Kerohanian

Had Sujud Ketika Melakukan Solat Duduk Di Atas Kerusi

Share

Ramai yang melakukan solat secara duduk di atas kerusi dek masalah kesihatan terutama bagi golongan yang berusia.

Namun selalu menjadi persoalan tentang solat duduk di atas kerusi ini adalah perihal had sujud. Ini kerana bila solat duduk di atas kerusi kebanyakannya sujud dalam bentuk rukuk.

Berikut adalah penjelasan tentang perkara ini yang dibuat oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Antara dalil yang membolehkan seseorang untuk menunaikan solat dalam keadaan duduk sekiranya tidak mampu adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kepada keumuman maksud hadis ini dapat difahami bahawa paling utama adalah solat duduk di atas lantai dan duduk secara iftirasy (duduk antara dua sujud)[1] lebih utama berbanding duduk secara tawarruk[2] (duduk tahiyat akhir) dan tarabbu`[3] (bersila).

Namun dibolehkan menunaikan solat dengan cara duduk di atas kerusi bagi orang yang tidak mampu untuk sujud dengan sempurna atau tidak mampu untuk duduk di atas lantai.

Had sujud bagi solat duduk

Secara asasnya bagi pesakit yang mampu solat berdiri dan mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, maka hendaklah dia sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada had kesempurnaan rukuk.

Sekiranya tidak mampu, maka dia boleh sujud dalam bentuk rukuk. Perkara ini sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli:

ولو قدر المصلي على الركوع فقط كرره للسجود، ومن قدر على زيادة على أكمل الركوع تعينت تلك الزيادة للسجود لأن الفرق واجب بينهما على المتمكن ولو عجز عن السجود إلا أن يسجد بمقدم رأسه أو صدغه وكان بذلك أقرب إلى الأرض وجب، فإن عجزأومأ برأسه والسجود أخفض من الركوع

Maksudnya: “Sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk sahaja maka dia perlu mengulangi rukuk untuk menggantikan sujud. Sesiapa yang mampu untuk melebihkan daripada kadar kesempurnaan rukuk maka hendaklah dia melakukannya. Hal ini kerana wajib membezakan antara rukuk dan sujud bagi orang yang mampu untuk melakukannya walaupun dia tidak mampu untuk sujud. Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya atau dengan bahagian tepi wajah menjadikannya lebih rapat ke bumi maka wajib dia melakukannya. Jika dia tidak mampu maka boleh menggunakan isyarat dan sujud mestilah lebih rendah daripada rukuk[5].

Cara rukuk bagi solat duduk

Manakala rukuk bagi orang yang solat dalam keadaan duduk adalah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut dan paling sempurna adalah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.[6]

Realitinya, kebanyakan jemaah di masjid yang solat menggunakan kerusi akan melakukan rukuk terlebih dahulu sebelum melakukan sujud dengan cara duduk di atas kerusi.

Hal ini bukanlah suatu kesalahan kerana menurut Syeikh al-Bujairimi tidak disyaratkan melakukan sujud itu dalam keadaan berdiri malahan boleh dilakukan dalam keadaan duduk kerana itu lebih hampir dengan sujud. Syeikh al-Bujairimi berkata:

وقوله: يجلس ثم يقوم ويومئ انظر هل القيام شرط؟ وما المانع من الإيماء للسجود الثاني من جلوس مع أنه أقرب؟ تأمل.

Maksudnya: “Perkataan pengarang “Dia duduk, kemudian berdiri dan membuat isyarat sujud”, Lihat, adakah berdiri itu merupakan syarat? Apakah halangan untuk memberi isyarat pada sujud kedua sambil duduk, sedangkan ia lebih hampir? renungkan![7]”

Selain itu, duduk untuk melakukan sujud tidak dianggap menambah rukun kerana menambah rukun yang boleh menyebabkan batalnya solat ialah seperti menambah sujud dan rukuk dengan sengaja. Melakukan duduk sebelum sujud tidak termasuk dalam menambah rukun.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

 

Published by
Team Kashoorga