Sebaik berkahwin, pastinya kita mahu memanggil pasangan kita dengan panggilan yang sedap, manja dan senang disebut. Ini akan menambahkah lagi kemesraan hubungan suami isteri.
Panggilan atau memanggil kepada orang tersayang dalam Islam dengan penuh kehormatan, kasih sayang dan kelembutan memang digalakkan.
Malah membiasakan diri memanggil pasangan dengan panggilan sayang (Humairaa) merupakan hal yang lumrah dan dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Ini kerana baginda jika memanggil isterinya selalu dengan memakai panggilan ‘Ya Humairaa’ yang ertinya ‘Sayangku’.
Selain memberikan rasa senang pada pasangan, memanggil pasangan dengan panggilan sayang tentu akan membuatkan perasaan cinta dan kasih sayang semakin melekat dan utuh.
Dan selalunya kita biasa mendengar atau menggunakan panggilan sayang terhadap pasangan kita. Bermacam-macam panggilan sayang yang kita berikan seperti ‘Honey’, ‘Hubby’, ‘Sayang’, ‘Cinta’, dan berbagai panggilan yang lainnya.
Panggilan sayang itu untuk menunjukkan rasa sayang dari tiap pasangan. Sering juga digunakan panggilang sayang yang islami oleh pasangan suami isteri, seperti’Abi’ dan ‘Ummi’. Apakah panggilan ini dibolehkan atau diharamkan dalam islam.
Dalam bab ini, PU Azman pernah ditanya soalan berhubung hukum suami memanggil isteri dengan panggilan yang biasa dipanggil dengan mahram seperti ummi, ibu. Adakah ianya jatuh hukum zihar?.
Ini penjelasan PU Azman yang boleh dijadikan rujukan.
Menurutnya, Zihar ialah menyamakan mana-mana bahagian tubuh isteri dengan mana-mana bahagian tubuh wanita yang haram dikahwini oleh suami selama-lamanya seperti ibu kandung suami.
“Zihar ialah menyamakan punggung atau mana-mana bahagian tubuh isteri dengan punggung atau mana-mana bahagian tubuh wanita yang haram dikahwini oleh suami selama-lamanya seperti ibu kandung suami. Contoh suami cakap kat isteri, ‘punggung awak sama macam punggung mak saya’.
“Maka penyamaan ini dari sudut suami anggap haram isteri itu disetubuhi sebagaimana haram dia bersetubuh dengan ibu kandungnya. Zihar pada zaman jahiliyyah dianggap sebagai bentuk talak. Hukumnya haram dan berdosa besar.
“Tapi, hari ini kalau ada suami panggil isterinya mama, ibu, ummi atau yang sewaktu dengannya, adakah panggilan ini sama dengan hukum zihar?.
“Maka kena bandingkan hakikat zihar yang ada dalam syariat dengan budaya panggilan ini. Sebahagian ulama mengatakan makruh kerana bimbang sama macam zihar.
“Tapi sebahagian ulama lain mengatakan harus dan tak ada masalah sebab panggilan suami itu tak bermaksud menziharkan isteri kerana niat para suami ialah, panggilan kasih sayang.
Panggilan untuk mendidik anak-anak supaya panggil macam itu dekat mak mereka.
Panggilan yang bermaksudkan isteri itu adalah ibu kepada anak-anak suami, bukan ibu kepada suami,” tulisnya.
Kesimpulannya, suami boleh panggil isteri dengan panggilan di atas dengan syarat dan niat di atas dan tidak jatuh hukum zihar.
Malah, isteri juga boleh memanggil suami dengan panggilan ayah atau abi.
“Cik Man tak bahaskan tentang isteri panggil suami, sebab isteri tak pegang kuasa talak,” tulisnya di laman Instagram.
Kredit: Instagram PU Azman