Kadangkala kita tidak pernah menyangka yang kita menjadi sasaran pencuri mahupun perompak. Hanya beberapa minit terleka sudah cukup untuk kita menjadi mangsa. Maka sebab itulah walau di mana sahaja kita berada terutama kaum wanita, kita perlu lebih berhati-hati. Ini kerana ‘bahaya’ ada di mana-mana.
Berikut catatan Ustazah Asma Harun di laman Facebooknya bercerita pengalaman hampir disamun ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya usai memberi ceramah.
Malam tadi, ia benar-benar berlaku ke atas saya, tidak pernah terfikir dan terbayang.
لا حول ولا قوة الا بالله
Tiada Daya dan Upaya. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah sebaik-baik pelindung.
Lokasi kuliyah daripada rumah tak jauh, dalam 5 km shj. Lebih kurang jam 8.20 mlm, dan memang ketika memandu malam tadi beberapa kali saya tekan lock semua pintu, lebih daripada biasa, Allah dah beri rasa tu.
Melalui satu selekoh biasa, sekilas pandang ada perasan sebuah motor dan pemandu di atasnya tepi jalan. Mungkin dari situ saya diekori. Sampai penghujung jalan saya perlu menunggu sebuah kereta dihadapan untuk membelok ke kanan. Jalan ni memang sibuk dan memakan masa untuk dapat membelok.
HEMPAS BATANG BESI PADA CERMIN KERETA
Allahu Akbar. Seorang lelaki badan tegap bertopi keledar gelap berdiri di sebelah pintu penumpang sebelah kiri menarik-narik pintu. Dia turun daripada motor. Saya tak nampak sama ada seorang atau berdua. Tiba-tiba ada kereta di belakang dan dia cepat-cepat kembali ke motornya.
Gambar zsekadar hiasan.
Ketika itu hanya rasa takut dan kaku. Mengambil masa yang lama untuk membelok ke kanan walaupun ada ruang. Akhirnya pedal minyak ditekan perlahan menuju lokasi dalam keadaan rasa yakin tidak diekori. Saya parking belakang sekali pada deretan kereta. Saya tak perasan suasana sunyi di situ. Itu satu kesilapan besar apabila kita dah menjadi target. Sepatutnya saya ke kawasan ramai orang atau ke balai polis berdekatan.
Saya kaku dan membatu, cuba tenangkan diri. Syukurnya saya tidak terus keluar. Tiba-tiba, ya Allah.. Saya nampak kelibat yang sama daripada belakang menerusi cermin depan sedang menuju ke arah kereta. Saya terus menekan hon sekuat hati, namun dia dengan laju datang dan menghempas kuat batang besi yang agak besar pada tingkap sebelah kiri.
Ads
Ketika itu, dengan sisa tenang dan kekuatan yang ada saya reverse, untuk mengambil ruang agar tidak melanggar kereta depan yang saya parking agak rapat. Terus minyak ditekan laju dan masuk mengejut ke kawasan kuliyah.
BUNYI DENTUMAN KUAT
Syukur saya tidak melanggar sesiapa. Pandangan masa tu memang kabur. Gelap rasa semuanya. Rasa nak pitam dan adrenaline memang tahap maksimum. Ramai yang keluar untuk melihat apa yang berlaku kerana mendengar kuatnya dentuman pukulan ke arah cermin kereta. Allahu Akbar, cermin tu sedikitpun tidak pecah atau retak.
Allah.. Allah.. Allah.. Itu sahaja kalimah yang mampu keluar. Allah ya Hafiz ya Muhaimin. Dialah sebaik-baik yang menjaga dan memelihara kita. Kita sangat lemah dan tidak berdaya sedikitpun.
Sebenarnya sangat jarang saya keluar malam seorang diri, biasanya suami akan hantar dan jemput daripada lokasi kuliyah/ceramah. Namun malam tadi suami di Terengganu, balik emergency dan saya tetap perlu hadir jemputan yang dah lama diatur. Saya percaya ramai wanita perlu melalui keadaan seperti ini lagi-lagi yang tinggal berjauhan dengan suami. Moga Allah sentiasa melindungi kalian.
Nasihat dan beberapa tip:
1. Wanita yang memandu seorang diri memang menjadi sasaran utama penjenayah, jangan sesekali rasa selesa kerana sudah biasa. Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Samada siang atau malam. Contohnya suri rumah yang hantar anak-anak ke sekolah, kerana anda mungkin akan pulang seorang diri, tak mustahil ada yang memerhati dan mengekori sehingga anda turun daripada kereta untuk diserang hendap.
Ads
2. Sebaik sahaja masuk kereta terus lock semua pintu. Walaupun jalan biasa atau lokasi yang dituju sangat dekat. Lock sahaja, ia percuma. Tapi mampu menyelamatkan nyawa dan harta.
3. Elakkan meletakkan handbag atau seumpamanya di tempat yang mudah dilihat terutamanya seat sebelah, namun handphone pastikan diletakkn di tempat yang mudah dicapai.
4. Jika diserang seperti saya di atas, bunyikan hon sekuatnya agak membantu, walaupun penyerang tidak lari tapi sekurangnya dia mula panic kerana kita menunjukkan tindakbalas. Memang selama ni saya set dalam kepala jika berlaku situasi begini saya akan tekan hon sekuatnya.
5. Ketenangan dan sedikit keberanian sangat penting. Ketakutan melampau, kelam kabut dan panic akan memberi kemenangan awal kepada penyerang. Saya mungkin sahaja tekan minyak dan melanggar kuat kereta depan, atau hanya menjerit ketakutan. Di sinilah saya sedar betapa penting kita memberi bayangan awal kepada fikiran kita, jika berlaku begini akan buat begini. Dan saya memang kuat buat khayalan.
6. Jika anda dilanggar daripada mana-mana arah, jangan terlalu cepat turun daripada kereta untuk melihat kerosakan. Lagi pula jika tempat tersebut agak sunyi. Pelanggaran tersebut mungkin dirancang.
7. Bila sampai di lokasi atau di rumah jangan terus turun daripada kereta, contohnya untuk membuka pintu pagar dll. Pastikan semuanya selamat dan tiada sesiapa yang mengekori.
8. Ini sangat penting dan yang paling utama. Hakikatnya Allah ya Hafiz ya Muhaimin Yang Maha Menjaga dan Maha Mengawasi kita setiap saat. Bukan kecanggihan kereta atau keberanian kita bertindak.
Ads
Maka jangan sesekali lupa untuk memulakan perjalanan dengan doa:
Maksudnya, “Segala Puji dan Maha Suci bagi Allah, yang memudahkan (kenderaan) ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kepada Tuhan kamilah kami akan kembali (di hari Kiamat). Surah Az-Zukhruf, Ayat 13-14
Tambahkan dengan zikir.. يا حافظ يا مهيمن
Ya Allah Yang Maha Menjaga dan Maha Mengawasi, jaga dan awasilah perjalananku daripada awal hingga pulang kembali dalam kesejahteraanmu ya Salaam.
Ingat dan berharaplah kepada Allah سبحانه وتعالى semoga perjalanan kita selamat.
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Taghabun 64: Ayat ke-11)
Saya masih lagi terasa kesan trauma hingga saat ini. Tadi ada bawa kereta di siang hari. Bila ada motor yang nak melalui atau berhenti ketika di lampu isyarat. Debaran tu memang tak boleh dikawal.
Moga Allah terus memelihara kita daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
Sumber kredit: FB: Asma Harun
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Selepas pelbagai spekulasi, pengarah dan juga penerbit Michael Ang akhirnya membuat keputusan mengesahkan dia sudah memeluk agama Islam lebih setahun lalu. Foto Michael bersama Ustaz Sheikh Hussein Yee dan Ustaz Firdaus Wong juga menguatkan spekulasi Michael telah memeluk Islam di hadapan dua orang ustaz tersebut.
Sumber terbaru kad akuan Islam yang tertera gambar dan nama Michael Ang mengukuhkan lagi bahawa Michael Ang sudah memeluk agama Islam. Kemuncaknya khabar gembira itu disampaikan sendiri oleh Michael menerusi sebuah video eksklusif yang dimuat naik di saluran YouTube Official Ria X.
“Alhamdulillah, kini sudah lebih setahun saya bergelar seorang Muslim. Saya dah sedia memberitahu semua mengenai perkara ini.
“Sejujurnya, selama saya mendalami agama Islam, masih ada banyak perkara yang saya harus pelajari.”
MULA BELAJAR PUASA SEJAK TAHUN LALU
Sebelum ini, Michael dikatakan sudah bergelar mualaf semenjak dia mula belajar berpuasa pada Ramadan tahun lalu.
Michael berkongsi yang dia telah memeluk Islam kerana tidak mahu masyarakat terus berteka-teki mengenai status agamanya terutama apabila dia mengunjungi masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
SUDAH SAMPAI MASA BERTERUS-TERANG
“Untuk saya mulakan tunai solat Jumaat, rasanya lebih baik saya berterus-terang daripada apabila orang melihat saya di masjid dan memperkatakan tentang perkara ini,” ujar Michael lagi.
“Saya juga tidak mahu perkara ini diperbesarkan kerana perkara ini antara saya dan Allah. Doakan sahaja saya kekal di jalan ini dan saya alu-alukan segala tunjuk ajar.
“Semoga kita semua menjadi yang terbaik di mata Allah,” katanya yang masih mengekalkan nama asal Michael Ang Hai Swee biarpun sudah memeluk Islam.
Dalam pada itu melalui kemas kini status Instagram Ustaz Firdaus Wong, dia juga mengiakan tentang status Michael Ang.
Benarkah Pengarah Terkenal Michael Ang Telah Meneluk Islam? Ramai yang mesej bertanya apakah benar Michael Ang telah memeluk Islam? Memandangkan @michaelang38 dah kongsikan, maka saya juga turut ingin kongsikan berita gembira ini.
Alhamdulilah. Ya benar beliau telah memeluk agama Islam lebih setahun lepas bersama saya dan Sheikh Hussain Yee dan segala urusan pendaftarannya diuruskan oleh NGO saya iaitu Multiracial Reverted Muslims (MRM). Majlis pengIslaman berlangsung sederhana sahaja di rumah beliau. Kami berjanji merahsiakan sehingga beliau sendiri bersedia.
Alhamdulilah Alhamdulilah Alhamdulilah.. Selamat kembali ke agama Islam, Michael.. Bagilah ruang dan peluang untuk beliau mendalami agama Islam mengikut kemampuan dan kelajuannya yang tersendiri. Jangan sindir dan perli tetapi berikan motivasi dan dorongan bukan sahaja untuk beliau tetapi kepada semua yang mahu kembali kepada Islam.
Jodoh itu rahsia Allah. Sekuat mana pun kita setia, selama mana kita menunggu, sehebat mana kita merancang, sekeras mana kita bersabar namun jika bukan jodoh maka bukanlah. Maka redalah dengan ketentuan Allah.
Seperti perkongsian Amir Syamir, jodoh itu umpama misteri yang perlu disingkap.
Jodoh itu ketentuan Allah. Sehebat mana kita merancang, kalau Allah tak izinkan, tak jadi jugak.
Kadang-kadang, tanpa kita sangka jodoh ada dekat dengan kita. Tak perlu berkenalan terlalu lama. Alhamdulillah Allah mudahkan semuanya.
Cara Allah mengatur jodoh itu sangat unik. Kau kena tunjukkan kau dah bersedia untuk pikul tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri.
Allah telah menetapkan jodoh setiap insan sejak azali lagi, sejak berusia tiga bulan dalam kandungan ibu.
Selalunya bila dia jodoh kita, kita akan rasa sejuk dan gembira memandangnya. Dia sentiasa nampak cantik/kacak di mata kita walaupun orang lain cakap dia tak cantik atau kacak.
Walau bagaimanapun dia, kita akan dapat menerima dia seadanya. Begitu juga dengan dia. Kita akan sentiasa senang, tenang dan gembira jika bersama dengannya. Kelebihannya disyukuri dan kekurangannya diredhai.
KALAU DAH JODOH
Jika kita diuji dengan sesuatu dalam perhubungan tersebut, kita tetap bisa bertahan dan bersabar. Gaduh sekejap je pastu baik. Setiap kali berlaku konflik, dengan kuasa Allah, hubungan itu kembali bertaut dan semakin kuat rasa kasih dan sayang. Itu adalah salah satu tanda jodoh kau orang kuat bersama dia.
Jika keluarga merestui hubungan kita dan dia, itu juga merupakan salah satu tanda dia jodoh kita. Terutamanya apabila ibu dan ayah senang dan kasih dengan dia, In Sha Allah dia lah jodoh yang ditetapkan Allah buat kita.
Kau kena usaha. Kau kena kejar jugak. Kau kena cuba dulu. Kalau dia tak nak tu bukan jodoh kau lah.
Jika dia jodoh kau, dia akan tetap bersama dengan kau walau apa pun rintangan dan dugaan yang datang. Apa yang penting kau kena usaha. Kau kena cari jodoh kau.
Contohnya kau cuba berkenalan dulu. Kenal hati budi. Berta’aruf. Sesi ta’aruf itu juga penting untuk mengetahui dia jodoh kau atau tak. Tapi, kalau kau dah ada yang berkenan di hati, tak payah la nak berta’aruf dengan orang lain pulak.
MOHON PETUNJUK ALLAH
Jika proses ta’aruf itu dipermudahkan Allah, In Sha Allah dialah jodoh yang terbaik. Jika sebaliknya, bersabarlah. Mungkin belum masanya untuk Allah temukan kau dengan jodoh yang terbaik.
Apapun, berdoalah dan beristikharahlah. Mohon petunjuk Allah. Sesungguhnya hanya Allah tahu siapa jodoh yang terbaik untuk kau.
Jika sudah mendapat petunjuk, teruskan langkah. Jika dia jodoh yang Allah tetapkan untuk kau, pasti Allah akan mempermudahkan segalanya.
Apabila Allah menginginkan dua hati bertemu, Dia akan menggerakkan kedua-duanya. Tidak hanya salah satu. Tapi jangan cuba nak try jodoh orang lain pulak ye. Dah kau tahu dia dah berpunya, tak payah la nak cuba juga.
Jodoh ini kalau kau benar-benar sudah bersedia ia akan berlaku sekejap sahaja. Contohnya berkenalan bulan satu, bertunang bulan lima dan berkahwin bulan tujuh. Ataupun lebih pantas daripada itu. Kenal kejap terus nikah.
***
Maca aku, masa cuba je berkenalan dengan dia. Masa mula-mula nak kenal dengan isteri aku, memang aku dah niat nak jadikan dia isteri. Tak nak main-main dah.
Bila dah lama berkenalan dan rasa serasi, aku terus bagitau mak abah aku. Abah aku suruh bertunang dulu. Mak abah aku call mak ayah mertua aku untuk berbincang. Setelah tujuh bulan kenal, kami bertunang. Lima bulan lepas tu kami berkahwin. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan perkahwinan kami.
***
Pada kaum lelaki, persiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, agama, pengurusan kewangan dan motivasi diri. Kawal marah dan tingkatkan kesabaran. Jika kau sudah bersedia, tentunya Allah akan tunjukkan jodoh kau.
