
Bulan Ramadan semakin hampir ke penghujungnya, oleh itu usah kita sia-siakan. Selain melaksanakan ibadah tapi juga memohon keampunan agar kita mengakhiri Ramadan ini dengan penuh keinsafan.
Firman Allah SWT dalam al-Quran:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah az-Zumar: 53)
Ayat ini menunjukkan bahawa rahmat dan keampunan Allah SWT tiada batasan. Di hari-hari terakhir Ramadan ini, setiap insan mempunyai peluang yang sama untuk diampuni asalkan mereka bertaubat dengan tulus dan berusaha memperbaiki diri.
Sabda Rasulullah SAW:
“Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Namun, puasa yang diterima oleh Allah SWT bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri daripada maksiat, memperbanyakkan ibadah, serta mendekatkan diri kepada-Nya.
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Apabila datang bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menggambarkan betapa luasnya rahmat Allah SWT, lebih-lebih lagi di penghujung Ramadan.
Taubat Nasuha, Jalan Menuju Keampunan
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benarnya). Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (Surah at-Tahrim: 8)
Taubat nasuha ialah taubat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan, disertai dengan penyesalan yang mendalam serta azam yang kuat untuk tidak mengulangi dosa yang lalu. Hari-hari terakhir Ramadan adalah waktu paling sesuai untuk melaksanakan taubat ini kerana pintu rahmat dan keampunan Allah SWT terbuka seluas-luasnya.
Selain taubat, amalan beristighfar juga sangat penting dalam meraih keampunan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih daripada 70 kali sehari.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Jika Rasulullah SAW yang maksum pun memperbanyakkan istighfar, maka kita sebagai hamba yang penuh dosa seharusnya lebih banyak beristighfar, terutamanya di malam-malam terakhir Ramadan.
Malam Lailatulqadar, Peluang Keampunan yang Luar Biasa
Salah satu keistimewaan hari-hari terakhir Ramadan ialah malam lailatulqadar, yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Dan tahukah kamu apakah malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3)
Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang mendirikan (ibadah pada) malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Malam yang penuh rahmat ini hanya datang sekali dalam setahun. Oleh itu, kita seharusnya memperbanyakkan solat malam, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau suka memberi kemaafan, maka ampunilah aku.”
Jangan biarkan Ramadan berlalu memohon keampunan
Hari-hari terakhir Ramadan adalah detik yang sangat bernilai. Jangan biarkan ia berlalu tanpa kita manfaatkan untuk bertaubat, memohon keampunan, dan memperbanyakkan amalan soleh.
Dengan memperbanyakkan istighfar, solat taubat, membaca al-Quran, bersedekah serta berusaha meraih lailatulqadar, kita berpeluang meraih keampunan yang dijanjikan Allah SWT.
Semoga Allah SWT menerima amalan kita, mengampunkan dosa-dosa kita dan mengurniakan kita kehidupan yang diredai-Nya di dunia dan akhirat.
Sumber: Sinar Harian
Sumber: 10 Malam Terakhir Ramadan, Gandakan 5 Amalan Ini
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI