World #QuranHour yang diadakan buat kali ketiga pada 7 Jun, bukan hanya disertai orang Islam sahaja tetapi turut disertai oleh mereka yang ingin mendalami Al-Quran. Betapa kuatnya kuasa kalam ini sehingga mampu menarik mereka yang bukan Islam untuk membaca kalam suci ini.
Bagi gadis berbangsa Cina, Alice Ng, 34, ini adalah kali kedua beliau menghadirkan diri dalam program World #QuranHour.
“Kedatangan saya ke sini adalah untuk bersama menghayati bacaan ayat suci al-Quran yang dibaca secara beramai-ramai.
“Saya pernah mendengar sebuah hadis yang menyatakan bahawa seseorang yang membaca al-Quran akan disaksikan dan dikelilingi oleh malaikat-malaikat,” katanya kepada Sinar Harian di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.
Walaupun masih berfahaman Atheis, Alice berkata, hadis itulah yang menyebabkan beliau hadir dan berada bersama mereka yang membaca al-Quran.
Menurutnya, betapa seronoknya membaca al-Quran sehinggakan malaikat bersama mereka yang membaca al-Quran.
Beliau juga menyarankan umat Islam supaya rebutlah peluang membaca al-Quran. Tempoh 10 minit membaca kitab suci ini adalah sangat bersesuaian dan sungguhpun tidak berkesempatan bacalah walaupun dua muka surat.
“Kita berpuasa dan bersolat, itu antara kita dan ALLAH tetapi apabila membaca al-Quran, kita akan disaksikan dan dikelilingi oleh malaikat-malaikat.
“Saya pernah membaca al-Quran dan Surah Al-Fatihah adalah surah kegemaran saya,” katanya.
Kenapa Surah Al-Fatihah sangat dekat dengan dirinya? Kerana Surah Al-Fatihah menyentuh hubungan antara sesama manusia dan dengan ALLAH.
“Kita kena baca al-Quran kerana natijahnya sangat terbaik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian