
Mengapa ahli Ma’rifat sangat menitikberatkan soal hati? Mengapa mereka lebih menitikberatkan soal pembersihan hati daripada segala hal ehwal perlakuan, ucapan, perkataan sama ada berbentuk ibadah atau muamalat?
Allah SWT telah menjadikan hati sebagai alat untuk beribadah. Setiap manusia merupakan penguasa atas dirinya sendiri. Segala usaha yang dilakukan oleh anggota badan adalah untuk melaksanakan perintahNYA. Maka untuk tujuan itu diwujudkan hati sebagai sumber kemahuan dan tempat manusia memproses ketentuan yang akan dilakukan oleh mereka.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Ketahuilah bahawa di dalam tubuh itu terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh itu dan sekiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh itu. Dan ingatlah segumpal daging itu adalah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hati mempunyai ‘tentera-tenteranya’ tersendiri antaranya ialah akal. Tugas akal yang terpenting adalah sebagai alat ilmu dan pemikiran. Akal adalah penasihat dan pembantu terdekat kepada hati. Hubungan dan pautan hati yang kuat dengan akhirat akan membuatkan kehidupan di dunia begitu kecil dan remeh sekali.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad kamu dan bukan pula kepada paras kamu, tetapi Allah melihat kepada hati-hati dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
Keimanan yang tertanam di dalam hati menyebabkan kita tidak mudah lalai dan cinta terhadap kemewahan dunia. Oleh itu hendaklah kita bermula dengan hati terlebih dahulu untuk melakukan segala perbuatan, perlakuan dan amalan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Letak Tumbuhan Atas Kubur, Beri Syafaat Atau Tidak Kepada Si Mati

Nabi SAW pernah melalui dua kubur lalu bersabda maksudnya:
“Ingatlah sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa. Seorang daripadanya diseksa kerana dahulu dia suka membuat fitnah dan seorang lagi diseksa kerana tidak menghindari diri daripada percikan air kencing.”
Kemudian Baginda SAW mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu dibelahnya menjadi dua. Setelah itu, Baginda menanam salah satunya pada kubur pertama dan yang satu lagi pada kubur kedua sambil bersabda: “Semoga pelepah ini boleh meringankan seksanya selagi ia belum kering.” (Riwayat Bukhari: no.1378 dan Muslim: no.292)
Adakah ia memberi syafaat?
Peristiwa ini telah mengundang beberapa persoalan tentang manfaat meletakkan pelepah kurma ataupun tumbuhan lain di atas kuburan. Namun apa yang jelas hadis ini merupakan dalil pelepah kurma segar boleh meringankan azab kepada mayat.
Persoalannya adakah munasabah kedua-dua pelepah ini dapat meringankan seksa mayat tersebut? Ulama mempunyai dua pandangan utama mengenai masalah ini.
a) Sebahagian ulama berpendapat ia dapat meringankan azab kerana kedua-dua pelepah itu sentiasa bertasbih sehingga ia kering. Tasbih boleh meringankan azab ke atas orang yang sudah mati. Berdasarkan illat (sebab) ini, mereka menyatakan sunat datang ke kubur dan membaca tasbih dengan harapan mayat itu diringankan seksanya.
b) Manakala sebahagian lain mengatakan bahawa illat ini lemah kerana kedua-dua pelepah kurma tersebut tetap bertasbih, sama ada dalam keadaan segar mahupun kering. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucapkan tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya. Tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka…” (Surah al-Isra’:44)
Dalam peristiwa ini terjadinya keringanan azab kerana Rasulullah SAW berdoa kepada Allah SWT agar azab kedua-dua mayat itu diringankan selagi pelepah kurma tersebut masih segar. Ini bermakna keringanan azab tidak berlaku selama-lamanya.
Perbuatan Nabi SAW itu hanya bertujuan memberikan amaran kepada umatnya tidak melakukan perbuatan yang dilakukan oleh mayat-mayat tersebut iaitu membuat fitnah dan tidak membersihkan kencingnya.
Inilah maksud yang lebih tepat dengan hadis. Ianya merupakan syafaat yang bersifat sementara dan memberi amaran bukannya kerana Rasulullah SAW tidak mahu memberikan syafaat abadi kepada mereka.
Bolehkah tumbuhan diletakkan?
Berkenaan hukum terhadap perkara ini sebahagian ulama berpendapat, sunat meletakkan pelepah kurma segar, pokok dan lain-lain di atas kubur untuk meringankan azab mayat di dalamnya. Tetapi menjadi satu kesalahan untuk mengaitkan hukum perbuatan ini dengan apa yang dilakukan Nabi SAW atas beberapa alasan:
i. Kita tidak tahu sama ada mayat sedang diseksa atau tidak. Sedangkan Rasulullah SAW diperlihatkan oleh Allah SWT akan keadaan mayat tersebut melalui wahyu.

ii. Jika kita meletakkan tumbuhan di atas kubur atas tujuan itu, ia seakan-akan kita bersangka buruk pada mayat bahawa dia sedang diseksa. Sedangkan kita tidak tahu nasib yang dialami oleh mayat tersebut.
iii. Istinbat hukum perbuatan ini bercanggah dengan amalan ulama salaf. Sedangkan merekalah orang yang paling faham terhadap syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW
iv. Allah SWT telah mengajar kita amalan yang lebih baik dalam memberikan keringanan kepada mayat iaitu mendoakan kebaikan untuk si mati.
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Wanita Yang Rasa Penat Bekerja & Urus Keluarga, Amalkan Zikir Fatimah Untuk Redakannya

Kebanyakan kaum wanita ketika ini turut bekerja untuk membantu ekonomi rumah tangga. Pada masa yang sama tetap perlu menguruskan rumahtangga selepas pulang bekerja.
Kepenatannya memang terasa, dan sebagai manusia biasa wanita ini tidak terlepas dari mengeluh dek kerana stres dengan bebanan tugas yang tiada hentinya.
Memang ada banyak cara untuk hilangkan kepenatan ini seperti mengajak suami bercuti, atau berurut di spa. Namun begitu sebenarnya dalam Islam juga telah tersedia penawar mengatasi kepenatan yang tiada penghujung ini.
Caranya ialah melalui amalan Zikir atau Tasbih Fatimah yang diajarkan sendiri oleh Rasululullah S.A.W kepada puterinya Saidatina Fatimah r.a.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, satu hari puteri Rasulullah s.a.w, Saidatina Fatimah r.a mengadu kepada suaminya, Saidina Ali bin Abu Talib r.a tentang tangannya berasa sakit dan keletihan kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukannya.
Saidatina Fatimah kemudian datang menemui ayahandanya baginda Rasulullah S.A.W untuk meminta seorang pembantu. Akan tetapi dia tidak berjaya menemui Rasulullah S.A.W dan hanya bertemu dengan Saidatina Aisyah.
Kemudian Saidatina Fatimah meninggalkan permintaannya kepada Saidatina Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah. Apabila Rasulullah tiba di rumah, Saidatina Aisyah pun memberitahu Baginda tentang permintaan puterinya.
Lalu Baginda telah pergi menemui puteri serta menantunya yang ketika itu telah berbaring di tempat tidur. Keduanya mahu berganjak bangun ingin menghampiri baginda akan tetapi Rasulullah meminta mereka tetap di tempat perbaringan.
Lalu Baginda bersabda;
“Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim, no: 4906)
Maka disaran kepada ibu-ibu yang berasa penat setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan Zikir/Tasbih Fatimah ini setiap malam sebelum melelapkan mata.
ZIKIR/ TASBIH FATIMAH

Allahu Akbar – 34 kali
Subhanallah – 33 kali
Alhamdulillah – 33 kali
Dalam pada itu sentiasalah didiklah hati untuk ikhlas melakukan semua tanggungjawab agar tidak merasakan ia sebagai bebanan yang memenatkan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hala Tuju Tabung Masjid, Sepatutnya Untuk Keperluan Khariah

Hampir semua di setiap masjid ini mempunyai tabung derma atau menjalankan kutipan derma daripada orang ramai terutamanya semasa sembahyang Jumaat. Selain daripada itu, sebahagian besar masjid juga
menerima sumbangan kewangan daripada beberapa pihak tertentu seperti pihak kerajaan, institusi bukan kerajaan dan orang perseorangan. Malah terdapat juga masjid yang menerima sumbangan harta fizikal dalam pelbagai bentuk termasuklah peralatan hinggalah tanah dan bangunan yang diwakafkan oleh pihak-pihak tertentu.
Dalam sejarah Islam, masjid merupakan satu institusi yang amat penting. Ia bukan sekadar merupakan satu tempat bagi umat Islam melakukan ibadat-ibadat khusus seperti sembahyang, membaca al-Qur’an, berzikir dan seumpamanya, bahkan ia telah dijadikan pusat pembangunan masyarakat Islam yang lebih menyeluruh.
Namun, apa yang tidak enak didengar, duit dari hasil kutipan tabung masjid terlalu banyak. Hakikatnya, masih ramai masyarakat setempat yang hidup dalam kedaifan dan perlu untuk dibantu.
Pandangan yang disuarakan oleh Mohd Fadli Salleh ini melalui laman facebooknya mungkin boleh difikirkan.
Aku pernah menulis hal ini beberapa tahun dulu. Tentang dana masjid yang diperam.
Hari Jumaat hari paling ramai orang suka bersedekah. Maka ada masjid kutipan setiap kali solat Jumaat hingga berbelas-belas ribu ringgit. Setahun lebih setengah juta pun ada.
Pendedahan Sinar Harian mengenai simpanan duit masjid di Perak mencecah 7 juta menimbulkan banyak benda yang boleh kita bincang secara matang dan tenang.
Ada sesetengah orang masjid tak suka bila orang biasa macam aku nak bagi cadangan dan pendapat. Kata mereka,
“Kau seminggu sekali je datang masjid baik duduk diam. Tak payah masuk campur. Ini muka pun payah nak nampak, tiba-tiba nak ajar pihak masjid pula.”
Pemikiran lapuk penuh angkuh begitu kena buang wahai ahli masjid yang dihormati.
Masjid itu bukan masjid kamu. Duit itu bukan duit kamu. Duit kami yang jarang-jarang pergi masjid inilah yang banyaknya kat situ.
Aku pernah berborak dengan seorang imam muda. Katanya dana masjid dia beratus ribu sampai tak tahu nak buat apa. Masjid yang sudah dipenuhi aircond, akhirnya dipasang ‘giant fan’ yang berpuluh ribu harganya.
SAMPAI ADA PEMBAZIRAN
Kerana apa pasang? Apa tidak selesa? Apa belum cukup sejuk?
Bukan, kerana duit dah tak tahu nak buat apa.
Pasang ‘giant fan’ beberapa buah, akhirnya berhabuk macam tu sahaja. Awal-awal pasang sahaja guna, lepas tu tak pasang dah.
Agaknya nak jimat letrik. Lagipun aircond masjid yang baru ditukar itu memang masih sejuk. Tak perlu dah bantuan ‘giant fan’ itu sebenarnya.
Dah jadi satu pembaziran besar kat situ. Belum aku cerita bab masjid beli chandelier berharga lebih RM200k lagi.
CADANGAN TIGA USUL
Jika orang bukan ahli masjid macam aku dibenarkan memberi pendapat, aku nak usulkan 3 pendapat buat masjid yang punya dana tapi tak tahu nak buat apa.
1. Selepas Asar, AJK masjid boleh meronda kariah mereka. Naik motor bagi salam dari rumah ke rumah. Lihat apa keperluan mereka, apa yang pihak masjid boleh bantu.
Walau tidak mampu beri banyak, mungkin boleh beri sekampit beras 5kg yang berharga RM15 cuma. Atau mungkin setin susu untuk anak mereka. Pilih keluarga yang layak dan bantulah sedikit sebanyak.
Baru orang respek dengan geng masjid. Baru mereka yang tak pernah pergi masjid nak dekati masjid.
Banyak aku lihat depat mata, masjidnya nilai berjuta. Duit masjid berpuluh ribu, malah beratus-ratus ribu diperam saja. Sedangkan, ada asnaf sekeliling masjid.
Sedangkan, ada orang miskin terpaksa berhutang beras di kedai India supaya ahli keluarga tidak kelaparan.
Kalau sehari pihak masjid boleh ronda 4-5 buah rumah, sebulan dah 150 buah rumah dah dalam kariah tu mereka ziarahi dan santuni. Kan bagus begitu?
Pasti pandangan ahli kariah pada geng masjid jadi lain macam. Kan?
2. Beri kemudahan untuk fakir miskin dalam kariah mulakan kehidupan. Belikan balang air, meja dan payung untuk mereka mula berniaga.
Ajak mereka berniaga di kawasan masjid terutamanya hari Jumaat. Bagi tempat untuk mereka jual air, kuih, makanan, sayur-sayuran dan apa-apa barang yang mudah dijual.
Modalkan mereka untuk beli barang mentah buat kali pertama. Cari perniagaan yang modalnya sekitar RM1000 atau kurang sahaja.
Jangan bagi mereka duit, sediakan mereka barang asas untuk mulakan jualan dan bahan mentah. Bantu dan ajar mereka berniaga dengan betul.
Kalau sebulan satu keluarga pihak masjid bantu, setahun dah ada 12 keluarga mampu berdikari dan menyara keluarga sendiri.

Pilih mereka yang benar-benar layak, walau orang itu tak pernah ke masjid!
Jangan pilih kroni pula ya.
3. Di bandar sesak seperti Kuala Lumpur ini, banyak budak-budak tercicir kelas prasekolah. Satu prasekolah hanya terima 25 murid, sedangkan kepadatan penduduk setempat mencecah 2000 murid.
Maka keluarga yang miskin tidak mampu hantar anak-anak ke tadika swasta. Anak masuk ke sekolah rendah tanpa tahu baca kira.
Alangkah eloknya jika masjid buka kelas percuma untuk anak-anak tercicir ini. Buka pada hujung minggu pun jadilah.
Ambil saja student Universiti berdekatan atau mereka yang tiada kerja tapi ada bakat mengajar sebagai tenaga pengajar. Student Universiti ni sentiasa mencari kerja part time. Bayar mereka RM50 untuk dua jam pun mereka sangat seronok.
Kalau sehari 2 guru, seminggu baru RM200 (andaikan kelas hanya pada hari Sabtu dan Ahad). Sebulan baru RM800 pihak masjid perlu bayar kepada tenaga pengajar.
Masjid juga makin dikagumi. Orang ramai makin mendekati. Sambil hantar dan ambil anak, mereka pasti turun solat. Dan jika ada seringgit dua dalam kocek, pasti ke tabung masjid juga perginya.
Pandangan ini aku tujukan buat masjid yang kaya raya sampai dana tak tahu nak buat apa. Yang masjid cukup-cukup makan je, teruskan mendekati dan menyantuni ahli kariah masing-masing.
Apa pun, ini sekadar pandangan yang bersifat peribadi. Kalian berhak nak setuju atau tidak. Bebas juga untuk cadangkan aktiviti atau program lain yang lebih bermanfaat.
Cuma aku berharap, tiada lagi dana yang diperam banyak-banyak sampai berpuluh-puluh ribu mahupun beratus-ratus ribu.
Orang bersedekah supaya digunakan untuk memberi manfaat pada masjid mahupun ahli kariah, bukan untuk diperam tunggu dividen mahupun makan bunga sahaja.
Begitulah.
Sumber kredit: FB: Mohd Fadli Salleh & Siakap Keli News
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI