Menjadi suri rumah bukanlah mudah pada zaman hari ini. Ibu-ibu perlu ada kemahiran tinggi kerana cabaran dilalui hari ini tidak sama dengan zaman mak ayah kita dahulu khususnya dari segi kewangan.
Tidak timbul istilah suri rumah kerana isteri yang berkorban segala-galanya bagi memastikan ruang lingkup rumah sempurna kerana para ibu inilah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah.
Hebatnya seorang suri rumah itu hingga ia menjadi inspirasi kepada anak-anaknya sendiri yang berasa kagum dengan cara ibunya menguruskan rumah. Malah ibu yang punya banyak masa di rumah akan lebih rapat dengan anak-anaknya berbanding ibu bekerja.
Seorang guru, Fathanah Nasir berkongsi di akaun twitternya @fathanahnasir tentang cita-cita seorang anak muridnya darjah 2 selepas terinspirasi melihat kehebatan ibunya boleh jadi macam-macam walau duduk di rumah.
Kongsinya :-
Saya tertarik dengan cita-cita salah seorang murid saya (Tahun 2). Sedang rakan yang lain mahu bergelar guru, polis, askar dia pula mahu bergelar seorang surir umah yang berpendidikan. Saya tanya kenapa? Lalu dia menjawab…
“Bila saya jadi suri rumah yang berpendidikan maka saya mampu jadi semua yang dicita-citakan rakan lain. Saya boleh jadi guru, saya boleh jadi doktor, boleh jadi chef, saya boleh jadi security. Terdetik dalam hati Ya Allah macam mana anak seusia ini mampu berfikir sedemikian?
“Bila saya tanya lagi, dari mana datangnya mimpi dan cita-cita itu? Dia jawab dari ibu dia. Dia puji kehebatan ibu dia yang mampu urus dia dan adik beradik termasuk ayahnya dengan bermacam pekerjaan dalam satu masa.
“Katanya Ibu yang gerak awal pagi ke sekolah, ibu yang gerak ayah kerja, ibu buatkan sahur, ibu periksa keadaan suhu badan kami, ibu semak kerja sekolah dan lain-lain. Ibu cakap kena belajar rajin-rajin boleh jadi macam ayah tapi saya nak jadi macam ibu!
“Tambahnya lagi, saya percaya cita-cita ini cita-cita yang baik sebab ibu kata kalau buat perkara yang baik Allah sayang.
Dari jawapan murid ini saya teringat dengan petikan buku Memori Bukan Memoir dari Dr. Maszlee Malik yang mengambil kata dari Eleanor Roosevelt:-
“masa depan adalah milik mereka yang percaya kepada keindahan mimpi mereka”.
Kata Dr Maszlee dalam penulisannya:-
“Bermimpilah! Percayalah dengan keindahan mimpi dan aspirasi kita, pelajari daripada orang lain tentang cara melakukan sesuatu dan terus melakukan apa sahaja yg diperlukan untuk menjadikan semua yang kita impikan satu kenyataan. Apa pun cita-cita dan mimpi mereka, sebagai pendidik kita bantu realisasikannya. Beri tunjuk ajar, ilmu dan pendidikan yang cukup dan baik. Semoga mereka membesar dengan penuh ilmu di dada.
Tambah guru ini lagi, dirinya memang tidak mahu mendedahkan privasi anak muridnya saat ditanya oleh pengikutnya. Cukuplah dirinya dan guru-guru saja yang tahu. Ini kerana katanya, ini antara sebab saya tak dedahkan identiti si murid utk jaga privasi dan elak berlaku sindiran terhadapnya. Usia 8 tahun, hidup zaman digital boleh jadi pengaruh itu datang dari pemerhatian terhadap sekeliling (drama, youtube dan lain-lain). Impian dia boleh berubah dari semasa ke semasa,” kongsinya.
Ya, tugas ibu itu sangat mulia dan anak-anak hebat juga lahir dari seorang ibu yang mampu menjadikan ibunya idola mereka sendiri.