Mereka dinikahkan pada 8 November lepas, genap sebulan selepas menikmati hidup berumah tangga, pasangan Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi, 24 dan Nur Diana Afifah Hasnulhady, 24 dipanggil mengadap Ilahi setelah terlibat dalam kemalangan di Rompin.
Menurut ayah Mohamad Syahmi, Mohd Rawi Manab, 50, dia tidak menyangka hasrat anak sulungnya itu untuk menghantar barang adik bongsunya (lelaki) yang berusia 20 tahun ke Politeknik Muadzam Shah, Bandar Muadzam Shah akan berakhir dengan tragedi.
“Sepatutnya saya yang hantar, tetapi dia menawarkan diri untuk berbuat demikian kerana ingin berjalan-jalan ke rumah neneknya di Mersing sebelum berkonvoi Teluk Chempedak, Kuantan bersama sebuah lagi kereta.
BUNYI DENTUMAN KUAT
“Semasa dalam perjalanan pulang itulah mereka terlibat dalam kemalangan dan menurut anak bongsu saya yang memandu sebuah lagi kereta, dia terdengar bunyi letupan sebelum menyedari kenderaan Mohamad Syahmi terlibat dengan kemalangan itu,” katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik, Hospital Rompin.
Sepanjang temu bual itu, Mohd Rawi yang berasal dari Johor Bahru tidak dapat menahan rasa sebak dan terpaksa berhenti beberapa kali bercakap disebabkan terlalu sedih dengan kejadian menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu.
“Barang-barang perkahwinan pun masih belum habis dikemas sebab dia dan isterinya bercadang untuk pindah ke rumah sewa di Taman Perling, Johor Bahru,” katanya.
MAUT DI TEMPAT KEJADIAN
Dalam kemalangan pada 1.30 pagi tadi, Mohamad Syahmi bersama isterinya Nur Diana maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Viva yang mereka naiki masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang dinaiki 30 penumpang.
Kemalangan itu turut meragut nyawa dua lagi sepupu Mohamad Syahmi, Yasmin Afiqah Hazemi, 14, dan Yasmin Aliah Hazemi , 12.
Bagaimanapun ibu kepada dua beradik berkenaan tidak dapat ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kehilangan mengejut anaknya itu, malah turut kelihatan hampir pengsan selepas melihat jasad dua anaknya di dalam bilik mayat.
Sementara itu kakak kepada Nur Diana, Nur Hadira Aifa, 25 tidak menyangka pesanan adiknya kepada ibu mereka bahawa dia ingin bercuti lama di Mersing semalam merupakan petanda dia akan dikebumikan di situ.
“Dia beritahu hendak bercuti lama sedikit sebab ini kali pertama Nur Diana berjalan jauh ke rumah nenek Mohamad Syahmi di Sri Pantai Mersing selepas mendirikan rumah tangga pada 8 Nov lalu selepas setahun bercinta,”katanya.
MINTA PADAM AKAUN FACEBOOK
Baru-baru ini, katanya adiknya yang merupakan anak ketiga daripada enam beradil itu juga sempat meninggalkan pesanan supaya memadamkan akaun Facebooknya jika terjadi sesuatu pada dirinya.
Jenazah kesemua mangsa difahamkan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam, Sri Pantai Mersing.
Sumber kredit: BERNAMA dan Buletin TV3
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI