Hadis Palsu Tentang Pakai Celak Pada Hari Asyura,’ Tidak Akan Sakit Mata Buat Selama-lamanya

Share

Penyebaran hadis palsu, tidak sahih sudah menjadi satu fenomena dan trend yang biasa sejak beberapa kurun yang lalu hingga kini. Perkembangan buruk ini bertambah meluas dan pantas seiring dengan kecanggihan perkembangan teknologi maklumat serta dunia tidak bersempadan hari ini.

Hadis-hadis palsu semakin mudah tular melalui aplikasi seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan media sosial seumpamanya. Terlalu senang kita berkongsi sesuatu yang dikatakan hadis walhal kita tidak tahu kesahihannya.


Ketika hari Asyura’ berlegar-legar hadis tentang pemakaian celak di hari Asyura’.

Berikut hadis yang dimaksudkan.

مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ تَرْمَدْ عَيْنُهُ أَبَدًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang bercelak mata dengan ithmid (sejenis celak) pada hari Asyura’, maka dia tidak akan sakit mata buat selama-lamanya”.


Terdapat dua pandangan berkaitan hadis memakai celak pada hari Asyura’:

Berkata Imam Ibn al-Qayyim (751 H):

وَمِنْهَا أَحَادِيثُ الاكْتِحَالِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَالتَّزَيُّنِ وَالتَّوْسِعَةِ وَالصَّلاةِ فِيهِ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ فَضَائِلَ لا يَصِحُّ مِنْهَا شَيْءٌ وَلا حَدِيثٌ وَاحِدٌ وَلا يَثْبُتُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِ شَيْءٌ غَيْرُ أَحَادِيثِ صِيَامِهِ وَمَا عَدَاهَا فَبَاطِلٌ.

Maksudnya: “Di antaranya hadith-hadith berkaitan penggunaan celak pada hari ‘Asyura’, mencantikkan diri, membelanja (ahli keluarga), bersolat padanya dan lain-lain yang mempunyai fadhilat maka tidak ada yang sahih mengenainya dan tidak ada satu hadith pun yang mana semua itu tidak datang daripada Nabi saw apa-apa darinya melainkan hadith-hadith berkaitan puasa padanya dan selain daripadanya adalah bathil (tidak sahih).”

Imam Ibn Rejab (795 H) berkata:

وكل ما روى في فضل الإكتحال في يوم عاشوراء والإختضاب والإغتسال فيه فموضوع لا يصح

Maksudnya: “Setiap yang diriwayatkan berkaitan hari Asyura’ ada menyatakan kelebihan bercelak, berhias dan mandi pada hari tersebut adalah tidak sahih.” 

Tambahan pula, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi turut mengkritik hadis memakai celak pada hari Asyura’ di dalam kitabnya Fiqh al-Siyam pada bab yang membicarakan berkaitan puasa pada hari Asyura’.


Walau bagaimanapun, memakai celak merupakan satu sunnah bagi lelaki dan juga wanita kerana Nabi SAW juga memakainya di mata Baginda SAW. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

اكْتَحِلُوا بِالإِثْمِدِ فَإِنَّهُ يَجْلُو البَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ

Maksudnya: “Bercelaklah kamu dengan ihmid (sejenis celak) kerana sesungguhnya ia boleh menguatkan pandangan mata serta menumbuhkan bulu mata.” 

Memakai celak adalah sunnah bagi lelaki dan wanita dan ia boleh dipakai pada bila-bila masa sahaja bukan hanya pada 10 Muharram sahaja berdasarkan umum hadis Ibn Abbas R.anhuma. Akhirnya, marilah bersama-sama kita meningkatkan amalan kita terutama pada hari Asyura’ dengan berpuasa serta ditambah dengan amalan-amalan yang lain. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan serta menerima segala amal kebajikan yang kita telah lakukan.

Published by
wan erni