Pada kaum wanita, tak perlulah bersedih jika jodoh belum sampai walaupun sudah berusia. Ada hikmah disebaliknya. Perancangan Allah Maha Hebat. Dia tahu apa yang terbaik untuk setiap hambaNya.
Senyumlah dan sabar menunggu jodoh. Berusaha dan berilah ruang dan peluang pada mereka mahu mengenali diri kau. Mana tahu jodoh kau sebenarnya ada depan mata je.
Kepada yang putus cinta. Tak mengapa lah. Sekuat mana pun cinta kau tu, tapi bukan jodoh kau memang tak akan bersatu juga. Dugaan putus cinta buat kau lebih tabah. Bukannya buat kau jadi lemah. Move on je. Anggaplah tak ada jodoh.
Kalau kau tengah bercinta, duk panggil Papa-Mama bagai, tapi pakwe lambat balas mesej pun kau nak emosi tu kena lah ubah ye. Kalau dugaan lambat balas mesej tu pun kau kalah, macam mana nak hadapi dugaan rumah tangga yang lagi hebat. Kah!
Sumber kredit: Facebook: Amir Syamir
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
AYAT ke-19 Surah An-Nisaa ini selalu dibaca, tidak kira ketika bertadarus di bulan Ramadan atau didengari ketika penceramah menyampaikan kuliah di masjid. Bahkan juga menjadi hafalan huffaz sebagai pelengkap ingatan pada Surah An-Nisaa. Namun begitu ia masih lagi belum difahami oleh kebanyakan daripada kita akan isi kandungan serta maksud tersirat yang ingin disampaikan ALLAH SWT di sebalik ayat ini.
TIDAK BOLEH PAKSA
Pada permulaan ayat, ALLAH menukilkan: “Wahai orang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan.” Ayat ini membawa maksud tidak boleh mengahwini atau mengahwinkan wanita dengan cara paksa. Ini kerana menurut sebahagian adat masyarakat Arab jahiliah, apabila seorang suami meninggal dunia, abang kepada suami atau adik-beradik yang paling tua akan mewarisi janda tersebut.
Mewarisi yang dimaksudkan ialah berhak ke atas diri serta harta yang ada padanya. Janda yang kematian suami itu boleh dinikahi sendiri atau dinikahkan dengan orang lain. Akan tetapi mahar perkahwinan akan diambil oleh ahli waris. Pada masa yang sama, keluarga suami ini juga berhak untuk tidak membenarkan janda tersebut berkahwin lagi. Hal ini diharamkan ALLAH. ALLAH sebenarnya telah memberi jaminan kepada mereka yang mendirikan rumah tangga, perkahwinan adalah satu ikatan yang mulia. Dalamnya terkandung banyak kelebihan.
Sehinggakan ALLAH menjadikan pada setiap pasangan yang berkahwin itu perasaan kasih sayang dan belas kasihan antara satu sama lain. Daripada sinilah lahirnya kecintaan dan kerahmatan sebagaimana yang diinginkan ALLAH.
Namun pada masa yang sama ALLAH sama sekali tidak suka sesuatu perkara yang tidak baik berlaku dalam rumah tangga yang dibina. Lebih malang, apabila sesuatu ikatan hati itu sentiasa dicemari dengan kekerasan dan kesulitan yang berpanjangan. Oleh kerana itu, salah satu suruhan ALLAH ke atas suami dalam ayat ini ialah perintah untuk bergaul dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
WILAYAH PENTING
Rumah tangga adalah wilayah dan jajahan takluk yang diketuai oleh insan bernama suami. Sekiranya suami tidak ada (disebabkan bercerai, hilang, kematian atau lain-lain), maka rakyat (isteri dan anak) yang bernaung di bawahnya pasti merasai kesannya. Oleh sebab itulah peranan suami amat penting dalam menentukan keselamatan dan menjamin keharmonian dalam rumah tangga yang dibina. Tetapi apa yang menyedihkan ialah ramai dalam kalangan suami mengabaikan tanggung jawab besar ini. Mereka seolah-olah mengambil kesempatan terhadap kuasa yang ada dalam rumah tangga untuk melakukan perbuatan dengan sesuka hati.
KEKERASAN RUMAH TANGGA
Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ada disebutkan, kebiasaannya kekerasan terhadap isteri yang berlaku dalam rumah tangga dikategorikan dengan empat bentuk, iaitu:
1. Kekerasan fizikal
Ia adalah perbuatan mendera isteri sehingga menyebabkan kesakitan pada tubuh badan. Perbuatan yang dilakukan itu termasuklah seperti memukul, menampar, menumbuk, melukai, meludah, menarik rambut, mencucuh dengan rokok, menggunakan senjata dan sebagainya. Semua perbuatan ini biasanya akan meninggalkan kesan seperti lebam pada badan, parut yang kekal, cacat anggota tubuh serta kesakitan yang berpanjangan.
2. Kekerasan emosi
Ia adalah perbuatan yang mengakibatkan ketakutan, hilang kepercayaan pada diri, ketidakmampuan untuk bertindak, ketidaktenteraman jiwa serta perasaan yang berkecamuk. Hal ini berlaku apabila dihamburkan dengan penghinaan, maki hamun dengan bahasa kesat, merendahkan harga diri, memaksa serta terlalu mengongkong, memberi ancaman dan menakut-nakutkan isteri dengan ugutan.
3. Kekerasan seksual
Ia adalah perbuatan menzalimi isteri melalui hubungan kelamin. Iaitu dengan menafikan serta mengabaikan keinginan isteri untuk bersama serta menjauhkan (mengasingkan) tempat tidur. Termasuk juga dalam kekerasan ini ialah dengan memaksa isteri bersama tanpa kerelaannya atau sewaktu dia dalam tempoh bercuti, mementingkan kepuasan diri sendiri sahaja dan sebagainya.
4. Kekerasan ekonomi
Ia adalah perbuatan mencuri hak isteri. Iaitu dengan cara memaksa isteri mencari pekerjaan atau duit sedangkan suami pula menghabiskannya dengan boros dan tidak bertempat. Suami malas dan tidak suka bekerja. Apa yang dimahukan hanyalah wang perbelanjaan hasil keringat isteri semata-mata. Sedangkan suamilah yang sepatutnya keluar mencari nafkah buat isteri serta anak-anak.
Jika dilihat kepada faktor berkenaan, sudah pasti sesebuah perkahwinan yang dibina tidak akan dinikmati jika suami bersikap sedemikian. Tidak dinafikan, antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya kekerasan dalam rumah tangga adalah disebabkan kurangnya ilmu perihal hukum-hakam dan perkara yang berkaitan dengan perkahwinan. Ramai pasangan yang berkahwin, namun tidak bersedia dan kurang memahami peranan dalam menghadapi setiap permasalahan yang timbul.
Di akhir firman ALLAH ini disebutkan: “Kemudian jika kamu (rasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya.” Ayat ini memberi garis panduan yang cukup hebat, iaitu akan ada waktu suami tidak menyenangi karenah isteri disebabkan tindakan yang dilakukan. Lalu ALLAH melarang ke atas suami agar jangan sesekali terburu-buru atau mudah menjatuhkan talak. Ini kerana ia boleh mencalarkan hubungan mulia yang terbina dalam ikatan perkahwinan. Sebagai saranan khususnya bagi mereka yang merancang untuk mendirikan rumah tangga, diwajibkan untuk memahami selok-belok hubungan berkeluarga dengan sebaik mungkin. Ia penting bagi menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya ke atas pasangan disebabkan ketidakpuasan hati atas sesuatu perkara.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Dalam perkahwinan, setiap pasangan pasti mengimpikan kebahagiaan dan kesetiaan hingga ke akhir hayat. Namun, apabila si suami menyuarakan hasrat untuk berkahwin lagi, emosi isteri...