Ini kes yang amat berat. Setiap pasangan perlu berhati-hati apabila lafaz cerai atau talak diucapkan. Salah seorang perlu keluar dari rumah serta merta kerana mereka bukan lagi berstatus suami isteri.
Selepas lafaz cerai, pasangan boleh rujuk semula dalam tempoh iddah iaitu tiga kali bekas isteri suci daripada haid. Tiada lagi dibolehkan tinggal sebumbung apatah lagi berbantal kan lengan pasangan.
Tiada istilah lafaz tak sengaja, bergurau atau tak ada niat nak cerai kerana hal talak tidak boleh dibuat main. Kita ikuti penjelasan lanjut oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini kerana ramai juga yang keliru.
Assalamualaikum. Saya dalam proses mendapatkan surat cerai setelah menceraikan isteri saya. Namun dengan nama Allah, hakim atau pendaftar di mahkamah syariah negeri Selangor terbabit menyatakan saya masih boleh bersetubuh dengan bekas isteri saya jika penceraian tidak mendapat pengesahan mahkamah.
Adakah kuasa mahkamah syariah menafikan hukum syarak sedia ada? Adakah jika saya melakukan persetubuhan ia tidak dihukumkan sebagai zina oleh Allah?
Jawapan
Waalaikumussalam. Semoga Allah permudahkan urusan rumah tangga kalian. Apabila berlaku penceraian, setiap pasangan perlu mengambil berat soal hak dan tanggungjawab serta perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan agar tidak terjerumus melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Syarak.
Antara perkara penting yang wajib diketahui ialah berkaitan hukum talak dan rujuk beserta prosedurnya mengikut ketetapan daripada Mahkamah Syariah.
Ads
Dalam perkahwinan yang sah, seorang suami mempunyai hak untuk menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Penceraian pertama dan kedua masih boleh dirujuk selagi mana masih dalam tempoh ʿiddah.
Sekiranya tempohʿiddahsudah tamat, suami tidak boleh rujuk isterinya kembali melainkan perlu mengulang semula akad nikah berserta maharnya sekali seperti perkahwinan pertama kali.
Dari segi hukum syarak, sejurus sahaja talak diucapkan maka talak satu akan jatuh serta-merta tidak kira sama ada lafaz talak diucapkan di mahkamah ataupun luar mahkamah.
Kesannya, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam satu rumah apatah lagi melakukan persetubuhan, sama ada talak rajʿī[1]atau talak bain[2]. Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ʿajnabi (asing) kepada bekas suami.
Kekeliruan timbul apabila ada pihak mengatakan talak hanya jatuh apabila dilafazkan di depan hakim di mahkamah tidak di luar. Menjawab kekeliruan ini, persoalan di atas boleh dijawab berdasarkan pembahagian wajib.
Ulama’ membahaskan wajib ada tiga jenis; wajib dari segi Syarak (Diyānah), wajib dari segi Undang-undang (Qaḍa’) dan wajib dari segi Syarak dan Undang-undang. Pengertiannya:
Wajib Diyānah ialah kewajipan yang dilaksanakan semata-mata atas suruhan Allah. Kewajipan yang perlu dilaksanakan walaupun tiada bukti yang boleh digunakan untuk membuktikan kewajipan tersebut, khususnya apabila didakwa dan dibicarakan di mahkamah.
Contohnya, suami mentalakkan isteri tanpa saksi. Apabila isteri ingin mengangkat kes talak ini ke mahkamah bagi menuntut hak-hak berkaitan sedangkan suami tidak mahu mengaku sudah melafazkan talak.
Ads
Keadaan ini menyebabkan hakim memutuskan perempuan itu masih isteri yang sah atas faktor tidak mempunyai saksi dan pengakuan, si suami tetap tidak boleh menafikan fakta yang dia sudah menceraikan isterinya.
Keputusan hakim berdasarkan apa yang terzahir sahaja, sedangkan Allah Maha Mengetahui segalanya. Mengikut ketetapan Syarak, talak tetap jatuh dan suami wajib melaksanakan segala suruhan dan larangan berkaitan talak dan rujuk walaupun hakim memutuskan sebaliknya.
Wajib Qada’ ialah kewajipan yang perlu dilaksanakan mengikut kepada ketetapan undang-undang semata-mata. Kewajipan ini boleh dibuktikan dan dituntut di mahkamah mengikut akta dan enakmen yang diperuntukan.
Contohnya boleh didapati daripada soalan di atas, undang-undang mewajibkan setiap penceraian mestilah didaftarkan dan disahkan di mahkamah.
Sekiranya penceraian tersebut masih belum mendapat pengesahan mahkamah, kesannya mereka berdua masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang.
Namun perlu diingatkan, status suami isteri tersebut hanya sah di sisi undang-undang sahaja, tidak di sisi syarak. Hal ini berlaku kerana syarak menetapkan talak tetap jatuh apabila syarat-syaratnya dipenuhi tidak kira mahkamah sudah mengesahkannya atau belum.
Wajib Diyānah dan Qada’ ialah kewajipan yang syarak dan undang-undang tetapkan dalam masa yang sama. Jadi, apabila suami menceraikan isterinya melalui prosedur mahkamah syariah dan mahkamah mengesahkannya, maka penceraian itu sah di sisi syarak dan undang-undang.
Pembahagian wajib di atas menunjukkan bahawa penceraian yang berlaku di luar mahkamah tetap dianggap sah di sisi agama walaupun mahkamah masih belum mengesahkannya.
Walaupun begitu, dinasihatkan kepada semua pasangan untuk mendaftarkan sebarang penceraian dan rujuk yang berlaku di Mahkamah Syariah. Dalam masa yang sama, mematuhi hukum-hakam berkaitan talak dan rujuk. Pengamalan ini lebih baik dan sempurna.
Ads
Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri, lafaz talak perlulah dilakukan di dalam mahkamah sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi tujuan rekod dan memudahkan urusan tuntutan jika terdapat sebarang permasalahan.
Sekiranya lafaz talak tersebut dibuat di luar mahkamah, pihak suami atau isteri hendaklah segera membuat pengesahan di Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari bagi mengelakkan didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Akta ini diwujudkan demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Menyembunyikan lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah boleh menyebabkan ketiadaan rekod di Pejabat Agama. Akibatnya, akan menyukarkan pihak-pihak berkaitan untuk mengingat kembali butir kejadian sekiranya perkara yang sama berulang kembali di masa hadapan.
Sekiranya lafaz telah berlaku secara kerap pula boleh menyebabkan berlakunya talak tiga tanpa disedari dan menyebabkan suami isteri tidak boleh berkahwin semula.
Lebih dahsyat apabila kedua-dua pasangan sudah melakukan persetubuhan sedangkan proses rujuk tidak dibuat di dalam tempoh ʿiddah sehingga memberi kesan kepada nasab anak yang lahir. Jika berlaku, suami dan isteri terlibat wajib bertaubat kepada Allah kerana terlibat dengan dosa zina.
Berdasarkan keterangan di atas, boleh disimpulkan bahawa haram bagi suami untuk bersetubuh dengan isterinya sepanjang tempoh penceraian walaupun belum mendapat pengesahan mahkamah.
Kuasa mahkamah syariah berperanan sebagai institusi kehakiman dalam melaksanakan dan memelihara hukum syarak sedia ada demi memelihara kebaikan dan kepentingan anggota masyarakat.
Persetubuhan yang terjadi sebelum proses rujuk boleh dianggap sebagai zina. Suami dan isteri yang terlibat wajib bertaubat kepada Allah atas keterlanjuran yang dilakukan.
Akhirnya, apabila suami melafazkan kata-kata yang meragukan segeralah merujuk ke Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk penerangan lanjut. Sikap berdiam diri boleh membawa padah di kemudian hari.
[1] Talak rajʿī: Talak yang boleh dirujuk dengan syarat berlaku pada kali pertama dan kedua serta masih dalam tempoh ʿiddah [2] Talak bain: Talak yang tidak boleh dirujuk disebabkan tamat tempoh ʿiddah (ketika talak pertama atau kedua) atau talak berlaku kali ketiga
Kashoorga : Semoga yang tak sedar sudah sedar dan perbetulkan semula keadaan. Ramai juga yang masih tinggal sebumbung kerana keiru dengan status masih suami isteri yang dinyatakan pihak mahkamah. Tetapi di sisi Allah, hubungan mereka bukan lagi suami isteri sah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hanya wanita yang pernah bersalin dan berpantang waktu bulan puasa memang faham sangat situasi ini. Jika bersalin awal bulan Ramadan biasanya ibu takkan dapat berpuasa kerana nifas.
Ada yang langsung tak dapat berpuasa hingga sebulan. Malah ada juga yang tak sempat menggantikan puasa kerana menyusu anak. Jika dah langkau tahun masih tak dapat menggantikan puasa apa nak buat?
Boleh baca penjelasan yang dipetik dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tatkala membalas persoalan dari seorang ibu tentang masalah ini.
Tak sempat ganti puasa sebulan
Saya ingin menanyakan satu soalan. Bulan puasa tahun lepas saya dalam pantang bersalin. Jadinya sebulan puasa saya tidak berpuasa. Sekarang pun masih menyusukan anak. Usia anak 11 bulan. Saya ingin bertanya, perlukah saya:
1) Qada’ puasa sahaja atau
2) Qada’ puasa dan bayar fidyah atau
3) Tidak perlu puasa tetapi bayar fidyah sahaja
Saya masih menyusukan anak sekarang. Yang mana satu yang perlu saya ikut nya sebab banyak sangat mazhab yang saya dengar. Saya tidak tahu mana yang patut ikut.
Terima kasih ustaz
Jawapan
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pertama sekali kita perlu jelas tentang maksud ‘pantang’ secara adat dan syariat. Dalam adat Melayu pantang selepas bersalin memiliki beberapa tempoh yang masyhur antaranya 44 hari dan 100 hari.
Manakala menurut syariat, berpantang ini boleh dikaitkan dengan hukum keluarnya darah nifas. Hukum nifas, adalah seperti hukum haid pada perkara-perkara yang haram dilakukan yakni solat, puasa, membaca mushab al-Quran, menyentuh dan membawanya, menetap di dalam masjid, bertawaf dan berjima’, bermesraan suami dan isteri di antara pusat dan lutut. Tempoh kebiasaan nifas adalah 40 hari, manakala maksimumnya pula adalah 60 hari.
Menurut Imam al-Syarbini al-Khatib (w.977H) di dalam al-Iqna’ (ms.143-144), orang perempuan yang bernifas haram menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Jika dia berpuasa juga maka puasanya tidak sah dan wajib diqadha.
Ini berbeza dengan solat fardu yang tidak perlu diganti. Perkara ini berdasarkan hadis Muslim riwayat Aisyah R.Anha bahawa kaum wanita diperintahkan untuk mengqadhakan puasa Ramadhan yang ditinggal akibat haid – dan juga nifas – tetapi tidak bagi solat fardu.
Pada asalnya hukum wanita yang menangguh qadha puasanya sehingga masuk ke Ramadhan tahun seterusnya adalah haram dan wajib ke atasnya untuk qadha puasa dan membayar satu mud (secupak makanan ruji seperti beras dalam zakat fitrah) bagi setiap puasa yang ditinggalkan dan tidak sempat diganti sebelum tiba Ramadhan bagi tahun yang baru. Namun begitu pengecualian diberikan jika penangguhan itu bersebabkan uzur syarie. Rujuk al-Iqna` (ms. 352).
Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Muʿtamad (2/200) : “Jika seseorang wanita itu melewatkan qadha’ puasanya kerana uzur seperti berterusan sakit, menyusukan anak, hamil dan musafir, sehingga masuk ke Ramdhan yang baru, maka tidak wajib fidyah kerana kelewatan ini dan wajib qadha’ sahaja.”
Justeru, dalam kes puan yang bertanya:
Puan hendaklah menggantikan puasa yang ditinggalkan semasa nifas dahulu.
Jika puan melewatkan puasa sehingga masuk ke Ramadhan yang baharu, maka hendaklah puan ganti puasa, dan membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
Jika puan meninggalkan ganti puasa atas sebab keuzuran seperti masih menyusu anak, lalu masuk ke Ramadhan yang baharu, maka puan tidak perlu membayar fidyah tetapi tetap perlu menggantikan puasa.
Semoga Allah Taala mengurniakan kekuatan dan ilmu dalam beramal. Wallahua’lam.
Zaman sekarang, bab pilih pasangan hidup kebanyakan generasi millennial jauh lebih maju daripada era Baby Boomers. Sekarang dunia serba moden dengan gaya hidup kontemporari, anak-anak muda lebih suka pilih pasangan hidup sendiri.
Jika ada jodoh yang diuruskan keluarga, ia sudah tidak banyak. Masakan tidak, generasi millennial ini lebih berani dan canggih apabila ada yang bertemu jodoh di sosial media. Ini semua kemudahan yang telah dimanfaatkan.
Cuma jangan dipinggirkan pula nilai-nilai Islam yang perlu dipegang sepanjang misi mencari dan memilih pasangan hidup. Ya lah kita ini kalau berkahwin, bukan untuk sebulan dua, tapi hingga ke akhir hayat; membentuk keluarga sakinah.
Untuk penjelasan ringkas yang lebih mudah difahami untuk anda yang tengah sibuk mencari dan memilih teman sehidup semati, kita tambahkan ilmu menerusi tulisan Abdullah Hussin, menerusi entri facebooknya. Satu nukilan yang sangat baik untuk pengetahuan semua.
“Islam meletakkan garis panduan yang dinamik bagi lelaki dan wanita dalam memilih pasangan hidup masing-masing. Bagi lelaki, Rasulullah SAW berpesan supaya memilih wanita yang kuat agama, memiliki jiwa yang penuh dengan kasih sayang dan mampu melahirkan zuriat yang ramai,”ujarnya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Nikahilah wanita yang penyayang yang subur punya banyak keturunan karena aku bangga dengan banyaknya umatku pada hari kiamat kelak.” (HR. Abu Daud no. 2050 dan An Nasai no. 3229. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa hadits tersebut hasan)
Wadud bermaksud seorang yang penyayang. Walud pula bermaksud seorang yang mampu melahirkan zuriat yang ramai.
Namun begitu, asas utama pemilihan adalah berdasarkan agama dan akhlak yang ada pada diri seseorang muslimah.
“Dikahwini wanita kerana empat perkara iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beruntung.”
Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan kelebihan memilih isteri yang beragama iaitu dia akan lebih setia kepada suaminya. Pemilihan agama dan akhlak seseorang muslimah hendaklah menjadi prioriti utama dalam membuat keputusan.
“Jangan hanya terpesona dengan kecantikan fizikal semata-mata, lantas membutakan mata daripada melihat kecantikan dan keindahan akhlak budi pekerti
“Kecantikan zahir akan membuat matamu terpesona buat seketika, namun keindahan akhlak akan membuatmu bahagia dan tenang jiwa selamanya”
Bagi perempuan pula, Rasulullah SAW ada meninggalkan garis panduan untuk menerima atau menolak lelaki.
Sabda Nabi SAW : إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير
Hadis Riwayat Tirmizi.
“Bila datang kepada kamu seseorang yang kamu redha agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak, akan terjadi fitnah di bumi dan fasad yang besar.”
“Hadis ini merupakan khitab Rasulullah kepada wali agar mengahwinkan anak perempuan sekiranya ada lelaki yang masuk meminang. Lihat agama dan akhlaknya. Jika agamanya kurang, maka tolaklah dengan baik. Jika diredhai agamanya, maka terima dia seadanya.
“Soal sekufu adalah hak bagi pihak perempuan. Ianya sangat penting bagi memastikan kedua pasangan serasi. Bahkan dalam fekah, seorang perempuan boleh menolak pilihan wali mujbir untuk mengkahwinkannya dengan seseorang yang tidak sekufu baginya,”ulasnya lanjut
‘Berhati-hati dalam memilih, namun jangan sampai merumitkan. Pemilihan nakhoda sangat penting dalam sebuah pelayaran. Sebab itu dalam bahtera rumah tangga, suami memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkannya.
“Adakah rumah tangga yang dibina berdasarkan adab dan nilai Islam, atau Islam hanya pada akad nikah sahaja. Sehubungan dengan itu, pemilihan fikrah cara berfikir juga penting bagi memastikan hubungan kedua mempelai bertahan lama.
Pilihlah seseorang yang boleh mendokong cita-cita dan impian kita. Jika dia tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya tidak menghalang.
Jika berkahwin dengan pejuang agama, separuh masanya untuk umat, sepenuh jiwanya untuk Islam, seluruh cintanya untuk Allah dan Rasul.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Semalam, Kashoorga berkongsi satu doa yang diijazahkan oleh Ulama Tertua Malaysia, Tok Ayah Isa Yahya yang berasal dari Kampung Bendang, Gerik, Perak.
Antara individu yang terawal berangkat ke Makkah pada usia mudanya, ulama tertua yang dipercayai berusia 104 tahun ini dilihat dalam keadaan uzur dan hanya mampu terbaring di rumahnya.
Sebagai permata yang tidak ternilai dengan ilmu dimilikinya, dalam keadaan dirinya agak uzur (diberitakan gering), individu yang menziarahi ulama ini meminta doa dari kita semua agak mendoakan kesihatan wali Allah ini seperti dikongsikan oleh akaun Tik Tok @NurMuhammad hari ini.
Namun dalam keadaan dirinya yang agak uzur, sekali lagi wali Allah ini “membetulkan” bacaan doa diijazahkannya iaitu “Allahummagh”firli ummati muhammadin warhamhum rahmatan ‘ammah” kepada individu yang merakamkan keadaan terkini dirinya itu.
Doa ini hendaklah dibaca 10 kali selepas solat Subuh dan Maghrib dalam sujud akhir kita manakala bagi solat fardu yang lain, dibaca sekali sahaja.
Dari penerangan doa diijazahkan oleh Wali Allah ini ialah, sesiapa yang mengamalkannya keluar daripada dosanya seperti pada hari dia diberanakkan oleh ibunya. Sesiapa yang mengamalkannya juga pahala yang diperolehi adalah sebanyak ummat Nabi Muhammd SAW, jika ia dibaca 10 kali, pahalanya sangat besar. Allahuakbar.
Marilah kita semua mendoakan agar ulama ini dipanjangkan usianya kerana ada di sebut tanda-tanda akhir zaman itu akan terjadi , apabila semakin ramai orang alim meninggalkan dunia yang fana ini.