Hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf yang merupakan kemuncak ibadah haji. Hari ini juga sangat istimewa dan mempunyai banyak kelebihan. Hari di mana doa mustajab dan puasa pada hari tersebut ibarat menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepasnya.
Namun begitu semua tahu akan hari Arafah antara Arab Saudi dan juga di negara kita berbeza sehari. Menjadi persoalan ramai jika ingin berpuasa sunat dan melakukan ibadah bagi memperoleh ganjaran hari Arafah ini adakah perlu mengikut hari wukuf di Arab Saudi atau pun tarikh setempat?
Persoalan ini dijawab boleh Datuk Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam Maktabah Al Bakri.
Sebagaimana diketahui beza hari Arafah di Malaysia dan Saudi sehari lebih lewat. Bagi yang ingin berpuasa hari Arafah hendaklah mengikut tempat masing-masing berdasarkan anak bulan dan hisab.
Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ
Maksudnya: “Hari Raya, maka berayalah juga manusia (mengikut ketetapan di tempat tersebut), dan apabila Raya Korban jatuh pada suatu hari, manusia turutilah berkorban pada hari terbabit.” (Riwayat al-Tirmizi (802)
Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebahagian isteri Nabi SAW, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa pada Sembilan Zulhijjah, hari Asyura’ dan tiga hari setiap bulan.” Riwayat Abu Daud (2437) dan al-Nasa’ie (2416)
Nas ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari 9 Zulhijjah ganti kepada menyebut hari Arafah.
Mengambil contoh Aidiladha tahun 2023 oleh kerana di Malaysia hari 9 jatuh pada hari Rabu iaitu 28 Jun 2023 maka hadith di atas adalah jawapannya dan menjadi hujah bahawa kita berpuasa pada hari tersebut.
Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهِنَّ أَحَبُّ إِلَىْ اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ»، فَقَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللَّهِ، وَلَا الجِهَادُ فِيْ سَبِيْلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ”.
Maksudnya: “Tidak ada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah SWT berbanding pada sepuluh hari ini”. Maka mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW, sekalipun jihad di jalan Allah? Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu.”
Riwayat al-Tirmizi (688), Abu Daud (2082) dan Ibn Majah (1717)