MUSLIM (1)

SOALAN

Sepertimana yang diketahui bahawa kita dilarang sama sekali memberi salam “Assalamualaikum” kepada non muslim. Walaupun begitu, apakah hukum memberi salam kepada satu kumpulan yang bercampur di dalamnya muslim dan non muslim seperti di kedai makan dan tempat awam yang lain? Mohon penjelasan. Terima kasih
Harus Hukumnya Beri Salam Pada Non Muslim Dalam Kelompok Muslim, Tapi Ada Sebutan Yang Dibenarkan
Gambar sekadar hiasan dari Drama Adellea Sofea

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, bangsa dan agama menjadikan kehidupan rakyat Malaysia adalah unik. Disebabkan itu, penerapan konsep Fiqh al-Ta’ayush serta kefahaman terhadapnya perlulah diusahakan bagi mewujudkan sebuah negara dan tamadun yang dipandang tinggi di mata dunia.

Isu berkaitan memberi salam ini telah kami bahaskan dalam artikel seperti berikut:

Irsyad al-Hadith Siri ke-53: Ucapan Salam: Hadith dan Feqahnya
Bacaan lanjut ke pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1158-irsyad-al-hadith-siri-ke-53-ucapan-salam-hadith-dan-feqahnya
Berdasarkan kepada isu di atas, sememangnya telah terdapat satu hadith Nabi SAW berkaitan larangan terhadap umat Islam untuk memberi atau memulakan ucapan salam “Assalamualaikum” kepada bukan Islam. Perkara ini adalah berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لَا تَبْدَؤُوا اَلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى بِالسَّلَامِ

Maksudnya: “Janganlah kalian memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani.”

Riwayat Muslim (1905)

Menjawab kepada isu di atas, hukum memberi salam kepada kumpulan yang terdiri padanya orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam adalah harus dan dibolehkan. Hal ini bertepatan dengan satu peristiwa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW sendiri. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Usamah Bin Zaid R.A, beliau berkata:

IKLAN

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَكِبَ حِمَارًا عَلَيْهِ إِكَافٌ تَحْتَهُ قَطِيفَةٌ فَدَكِيَّةٌ وَأَرْدَفَ وَرَاءَهُ أُسَامَةَ وَهُوَ يَعُودُ سَعْدَ بْنَ عُبَادَةَ فِي بَنِي الْحَارِثِ بْنِ الْخَزْرَجِ وَذَاكَ قَبْلَ وَقْعَةِ بَدْرٍ حَتَّى مَرَّ بِمَجْلِسٍ فِيهِ أَخْلاَطٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُشْرِكِينَ عَبَدَةِ الأَوْثَانِ وَالْيَهُودِ فِيهِمْ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَىٍّ وَفِي الْمَجْلِسِ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ رَوَاحَةَ فَلَمَّا غَشِيَتِ الْمَجْلِسَ عَجَاجَةُ الدَّابَّةِ خَمَّرَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَىٍّ أَنْفَهُ بِرِدَائِهِ ثُمَّ قَالَ لاَ تُغَبِّرُوا عَلَيْنَا ‏.‏ فَسَلَّمَ عَلَيْهِمُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ وَقَفَ فَنَزَلَ فَدَعَاهُمْ إِلَى اللَّهِ وَقَرَأَ عَلَيْهِمُ الْقُرْآنَ…

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW menunggang seekor keldai yang mana di bawahnya ada kain dari fadak (sejenis kain yang elok) dan Baginda memboncengkan Usamah di belakangnya untuk menziarahi Sa’ad Bin Ubadah di perkampungan Bani al-Harith Bin Khazraj. Ini berlaku sebelum peperangan Badar. (Di tengah perjalanan) Baginda melewati suatu majlis yang bercampur antara orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin, penyembah berhala dan orang-orang Yahudi. Di kalangan mereka terdapat ‘Abdullah Bin Ubay. Majlis itu juga dihadiri oleh ‘Abdullah Bin Rawahah. Ketika melihat debu bekas dekap langkah kami, maka ‘Abdullah Bin Ubay menutup hidungnya dengan kainnya sambal berkata: “Janganlah kalian bangkitkan debu sehingga mengenai kami”. Maka Nabi SAW memberi salam kepada mereka, kemudian berhenti dan turun dari keldai. Baginda SAW mengajak mereka kepada Allah dengan membacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka…”

Riwayat Muslim (1798)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sekiranya dalam satu kumpulan atau majlis itu terdiri daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, maka harus memulakan untuk memberi salam kepada kumpulan tersebut dengan niat untuk memberi salam kepada orang-orang Islam. (Lihat al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 12/157)

Menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya (Lihat al-Hawi al-Kabir, 14/148), dengan mengemukan dua pandangan.

Iaitu harus dan dibolehkan memberi salam kepada bukan Islam kerana ucapan salam adalah adab dan sunnah. Justeru, sudah tentu orang Islam lebih dituntut untuk melakukannya. Namun, orang Islam hanya perlu menyebut: “Assalamu‘alaika” dengan lafaz tunggal dan jangan menyebut dengan lafaz jama’ “Assalamu ‘alaikum” sepertimana ucapan kepada orang Islam yang lain bagi membezakan orang Islam dan bukan Islam.
Dilarang memberi salam kepada bukan Islam sehingga mereka (bukan Islam) yang memulakan terlebih dahulu. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW berikut:
إِنِّي رَاكِبٌ غَدًا إِلَى يَهُودَ، فَلاَ تَبْدَأُوهُمْ بِالسَّلاَمِ، فَإِذَا سَلَّمُوا عَلَيْكُمْ فَقُولُوا‏:‏ وَعَلَيْكُمْ‏

IKLAN

Maksudnya: “Sesungguhnya aku akan pergi kepada Yahudi esok, Janganlah kalian memulai memberi salam kepada orang Yahudi, namun sekiranya mereka memulai memberi salam, maka katakanlah: Wa ‘alaikum.”

Riwayat al-Bukhari (1102) dalam al-Adab al-Mufrad

Sememangnya Rasulullah SAW adalah qudwah dan uswah terbaik yang wajib dicontohi oleh setiap yang mengaku sebagai Islam. Baginda SAW telah menunjukkan cara serta kaedah yang jelas tentang kehidupan masyarakat majmuk (ta’ayush). Dengan mencontohi perbuatan serta amalan yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW, sudah tentu akan menghasilkan suatu suasana kehidupan yang aman dan damai di antara orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam. Dengan itu maka akan terhasillah bentuk negara yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: “(Negeri kamu ini adalah) Negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.”

(Surah Saba: 15)

IKLAN

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa dilarang untuk memberikan ucapan salam kepada bukan Islam. Namun begitu, sekiranya terdapat kelompok yang terdiri daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang dinyatakan di atas. Adapun begitu, niat asal pemberi salam tersebut mestilah ditujukan kepada orang-orang Islam yang berada dalam kolompok tersebut.

Akhir sekali kami doakan semoga penjelasan yang diberikan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan berlandaskan kepada kerangka syariah yang sebenar. Amin.

KASHOORGA:

Dengarkan juga perkongsian menarik daripada Dato’ Dr. Hussamuddin Haji Yaacub yang juga merupakan Pengasas Warisan Ummah Ikhlas bercerita mengenai apa yang perlu difahami tentang nikmat berkasih sayang walaupun kita hidup dalam bangsa, budaya serta agama berbeza.

Pesannya untuk terus menikmatik kemakmuran yang dirasai selama ini, semua rakyat di negara ini perlu saling menghormati bagi mengelak berlakunya sebarang persengketaan sesama kita dan seterusnya melakukan sama-sama menjayakan kempen #UninstallHatred

Klik Di Sini Untuk Artikel Lanjut

SUMBER: LAMAN WEB RASMI MUFTI WILAYAH

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI