Perasaan hasad dengki merupakan satu sifat yang terlarang dalam Islam, dan Allah SWT mengarahkan agar kita meminta perlindungan dari Allah SWT dari kejahatan sifat dengki ini. Firman Allah SWT;
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Maksudnya: Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya. Surah al-Falaq (5)
Sabda Nabi Muhammad SAW:
إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Maksudnya: Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu. Sunan Abi Dawud (4903)
Tapi ada perasaan hasad dengki yang dibenarkan
Namun terdapat juga hadith yang memberi pengecualian dalam sifat hasad dan dengki ini. Sabda Rasulullah SAW:
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. Sahih al-Bukhari (73)
Terdapat juga riwayat lain yang menyatakan:
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ
Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang. Sahih al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, istilah hasad dalam hadith ini sebenarnya membawa maksud al-ghibtoh (الغبطة) iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa rasa mahu melihat nikmat tersebut ditarik dari orang itu. Keinginan ini juga disebut sebagai munafasah atau persaingan, dan ianya terpuji (Mahmud) jika dalam perkara ketaaatan. (Rujuk Fath al-Bari 1/167)
Kesimpulan
Rumusannya, perasaan hasad dan dengki itu pada asasnya adalah dilarang, dan ia jelas dinyatakan melalui ayat al-Qur’an dan hadith yang disebutkan di atas.
Perasaan hasad yang dibenarkan hanyalah pada perkara-perkara kebaikan, dan ia pada asasnya tidaklah disebut sebagai hasad, bahkan ia lebih merupakan satu keinginan (ghibtoh atau raghbah) untuk dikurniakan kelebihan yang sama agar dapat meningkatkan amalan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, dan tidak pula ingin supaya nikmat itu ditarik dari orang tersebut.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI