Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat yang akan berlaku di akhir zaman. Oleh itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini.

Dajjal dikatakan akan menakluki semua kota yang ada di dunia kecuali dua iaitu Makkah dan Madinah kerana dua kota ini dijaga oleh dua Malaikat yang akan menghalang Dajjal dari memasukinya.

Apa dia dajjal?

Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, ertinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.

  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.

  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.

  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu.

Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipu daya.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang manusia.

  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.

  • Sebelah daripada matanya buta.

  • Tertulis pada dahinya كفر (kufur).

Nas Hadis Berkenaan Dajjal

Daripada Anas bin Malik beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:
الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ…

Maksudnya: “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir… Riwayat Muslim (7550)

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW menceritakan Dajjal di tengah-tengah manusia, lalu beliau bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِأَعْوَرَ ، أَلا إِنَّ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak buta sebelah, dan ketahuilah sesungguhnya al-Masih al-Dajjal adalah buta mata sebelah kanannya. Matanya bagaikan anggur yang terjuntai.” Riwayat al-Bukhari (3184)

Dalam satu hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada Nawwas ibn Sam’an R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW menyebut dalam menyifatkan Dajjal dalam sabdanya:
إِنَّهُ شَابٌّ قَطَطٌ عَيْنُهُ طَافِئَةٌ كَأَنِّى أُشَبِّهُهُ بِعَبْدِ الْعُزَّى بْنِ قَطَنٍ

Maksudnya: Sesungguhnya dia (Dajjal) itu ialah seorang pemuda, yang rambutnya keriting, matanya menonjol ke depan. Aku perumpamakan dia dengan Abdul ‘Uzza Ibni Qathn. Riwayat Muslim (7560)

Daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

IKLAN

إِنِّي قَدْ حَدَّثْتُكُمْ عَنِ الدَّجَّالِ حَتَّى خَشِيتُ أَنْ لاَ تَعْقِلُوا ، إِنَّ مَسِيحَ الدَّجَّالِ رَجُلٌ قَصِيرٌ ، أَفْحَجُ ، جَعْدٌ ، أَعْوَرُ مَطْمُوسُ الْعَيْنِ ، لَيْسَ بِنَاتِئَةٍ ، وَلاَ حَجْرَاءَ ، فَإِنْ أُلْبِسَ عَلَيْكُمْ ، فَاعْلَمُوا أَنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah menceritakan mengenai Dajjal kepada kamu hingga aku khuatir kamu tidak lagi mampu memahaminya. Sesungguhnya Masih al-Dajjal itu seorang lelaki yang pendek, berkaki bengkok, berambut kerinting, buta sebelah matanya, tidak terlalu tersembul dan tidak pula terlalu tenggelam. Jika kamu merasa bingung, ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta’ala tidak buta sebelah.”
Riwayat Abu Daud (4320) dan Ahmad (2344)

Mengapakah Tidak Disebut Lafaz Dajjal di dalam al-Qur’an?

Bagi menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang membincangkan berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan. Antaranya:

Pertama: Dajjal disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al-Qur’an. Contohnya:
Firman Allah SWT:
يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا

Maksudnya: “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya”. (Surah al-An’am: 158)
Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabbah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.

Kedua: Al-Qur’an telah menyebut Nabi Isa AS dan Nabi Isa AS yang akan membunuh Dajjal. Maka dengan itu, sudah memadai menyebut Nabi Isa AS yang membawa kepada hidayah daripada menyebut Dajjal yang menyeru kepada kesesatan. Sudah menjadi adat (kebiasaan) orang arab adalah sudah memadai menyebut salah satu daripada perkara yang berlawanan.

Ketiga: Al-Qur’an tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya. Ini kerana, Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuannan (rububiyyah) sedangkan dia adalah manusia biasa. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut namanya di dalam al-Qur’an bagi menghina dan memperlekehkannya. Persoalan yang timbul, mengapa al-Qur’an menyebut Firaun sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Jawapannya adalah kerana Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir. Di samping itu juga, agar kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal kisahnya belum berlaku dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya.

Di manakah Dajjal Akan Keluar?

Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan[2] (Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah. Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. (Lihat Fath al-Bari) Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya:

Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ
Maksudnya: “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”.
Riwayat al-Tirmizi (2237). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith ini adalah sahih.

IKLAN

Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Wabil menyebut bahawa Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan dari Perkampungan Yahudiyah di Kota Asfahan. Ini berdasarkan kepada hadis Fatimah bint Qais R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ إِنَّهُ فِى بَحْرِ الشَّامِ أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ ما هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ ». وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ.
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, bahkan dia akan datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur? Apa itu dari arah timur.. Dan baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur.” Riwayat Muslim (7573)

Bilakah Muncul Atau Keluarnya Dajjal?

Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)”. (Surah al-A’raf: 186)

Tertib Kemunculan Dajjal Antara Alamat Kiamat

Syeikh al-Mubarakfuri berkata:
اعْلَمْ أَنَّ الرِّوَايَاتِ قَدِ اختلفت في ترتيب الايات العشر ولذ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي تَرْتِيبِهَا فَقَدْ قِيلَ إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ الدُّخَانُ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ نُزُولُ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ ثُمَّ خُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّابَّةِ ثُمَّ طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِنَّ الْكُفَّارَ يُسْلِمُونَ فِي زَمَنِ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ حَتَّى تَكُونَ الدَّعْوَةُ وَاحِدَةً
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudia keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini menjadi satu”. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 346/6)

Apakah Kesudahan Daripada Fitnah Dajjal Ini?

Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu.

Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:

IKLAN

إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”.
Riwayat Ibn Majah (4077). Syeikh al-Arna’uth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif.

Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.

Petunjuk Nabi SAW dalam Menghadapi Fitnah Dajjal

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”.
Riwayat Muslim (1342)

Ini kerana, Imam al-Suyuthi mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). (Lihat Al-Dibaj ‘ala Muslim, 2/403)

Penutup

Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. Riwayat Muslim (588)

Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.

Nota Hujung:
[1] Beliau ialah Abd al-'Uzza bin Qathan bin Amr al- Khuza'i. Ada yang mengatakan bahawa beliau berasal daripada kalangan Bani Musthaliq dari suku Khuza'ah. Ibunya bernama Halah binti Khuwailid. Ibnu Qathan tidak memiliki pertalian sahabat dengan Rasulullah SAW kerana dia telah meninggal pada zaman jahiliah. Adapun tambahan riwayat yang mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Apakah keserupaannya denganku itu membahayakan bagiku?" Lalu Nabi menjawab, "Tidak, engkau muslim sedang dia kafir" adalah tambahan yang da'if daripada riwayat al-Mas'udi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang dicampur dengan hadis lain. (Lihat Ta'liq Ahmad Syakir atas Musnad Ahmad 15/30-31; al-lsobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/239, dan Fath al-Bari, 6/488 dan 13/101).

[2] Khorasan Raya (juga dieja Khorasaan, Khurasan dan Khurasaan) adalah istilah moden untuk wilayah timur Iran kuno atau Parsi sejak abad ke-3. Khorasan Raya meliputi wilayah yang kini merupakan sebahagian wilayah-wilayah dalam negara-negara seperti Iran, Afghanistan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.

Khorasan Raya meliputi Nishapur, Tus (kini di Iran), Herat, Balkh, Kabul dan Ghazni (kini di Afghanistan), Merv (kini di Turkmenistan), Samarqand, Bukhara dan Khiva (kini di Uzbekistan), Khujand dan Panjakent (kini di Tajikistan). (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Khorasan_Raya)

[3] Syeikh Muhammad Abduh pernah ditanya tentang Dajjal dan terbunuhnya ia oleh Nabi Isa AS, beliau menjawab "Sesungguhnya Dajjal merupakan simbol khurafat, penyimpangan dan kejahatan yang mengubah penetapan Syariah daripada bentuknya…" (Lihat Tafsir al-Manar 3/317) Pendapat sama juga dikemukakan oleh Muhammad Fuhaim Abu ‘Ubayyah. (Lihat Ta’liq al-Bidayah wa al-Nihayah,1/152) Sumber :- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI