Sudah menjadi trend hari ini kita melihat anak-anak muda atau yang digelar Budak-Budak Baru Nak UP (BBNU) tidak malu mewarnakan rambut dan juga kuku.
Perbuatan ini kerana mahu tampil cantik dan berbeza dari orang lain. Ada yang mewarnakan rambut dengan warna putih, hijau, merah ataupun kuning keemasan.
Bukan sahaja rambut, malah bahagian kuku juga turut diwarnakan. Tidakkah mereka ini terfikir bagaimana jika tiba-tiba meninggal dunia sedangkan rambut dan kuku masih lagi diwarnakan.
Apakah hukumnya dan bagaimana menguruskan jenazah mereka yang tidak sempat menukar kembali angota badan kepada keadaan asal.
Dalam persoalan ini, apabila ditanya kepada Pendakwah Bebas, Ustaz Riza Kamaruddin menjelaskan hukum asas mewarnakan rambut atau kuku itu adalah haram bagi lelaki dan perempuan.
Dan jika mereka ini ditakdirkan meninggal dunia dalam kedaaan belum sempat menukar kepada keadaan asal, jenazahnya tetap diuruskan seperti jenazah Muslim lain.
“Warna yang lekat pada rambut ataupun kuku jenazah akan tetap dibiarkan begitu sahaja. Tidak boleh dipotong, dibuang atau digunting pada mana-mana anggota badan mayat.
“Jadi saya mahu ingatkan kepada generasi muda hari ini terutama kaum Muslimin yang sering mewarnakan rambut itu sentiasalah mengingati mati.
“Persembahan yang kalian akan bawa bertemu dengan Allah itu merupakan suatu bentuk larangan dan tegahan dari Allah SWT yang kamu akan bawa sampai mati depan Allah nanti.
“Alangkah azabnya bila kita mati dalam keadaan begitu rupa. Jadi kepada yang mewarnakan rambut atau kuku itu hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” ujar Ustaz Riza.
Menurutnya bersihkan semula kuku dan hilangkan warna pada rambut berkenaan. Namun begitu lain pula hukumnya bagi wanita yang sudah berkahwin.
“Untuk wanita bujang memang tidak ada alasan untuk mewarnakan rambut. Hukumnya tetap haram. Tapi bagi wanita yang sudah berkahwin berbuat begitu dengan niat berhias untuk menarik perhatian suami, hukumnya adalah diharuskan.
“Dan bagi kaum lelaki pula, jika mahu mewarnakan rambut hanya dibenarkan guna warna merah seperti inai dan hanya untuk mereka yang ada uban sahaja,” tambahnya lagi.
Wallahualam