Minggu lepas viral di media sosial apabila langit di Pulau Mentaro, Muaro Jambi bertukar menjadi merah. Malah kebanyakan penduduk di sana beranggapan ini adalah salah satu tanda kiamat menghampiri.
Namun menurut Pendakwah Bebas Ustaz Riza Kamaruddin, fenomena berkenaan bukanlah salah satu satu tanda kiamat.
“Itu bukanlah salah satu tanda kiamat sebab tidak termasuk pun dalam tanda-tanda kiamat besar atau kecil. Kejadian itu adalah disebabkan kerosakan dari tangan manusia,” katanya ketika ditanya berhubung fenomena yang cukup menggemparkan itu.
Dalam pada itu menurut laporan di Astro Awani fenomena langit bertukar menjadi warna merah itu adalah berpunca daripada keadaan jerebu yang sudah berada pada lapisan tinggi di atmosfera kesan daripada kebakaran hutan yang meluas.
Ketua Data Pusat Data dan Informasi (Kapusdatin) Badan Nasional Penanggulangan Bencana ( BNPB), Agus Wibowo Soet berkata, kejadian itu juga yang dikenali sebagai Hamburan Rayleigh disebabkan berlakunya pergerakan jerebu daripada titik panas.
“Warna merah tersebut merupakan kabut asap (jerebu) yang bergerak dari titik panas yang ada di wilayah bahagian selatan Riau,” ujar Agus petik laporan Kompas.com, sambil berkata titik panas ini sudah muncul sejak pertengahan Ogos 2019.
Walaupun bukan petanda kiamat, tetapi kita perlu sentiasa percaya hari pembalasan itu akan tiba satu hari nanti. Selagi kita beriman kepada Allah yang satu, selagi itulah tiada siapa boleh mengubah kepercayaan tentang akidah.
Hanya kekal berpegang pada syahadah bahawa tiada Tuhan disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.