Tidak dinafikan, perebutan harta pusaka membabitkan waris kepada mereka yang sudah meninggal dunia sering jadi pertikaian dalam kalangan ahli keluarga.
Lebih-lebih lagi jika si mati tidak meninggalkan sebarang wasiat kepada mereka yang masih hidup.
Malah ada yang sanggup putus keluarga semata-mata bagi memastikan harta yag ada jatuh ke tangan mereka. Lebih teruk ada yang menggunakan ilmu sihir dalam memastikan segala keinginan mereka tercapai.
Dalam satu perkongsian oleh seorang Peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor di laman sosial Facebook memberitahu pengalamannya berdepan kes perebutan harta pusaka oleh waris si mati.
Menurutnya kebiasaan individu yang tidak pernah ambil tahu perihal si mati yang paling banyak mempersoalkan soal harta yang ditingalkan si mati.
Ayuh ikuti perkongsiannya yang boleh dijadikan ingatan buat kita yang masih hidup.
Kalau terbaca isu berebut harta si mati, memang saya tak boleh lepas merasakan perasaan ‘tak patut’.
Firma kami selalu juga dirujuk dengan berkaitan harta pusaka. Isu ini selalunya sangat sensitif. Kubur masih merah, sudah adik-beradik berebut berharta.
Kadangkala bila tidak kena gaya sehingga berparang-parang, bergaduh tak tentu hala, sentiasa bermasam muka, sehingga tidak bertegur sapa. Harta si mati punya pasal.
Soalan selalu saya tanya kepada isteri atau suami yang mendapatkan pandangan, biasanya: “Adik-beradik si mati, waktu hidup ada bertanya khabar? Ada melawat?”
“Tidak”
Ads
“Kalau minta tolong bila waktu susah, ada membantu?”
“Tidak”
Saja. Saya ingin tahu. Apa tidaknya, bila berlaku kematian, yang tidak bertanya khabar sewaktu hidup dahulu tetapi yang inilah yang selalu terpaling awal mempertikaikan tentang harta pusaka.
Yang apabila waktu hidup si mati, tidak langsung membantu namun terpaling awal juga selalu menuntut. Kalau waktu hidup itu bukan main payah hendak kita harapkan tetapi bab menuntut harta, dia dibarisan paling hadapan mempertikaikan hak.
Terpaling awal mempertikaikan harta si mati, lebih awal berbanding si isteri atau suami yang sama-sama berkongsi hidup, bersama merasa susah dan senang, bersama-sama tahu pahit menjerih bekerja mengumpul harta membela anak-anak dan membayar tanggungan itu dan ini tanpa bantuan adik-beradik.
Tetapi yang terpaling awal menuntut harta si mati itu selalunya yang sama-sama tidak merasa susah dan payah sewaktu hidup. Yang tidak menghulur bantuan. Yang tidak bertanyakan khabar dan berita.
Ads
Tetapi apabila berlaku kematian, yang terpaling awal menuntut ini biasanya yang akan kata “Ini Faraid, kita ikut undang-undang Islam. Ini hak kami”. Yang bab ini mereka tahu hak. Mereka taat dan ingin tuntut perintah Allah.
Tetapi mereka pandai memilih. Mereka pilih untuk taat tentang isu pembahagian faraid tetapi memilih tidak taat pada bahagian menyelesaikan hutang si mati, zakat si mati atau menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak atau pasangan si mati.
Tetapi setelah dapat harta, hilang begitu sahaja. Sekali lagi lupa hendak bertanya hak balu atau duda yang kematian pasangannya yang tercinta. Yang kalau hendak dikira, merekalah paling bersedih, sudahlah kehilangan diasak pula dengan isu harta oleh adik-beradik yang tak reti sabar menunggu harta diagih-agihkan.
Setelah dapat harta, langsung yang terpaling awal ini tidak bertanya tentang hal anak-anak si mati. Cukup makan ke tidak? Perbelanjaan semua bagaimana? Tidak peduli langsung. Kerana dia hanya taat pada perintah Islam faraid sahaja, tidak yang lain.
Kalaulah pasangan atau anak-anak si mati tidak cukup perbelanjaan selepas kematian si mati, manalah tahu atas dasar kemanusiaan ingin didermakan sedikit bahagian faraid yang diperolehi dari si mati secara percuma itu. Tetapi tidaklah perkara ini berlaku.
Sebenarnya selepas memperolehi harta, nafkah anak-anak si mati perlu diambil tahu dan kalau anak-anak masih belum baligh, waris si mati yang mewarisi harta perlu menanggung nafkah anak-anak si mati.
Kadangkala harta faraid ini, saya lihat sebagai ujian juga kepada yang hidup ini. Adakah kita cukup kuat menahan ujian harta? Setelah menerima harta ini, adakah kita cukup kuat untuk menahan dugaan supaya amanah dan tidak lepas tanggungjawab kita?
Ads
Adakah kita ini bermulia hati dan cukup kuat setelah menerima harta, menjaga hal ehwal dan kebajikan anak dan isteri si mati?
Kita sebagai orang Islam tahu tentang hukum faraid. Benar sebagai orang Islam, wajib kita ikut. Tetapi, betapa mulia sekiranya, yang tidak bertanya khabar, yang tidak peduli tentang hal rumah tangga si mati, susah senang si mati bermulia hati mendermakan bahagian mereka kepada anak-anak atau pasangan yang lebih memerlukan.
Pernah dahulu saya berkongsi tentang kisah bagaimana seorang anak, yang terlibat dalam kemalangan sehingga dipotong kaki. Dia koma dan ayahnya menggunakan wang pampasan yang patut dia dapat.
Sedikit pun tidak diberikan kepada anaknya, habis dibelanjakan oleh ayahnya untuk diri sendiri. Yang kehilangan kaki, si anak. Yang masa depan berubah selama-lamanya, si anak. Tetapi yang menikmati harta dan yang mendapat kesenangan dari derita si anak adalah ayah.
Begitulah ujian duit dan harta ini sampai manusia jadi alpa dan lupa pada tanggungjawab, sampai tidak rasa ihsan dan belas, sampai lupa hubungan anak-beranak.
Malahan ada jenis yang duit bukan menjadi haknya juga sanggup dirampas, selagi mana ada peluang. Kes begini selalunya apabila melibatkan ahli keluarga yang diamanahkan sebagai pemegang amanah bagi harta anak-anak si mati yang belum mencapai usia. Disalah tadbir dan disalah urus.
Ingatlah, kehidupan ini sementara. Harta dan dunia juga sementara. Kalau bukan hak kita jangan ambil.
Kalau hak kita sekalipun, kita merasakan lebih mulia sekiranya menderma demi menjaga hak dan kebajikan anak-anak dan pasangan si mati. Maka dermalah. Besar balasannya.
Siapa tidak geram melihat kecomelan kanak-kanak ini. Ketika dia masih bayi, Dhuhaa Sophea Stumbry, 3 tahun, pernah dikatakan bayi paling comel di dunia.
Si comel ini lahir dari perkongsian kisah cinta antara dua benua. Ibunya Siti Safuraa Hamzah, 35 tahun, yang berasal dari Besut, Terengganu, manakala bapanya pula Asadullah Stumbrys, 35 tahun pula merupakan warga negara Russia.
Walaupun kini berada jauh di Sweden, namun Dhuhaa Sophea menjadi tular dek kerana wajah comelnya. Kini bukan sahaja dia yang jadi viral, Dhuhaa juga sudah mempunyai seorang adik perempuan, Amiraa Al Imaan yang dilahirkan awal tahun lalu.
Seperti kakaknya, Amiraa juga cukup popular di laman sosial Instagram milik ibunya, @ctsafuraa. Setiap kali muat naik foto atau video terbaru, pasti mendapat ribuan butang ‘like’.
Ternyata kecomelan dua beradik ini mengundang pertanyaan daripada warga net yang mahu tahu apa rahsia diamalkan ibunya sewaktu mengandung.
Menurut Siti Safuraa soalan ‘hot’ itu memang sering ditanya padanya oleh para ibu yang banyak DM padanya bertanyakan amalan yang dilakukan sewaktu mengandung sehingga melahirkan anak yang comel.
“Memang ramai yang tanya soalan ini, sama ada mesej saya secara peribadi di ruangan komen termasuk ketika buat live“.
“Sebenarnya saya tak amalkan apa-apa pemakanan khusus waktu mengandung dulu. Mungkin ini rezeki kurniaan Tuhan buat saya dan suami,” ujarnya ketika dihubungi secara alam maya.
Namun menurutnya dia memperbanyakkan amalan yang mulia untuk ibu hamil menurut Islam, antaranya dengan membaca al-Quran.
“Cuma masa hamil dulu saya suka baca dan dengar ayat suci al-Quran. Surah yang paling saya gemari adalah surah Ar-Rahman.
“Waktu itu saya sangat sensitif, mudah menangis dan bila dengar surah itu saya rasa kuat dan sangat terkesan sampai ke jiwa.
“Selebihnya saya banyakkan zikir dan berdoa pada Allah sentiasa lindungi saya dan kandungan,” ujarnya yang kini menetap di Sweden selepas mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta.
Saban hari rakyat berdoa angka mereka dijangkiti Covid-19 menurun supaya mereka boleh menjalani kehidupan normal seperti dahulu. Paling tidak tentunya mahu kembali bekerja untuk mencari rezeki buat keluarga. Sudah banyak yang mula mengibar bendera putih untuk dibantu tetapi saban hari rakyat semakin hampa kerana angka tidak menunjukkan tanda-tanda akan turun sebaliknya hampir mencecah ke angka tujuh ribu.
Ternyata angka ini membuatkan ramai keluh kesah kerana PKP akan terus diperketatkan termasuk Selangor dan beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan akan dikenakan PKPD mulai 3 Julai hari ini.
Hal ini turut mendapat perhatian dari Ustazah Asma’ Harun yang banyak berkongsi ilmu. Dalam catatan di fbnya semalam penceramah terkenal ini mengajak orang ramai agar tidak menangguhkan empat perkara ini.
Berikut adalah perkongsiannya.
Sayu sungguh kes naik hampir 7 ribu. Khabar kematian bersilih ganti di FB, ada yang ada tanda seperti sakit, ada yang sihat perginya mengejut. Sementara kita masih lagi hidup, JANGAN TANGGUHKAN 4 PERKARA INI, terus buat tanpa bersoal dan fikir lagi ;
1) Taubat Nasuha kepada Allah, taat segala perintah, tinggal segala larangan – HIJRAH.
2) Mohon atau beri maaf sesama manusia, soal siapa yang silap letak tepi. Jumpa, mesej atau telefon segera.
3) Lunaskan hutang jika mampu. Jika tidak mampu, nekad dan niat dahulu, Allah Maha tahu dan Maha Pengampun.
4) Baiki hubungan dengan manusia, berhenti sakiti sesiapapun walau di alam maya. Cuba jadi manusia yang banyak beri manfaat, bantu urusan kerja rumah, mendengar luahan, beri senyuman dari hati, buat baik pada binatang dan pokok, dll. Semua tu amal soleh. Jadi orang yang menyenangkan mata memandang dan telinga mendengar, insyaAllah hidup akan tenang dan rasa bermakna. Kita tak dituntut untuk jadi sempurna, tapi kita boleh usaha jadi orang baik kepada semua.
“Benda boleh selesai cara baik, cubalah mengislahkan.’ Hakim nasihat Diana Danielle dan Farid Kamil berdamai.
Mengislahkan membawa maksud ‘berusahalah untuk memperbaiki keadaan’. Secara tak langsung hakim meminta pasangan ini cuba mencari jalan penyelesaian secara baik.
Pada 20 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, yang juga pelakon, Farid, awal bulan ini.
Pelakon filem Imaginur itu membuat permohonan cerai atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut dan mereka difahamkan tidak lagi tinggal serumah.
Cara Baik
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, Selangor, menasihati Diana Danielle dan suaminya, Farid Kamil berdamai.
Memetik laporan Sinar Harian, Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid berkata demikian ketika ditemui media, selepas prosiding sebutan kes perceraian pasangan pelakon itu di hadapan Hakim syarie, Shukran Yusof.
Cubalah Mengislahkan
Susulan itu, jelas Fakhrul Azman yang mewakili Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, mahkamah memerintahkan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dilantik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan itu.
Menurutnya lagi, hakim menyatakan, “benda yang boleh selesai secara baik, cubalah mengislahkan (usaha untuk memperbaiki keadaan).
“Proses JKP akan diadakan di pejabat agama Islam di Shah Alam, namun tarikhnya proses itu akan ditentukan kemudian.
“Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Mei depan untuk mengetahui laporan jawatankuasa terbabit,” katanya.
Hakim Nasihat
Dalam prosiding ini, Farid yang juga pelakon Lagenda Budak Setan telah melantik kakaknya sebagai wakil JKP manakala pengurus bagi pihak Diana Danielle Danny Beeson, 32.
Seterusnya jelas beliau, proses hakam (kalau JKP tidak mencapai persetujuan) akan dibuat dan hanya mahkamah akan menentukannya.
Hakam adalah satu kaedah yang berlandaskan hukum syarak yang diberi kuasa dalam memutuskan sama ada pertikaian akan diselesaikan dengan cara perdamaian atau perceraian.
Diana & Farid Kamil Berdamai
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle berkata, keputusan JKP hanya dapat diputuskan selepas menerima laporan perbincangan berkenaan.
Menurutnya, tidak adil untuk kedua-dua pihak sekiranya kita membuat spekulasi.
“Rintangan pertama ialah JKP, selepas itu hakam mahkamah jadi kita kena tunggu, keputusannya akan diketahui hujung bulan depan,” katanya.
Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7.
Download movie antara perkara yang biasa dilakukan oleh kebanyakan kita. Macam-macaam cara dilakukan asal dapat menonton movie terbaru secara percuma tanpa mempersoalkan tindakan yang...