Allah SWT bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya. Namun, setiap kurniaan itu tidak mungkin dapat dihitung sesiapa pun. Rasulullah SWT memberi peringatan mengenai kesihatan dengan bersabda: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. (HR Bukhari).
Namun ada ketika nikmat itu melalaikan manusia kerana tidak memahami apa ajaran Islam sebenar-benarnya. Dipetik dari instagram Ustaz Azhar Idrus, dirinya menjelaskan hukum menari zumba yang banyak dilakukan oleh golongan wanita atas nama menjaga kesihatan. Baca penjelasan dan hukumnya yang perlu kita tahu.
Soalan.
Saya telah melihat sekumpulan wanita Islam lebih kurang 70-80 orang menari zumba di padang taman awam di hadapan Bukit Besar bersebelahan pasaraya Mydin Kuala Terengganu.
Sebahagian besar wanita Islam tersebut tidak menutup aurat dengan sempurna yaitu ramai yang memakai pakaian yang ketat sehingga nampak bentuk perut dan dada dan punggung dan ada yang seluarnya singkat nampak betis dan ada juga yang tidak memakai tudung kepala. Mereka menggoyang-goyangkan badan mengikut rentak muzik dengan diperhatikan oleh orang ramai yang lalu lalang dan beriadah disitu.
Apakah hukumnya disisi syarak?
Jawab :
Aurat perempuan wajib ditutup dari pandangan orang yang tidak halal melihatnya dan kewajipan tersebut tidak tertunai melainkan dengan dua syarat :
Pertama : Memakai pakaian yang menutup dari kelihatan warna kulitnya.
Kedua : Memakai pakai yang longgar sekira-kira tidak dapat dilihat bentuk tubuhnya dari atas kepala sampai ke kakinya.
Rasulullah saw bersabda :-
وأمر امرأتك أن تجعل تحته ثوبا لا يصفها
Artinya : “Perintahkan isterimu memakai pakaian disebalik pakaian luar supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.” (Hadith Abu Daud, Baihaqi & Hakim)
Dan dalam hadith yang lain Rasulullah saw bersabda :
مرها فلتجعل تحتها غلالة ، إني أخاف أن تصف حجم عظامها
Artinya : “Perintahlah isterimu meletakkan pakaian disebalik pakaian luar. Sungguhnya aku takut ia akan menampakkan bentuk tubuhnya.” (Hadith Ahmad)
Dalam hadith ini Rasulullah saw menyuruh kaum perempuan memakai dua lapis pakaian supaya tidak ternampak bentuk badannya jika dipandang dari luar ketika berjalan di luar rumah.
Menampakkan rambut atau leher atau dada atau kaki adalah haram dengan sengaja dihadapan orang yang ajnabi. Begitu juga haram memakai pakaian yang ketat sehingga dapat dilihat bentuk dadanya atau belakangnya atau punggungnya atau perutnya atau pahanya. Sengaja berpakaian begini adalah haram dan berdosa sekalipun hanya berjalan pergi ke masjid.
Apatah lagi berpakaian tidak menutup aurat atau menampakkan bentuk tubuh badan kemudian melenggokkan badannya pula membuat tarian di hadapan lelaki yang tidak halal melihatnya adalah haram dengan ijmak ulama dan perbuatan menarinya itu adalah perbuatan maksiat. Jika dia berulang-ulang menari seperti itu maka masuklah ia dalam kalangan ahli maksiat.
Begitu juga berdosa orang yang melibatkan diri dalam menjayakan program tarian seperti ini sama ada kerajaan atau swasta atau orang persendirian.
Semua pemimpin negeri turut menanggung dosa kerana membiarkan perkara maksiat dan dilaknat ini terang-terangan tanpa apa-apa tindakan.
Penonton yang hadir untuk melihatnya juga berdosa kerana haram hukumnya melihat atau menghadirkan diri pada majlis yang maksiat dan keji seperti ini.
Berkata Imam Qurtubi di dalam tafsirnya :-
اسْتَدَلَّ الْعُلَمَاءُ بِهَذِهِ الْآيَةِ عَلَى ذَمِّ الرَّقْصِ وَتَعَاطِيهِ
artinya : "Para ulamak berdalil dengan ayat 37 surah Al-Israk mencela perbuatan menari dan pelakunya."
Berkata Syeikh Khatib :-
“Dan sekiranya kehadiran seseorang itu ke majlis tidak menghilangkan kemungkaran yang ada, diharamkan untuk dia datang kerana ianya seumpama redha dengan kemungkaran.
”
Adapun jika menari perempuan dihadapan orang yang halal melihatnya seperti suaminya tanpa ada lelaki ajnabi melihat sama maka hukumnya adalah harus.
Berkata ulamak :
أما رقص المرأة أمام زوجها وليس عندهما أحد فلا بأس به
artinya : "Adapun menarinya isteri di depan suaminya yang tidak ada orang lain melihat maka tidak menjadi kesalahan."
Kesimpulannya :-
Perbuatan wanita Islam yang menari zumba di khalayak ramai seperti ini adalah haram dan mereka adalah pelaku maksiat lagi tidak mempunyai maruah kerana tidak ada rasa malu orang melihat.
Tersebut pada fatwa negeri Yaman :-
الواجب على المرأة المسلمة الاحتشام والتستر بالحجاب الكامل عن الرجال غير المحارم، والبعد عن أسباب الفتنة، ومن أعظمها رقصها أمام الرجال الأجانب، فهو محرم لا يجوز، وهو مسبب للفتنة والوقوع في الفاحشة، ومناف للحياء، فعلى المرأة المسلمة الابتعاد عن ذلك وعن غيره من أسباب الفتنة
"Yang wajib atas wanita yang beragama Islam ialah berlaku sopan dan menutup dirinya dengan sempurna dari lelaki yang bukan mahram dan menjauhkan dari segala sebab fitnah. Setengah dari fitnah yang sangat besar ialah menari perempuan di depan lelaki yang bukan mahram. Ia adalah haram tidak diharuskan sama sekali. Ialah punca fitnah yang akan jatuh kepada perbuatan keji dan tidak ada rasa malu. Wajib atas kaum wanita menjauhkan perbuatan menari seperti ini dan lainnya dari segala sebab berlakunya fitnah."
Wallahua’lam