yunus a.s pula berpuasa dari makan dan minum ketika berada dalam perut ikan besar selama beberapa hari, kemudian berbuka puasa setelah dimuntahkan kembali dari perut ikan itu. Untuk berbuka, diceritakan baginda memakan buah labu yang tumbuh di tepi pantai.
Baginda Nabi Ayub a.s pula berpuasa pada waktu serba kekurangan dan menderita penyakit selama bertahun-tahun, sampai akhirnya baginda sihat seperti sediakala.
Baginda Nabi Syuaib a.s yang terkenal kesolehannya juga banyak melakukan puasa dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah.
Mengetahui sejarah puasa umat terdahulu adalah penting agar umat Islam hari ini jangan mencontohi puasa umat yang menyeleweng seperti umat Yahudi yang memilih waktu puasa yang bukan menurut aturan Allah. Sebab itu, ibadat yang lakukan adalah rugi dan tidak diterima oleh Allah.
Tujuan puasa adalah untuk perubahan ke arah yang lebih baik. Puasa akan menjadikan manusia berubah dari tingkat mukmin biasa menjadi golongan mutaqqin atau orang yang bertakwa.
Sebenarnya untuk berubah ke arah dan bentuk yang lebih baik, bukan hanya manusia yang berpuasa, akan tetapi sebahagian binatang ketika bermetamorfosa (berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain) juga berpuasa. Ini seperti kupu-kupu yang berpuasa ketika mula berubah dari ulat yang bentuk dan rupanya hodoh untuk menjadi seekor kupu-kupu yang bersayap, cantik dan berawan indah.