SOALAN: Apakah status hadis ini?

مَنْ يُبَارِك الـنَّاسَ بِهَذَا الشَّهْرِ الفَضِيْلِ – يَعْنِي رَجَب – تَحْرُم عَلَيْهِ النَّار

Maksudnya: “Barangsiapa yang memberitahu akan kemasukan bulan (1 Rejab) yang mulia ini kepada orang lain, maka haram baginya api neraka.”

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Setiap kali kemasukan awal bulan Islam, maka akan tersebar hadis-hadis yang menceritakan akan kelebihan bulan-bulan tersebut. Bersempena dengan kemasukan awal bulan Rejab yang mulia ini, dijelaskan berkaitan status hadis di atas, yang mana ia sentiasa disebut atau disebarkan oleh sebahagian masyarakat kita pada hari ini.

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia dan ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Tambahan pula, Allah SWT juga berfirman berkaitan bulan Haram ini di dalam surah al-Taubah:

Firman Allah SWT:

إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ [al-Taubah:36]

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.

Di antara kelebihan yang terdapat di dalam bulan Haram ini ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya, yang mana beliau telah menukilkan pendapat daripada Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan di dalam bulan Haram ini adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Tafsir Ibn Kathir, 4:130]

Berdasarkan soalan di atas, hadis di atas adalah palsu dan tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadis yang muktabar. Ini merupakan salah satu pendustaan yang direka dan disandarkan di atas nama Nabi SAW. Bahkan, hadis ini juga turut digunakan pada bulan-bulan Islam yang lain seperti Zulhijjah, Sya’ban, Ramadhan, Muharram dan sebagainya.

Kesemua hadis yang menceritakan tentang kelebihan memberitahu akan kemasukan awal bulan-bulan Islam ini adalah palsu. Justeru itu, penyebaran hadis ini perlu dihentikan dengan serta-merta sama ada melalui meja-meja penceramah dan juga media sosial serta ia tidak boleh lagi disebarkan melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.

HUKUM MERIWAYATKAN HADIS PALSU

IKLAN

Para ulama menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau haram bagi kita meriwayatkan hadis palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuthi dan ramai lagi termasuk ulama-ulama hadis masa kini.

Hukum ini terbina berdasarkan kepada hadis-hadis yang menceritakan berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW.

Antara hadis tersebut adalah seperti berikut:

Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]

Nabi SAW bersabda:
مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak perah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (109)]

Nabi SAW bersabda:
وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

IKLAN

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (110)]

Nabi SAW bersabda:
لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجِ النَّارَ

Maksudnya: “Janganlah kamu berdusta di atas namaku, kerana ia iaitu yang berdusta di atas namaku tempatnya adalah neraka.” [Riwayat al-Bukhari (106) dan Muslim (1)]

Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta.” [Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim]

TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN KITA

Sebagai seorang mukmin yang cinta kepada Rasulullah SAW seharusnya bagi kita menjaga nama dan diri Rasulullah SAW daripada dicemari dengan pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan bukti dan tanda cinta serta kasih kita kepada Rasulullah SAW sebagaimana di dalam sebuah hadis:

Sabda Nabi SAW:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

IKLAN

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepadaku lebih daripada dia kasih kepada ibubapanya, anakya dan manusia keseluruhannya.” [Riwayat al-Bukhari (15)]

Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampaikan atau menyebarkan sesebuah hadis Nabi SAW, ia perlulah dikenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadis tersebut. Ini kerana, bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadis tersebut, akan menyebabkan kita termasuk ke dalam ancaman Nabi SAW. Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga daripada penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam.

PENUTUP

Kesimpulannya, hadis palsu merupakan peringkat hadis dhaif yang paling buruk sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Salah:

اعْلَمْ أَنَّ الْحَدِيثَ الْمَوْضُوعَ شَرُّ الْأَحَادِيثِ الضَّعِيفَةِ

Maksudnya: “Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya hadis palsu adalah termasuk di dalam hadis-hadis dhaif yang paling buruk.” [Lihat: al-Muqaddimah, 98]

Tambahan pula, hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram melainkan bagi menyatakan akan kepalsuannya dan akibatnya akan dicampakkan ke dalam neraka di akhirat kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW. Amin.

Wallahua’lam

Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

VIDEO:

https://www.youtube.com/watch?v=scqmCOus7-U

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI