Pada usia 40 tahun, manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritual. Ketika inilah seseorang itu benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.
Usia 40 tahun adalah usia matang untuk seseorang individu bersungguh-sungguh dalam hidup. Dalam kelompok usia begini, mereka telah mengumpul pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan dan membuang kejahilan ketika usia muda. Maka tidak hairanlah tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini.
Malah umur 35 tahun hingga 40 tahun ialah umur di mana kebanyakan kita mula diuji. Ujian boleh datang dari ibubapa (jatuh sakit, kematian), atau dari pasangan hidup (perceraian, jatuh sakit, pergaduhan) atau dari anak-anak yang meningkat remaja.
Memang bermula usia 35 tahun hingga 40 tahun, Allah akan memanggil kita pulang bertaubat kepadaNya. Panggilan dari Allah selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolonganNya.
Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan pasangannya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.
Orang yang kurang bijak tetap leka dan langsung tak membuka deria terhadap panggilan Allah malah tetap leka dengan keseronokan dunia, berkumpul dengan rakan-rakan dan kurang memberi perhatian kepada suami/isteri/anak-anak
Usia 35 tahun hingga 40 ini menjadi lebih menarik apabila al-Quran di dalam surah “al-Ahqaaf ayat 15” ada menyebut tentang itu.
Allah berfirman yang bermaksud,
Ads
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh bercerai susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada Mu).”
Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun, malah 70 tahun, masih memikirkan kereta Sportnya, tanaman Duriannya, ternakan kerbaunya, harta-hartanya, anak-anak dan cucu-cucunyanya. Alangkah baiknya jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk mendengar Kuliah agama, ibadat di masjid, umrah, haji dan sebagainya.
Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala padahal kedut dan uban dah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta di luar, sedangkan rumah tangga yang halal dibiar berantakan.
Ada yang rasa macam masih sihat, walaupun sahabat-sahabat, saudara-mara ramai yang sudah meninggal, kadangkala tanpa disangka. Itu semua hanya menjadi bahan cerita “ehh, tak sangkaaa…muda lagi, sihat je nampak, boleh meninggal…”
Ads
Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih ralit dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri.
Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.
Rasanya jika Tuhan menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih leka, lebih degil untuk menyahut panggilan pulang.
Sehinggalah tiba saat roh kita diheret dan diseret kembali merengkuk di hadapan Tuhan.
Kita hidup di dunia, tidak lama.. Rasulullah, Sallallaahu alaihu wasallam, telah bersabda:
Ads
“Umur-umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang bisa melampaui umur tersebut”. [HR. Ibnu Majah: 4236].
Kalau sekarang kita rasa 35 hingga 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah alam barzakh atau akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama, SATU HARINYA = RIBUAN TAHUN…
Ingat, ketika itu tak ada yang berguna kecuali amal baik kita..
Oleh kerana itu, lihatlah diri anda, sudahkah kita mempersiapkan diri?
Allah ta’ala berfirman (ertinya):
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan LIHATLAH DIRI MASING-MASING apakah yang sudah ia PERSIAPKAN untuk KEHIDUPAN ESOKNYA”. [Al-Hasyr:18]
Sumber: FB: Ainul Mardhiah
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Yakinlah dengan Allah, walaupun bukan itu kehendak kita.’ Baik, buruk takdir pasti ada tujuan-Nya. Setiap satu takdir yang Allah tentukan pasti bersebab.
Kadang-kadang kita merancang sesuatu, namun Allah berikan perkara lain di luar kemahuan kita. Tak dinafikan, pasti hati menjadi gundah dan kecewa, namun percayalah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Ikuti perkongsian Rohana Saad ini dan hadam baik-baik apa yang disampaikan:
Suatu hari nanti kita akan sedar bahawa takdir yang membawa kepada penderitaan itulah yang merubah hidup kita, cara kita dan hati kita menjadi lebih baik. Tidak ada takdir yang ditetapkan tidak ada tujuan.
Baik buruk takdir yang kita lalui tidak ada yang sia-sia. Apa saja rasa luka dan sakit yang lalu, itulah yang membuat kita menjadi sekuat ini dan segala yang di ambil Allah telah dipersiapkan ganti dengan yang lebih baik.
Walaupun Bukan Itu Kehendak Kita
Mungkin hari ini kita kecewa dengan takdir Tuhan kerana tidak sesuai dengan semua yang kita rancangkan Mungkin hari ini kita menangis kerana semua impian tidak menjadi kenyataan.
Mungkin hari ini kita akan berkata, hidup ini tidak adil, Allah tidak sayang pada kita Tapi esuk atau lusa, kita akan tersenyum bahagia dan bersyukur alhamdulillah.
Ternyata semua kesulitan, kepedihan dan kesakitan kita dahulu adalah bahagian dari proses kebahagiaan yang kita dapatkan. Nanti bila saatnya tiba kita akan memohon ampun kepada ALLAH dan berkata,
” Terima kasih Ya Allah, perancangan-Mu jauh lebih indah dari setiap rancangan hamba-Mu ini”. Mulai hari ini, kita belajar untuk percaya kepada Allah bagaimana pun keadaan, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk semua hamba-Nya.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” ~ QS. Al-Baqarah: 216
Baik, Buruk Takdir
Allah tidak akan memberikan apa yang selalu kita harapkan tetapi dia akan memberikan sesuatu yang kita perlukan. Allah sudah susun cantik-cantik jalan hidup kita, janganlah resah teruskan melangkah walau berkali-kali kita rebah.
Kita hanya merancang tetapi ALLAH juga merancang, dan perancangan-Nya Maha hebat dan sempurna.
Walaupun kita tidak tahu apa yang tertulis di hadapan, kita terpaksa merasa perit seketika, kita terjatuh berulang kali, kecewa berkali-kali, sedih tak terhingga. Tapi itu semua diturunkan untuk kita menjadi lebih kuat dan semakin hebat.
Yakinlah dengan apa yang Allah takdirkan untuk kita meskipun itu bukan kehendak kita. Sesungguhnya tiada yang namanya ‘kebetulan’. Kerana setiap aturan dari ALLAH itu sudah sempurna.ya
Kadang-kadang Allah temukan kita dengan sesuatu yang salah, supaya kita kenal erti ‘betul’. Kadang-kadang Allah temukan kita dengan sesuatu yang betul , supaya kita boleh terus membimbing diri sendiri dan orang lain.
Yang hitam itu tidak semestinya kotor. Yang putih itu tidak semestinya bersih. Bersangka baiklah dengan takdir Allah. Takdir Allah itu terlalu indah. Sehebat apapun kita merencanakan sesuatu. Tetap takdir ALLAH adalah yang terbaik untuk kita.
Kashoorga : Yakinlah dengan Allah kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
‘Suami tak bagi nafkah, isteri mintalah sampai dapat.’ Kasihan lelaki culas tanggungjawab, nanti dihisab depan Allah. Jangan kerana kasihan di dunia, suami merana di akhirat kelak.
Jadi bila suami abaikan bab nafkah, isteri minta selagi boleh. Minta berkali-kali hingga dia bagi. Kita tak mahu suami yang kita sayang akan menjadi muflis di Mahsyar kelak kerana dia mengabaikan tanggungjawab yang Allah amanahkan.
Ikuti perkongsian ini dan ketahuilah bahawa bab nafkah ini jangan dibuat main.
“Allah sudah kata. Allah tinggikan darjat lelaki (suami) kerana memberi nafkah kepada perempuan (isteri).”
“Minta.”
“Minta macam kita minta duit dari mak ayah kita.”
“Kita minta elok-elok.”
“Kalau hari ini tak bagi. Minta lagi esoknya.”
“Kita minta sebab kita sayang. Nak suami kita selamat.”
“Takut di akhirat nanti suami kena seksa sebab tak bagi nafkah.”
Isteri Mintalah Sampai Dapat
Sahabat. Kita jadi isteri. Minta sajalah belanja dapur, diri kita dan anak-anak dari poket suami. Minta macam kita minta duit dari mak dan ayah. Selagi tak dapat. Kita merengek. Buat-buat merajuk. Usahakan sampai berjaya.
Jangan kerana kita berniaga online. Kerja makan gaji. Dapat harta pusaka. Kita biarkan suami kita tidak keluarkan duit nafkah. Mungkin kita nak jadi insan mulia. Reda apa sahaja.
Niat yang baik itu kadang mengundang musibah. Allah tak suruh begitu. Allah suruh lelaki menafkahi wanita. Allah tinggikan darjat lelaki kerana menafkahi wanita.
Jatuh martabat lelaki yang mencuaikan tanggungjawabnya. Bermula dengan rasa tenang mendapat reda isteri yang tidak menuntut nafkah.
Kasihan Lelaki Culas Tanggungjawab
“Allah suruh”
Isteri. Minta duit belanja dari suami. Usah malu-malu. Usah kasihan dengan mata kasar. Kasihan dengan mata hati.
Kasihannya suami ku jika dihisab nanti. Malaikat memberitahu di hadapan Allah. Dia suami zalim.
Tidak membelikan untuk isteri pakaian baru untuk hari raya. Malah, tidak membelikan untuk isteri syampoo hingga isterinya bau hapak.
Tidak membelikan makanan hingga isterinya bekerja dan menafkahi dirinya. Atau tidak menyediakan belanja anak-anak. Hingga isterinya menangis malu menolak permintaan anak-anak.
Nanti Dihisab Depan Allah
Nah. Buka luas-luas mata hati. Jangan kerana sempitnya rezeki kita rasa lemas dan ingin terjun ke tasik. Nanti betul-betul lemas dibuatnya.
Perlahan-lahan cuba minta nafkah dari suami. Dari seringgit dua kepada puluhan ringgit sehari. Minta dan terus minta setiap hari. Insyallah rezeki suami akan semakin lapang kerana diberkati Allah.
1 ringgit belanja untuk isteri adalah wang yang sangat baik nilainya di sisi Allah. Kerana si suami telah menunaikan hak isteri. Menunaikan tanggungjawab suami. Mendapat pahala sedekah kepada keluarga.
Pesannya cuma satu. Isteri. Mintalah duit belanja dari suami.
Ketika saf wanita sedang solat mengikut imam, terdapat seorang wanita lain melintas di hadapan mereka. Bukankah solat mereka tadi akan batal? Solat akan terbatal apabila dilintasi tiga yang tersebut iaitu keldai, wanita, dan anjing hitam. Jadi apa yang perlu saf wanita tadi lakukan sedangkan mereka sedang mengikut imam ketika itu? Entri kali ini menjelaskan untuk anda.
Tiga perkara yang membatalkan solat seseorang jika mereka berjalan di hadapan seseorang yang sedang solat iaitu wanita, keldai atau anjing hitam adalah benar. Dari Abu Zar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika salah seorang daripada kamu berdiri untuk solat, hendaklah ia meletakkan sutrah (penghadang) jika dia mempunyai sesuatu yang boleh dijadikan penghalang di hadapannya. Jika dia tidak mempunyai sesuatu yang boleh menghalangnya untuk diletakkan di hadapannya, maka solatnya tidak sah jika seekor keldai, atau seorang wanita atau seekor anjing hitam melintas di hadapannya.
Aku (Abdullah) telah bertanya, ‘Wahai Abu Zar, apakah perbezaan di antara seekor anjing hitam dan anjing merah atau kuning? Beliau menjawab : Wahai anak lelaki saudaraku, aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w soalan yang sama, dan baginda menjawab: anjing hitam adalah syaitan.” (Riwayat Muslim, no.510)
Namun hukum ini hanya melibatkan situasi di mana jika salah satu daripada tiga perkara ini melintasi imam atau di hadapan yang sedang solat bersendirian dan bukan sewaktu mereka melintasi laluan di antara saf di dalam solat berjemaah.
Abdullah bin Abbas r.a berkata, “Pada suatu hari, aku menunggang seekor keldai betina dan ketika itu aku telah baligh. Rasulullah s.a.w sedang mengimamkan solat di Mina tanpa apa-apa binaan di hadapannya. Aku telah melintasi sebahagian saf, aku telah turun dari keldai lalu melepaskannya ke padang ragut, lalu aku menyertai saf dan tiada sesiapa yang menghalang aku daripada berbuat demikian.” (Riwayat Bukhari, no. 472 dan Muslim, no. 504)
Hadis ini telah menjelaskan hujah kami di mana sesiapa yang solat di belakang imam tidak perlu meletakkan sutrah, tidak menjadi masalah bagi apa-apa sekalipun yang melintas di hadapannya terutamanya ketika dijelaskan yang Ibn ‘Abbas r.a telah melintas di hadapan mereka dengan menunggang keldainya. Sutrah adalah benda yang harus diletakkan di hadapan seseorang yang solat bersendirian atau berjemaah. Bagi solat berjemaah, cukup imam sebagai sutrah mereka. Manakala bagi solat bersendirian, seseorang itu perlu meletakkan sesuatu di hadapannya. Seperti solat di belakang tiang, kayu yang panjang, buku dan sebagainya. Jarak antara sutrah dengan orang yang bersolat ialah tiga hasta.
Abu Sa’id al-Khudri berkata, “Jika salah seorang daripada kamu sedang solat, dia tidak boleh membenarkan sesiapa pun melintas di hadapannya. Dan dia hendaklah menolaknya setakat yang dia mampu dan jika dia tetap berkeras mahu lalu di hadapannya maka lawanlah dia, kerana dia sebenarnya adalah syaitan.” (Riwayat Bukhari, no. 487 dan Muslim, no. 505)
Makruh berjalan di hadapan seseorang yang sedang solat bersendirian tanpa sutrah. Hukum yang sama boleh diaplikasikan bagi imam jika solat tanpa meletakkan sutrah. Berhubung dengan mereka yang solat di belakang imam pula, ia tidak menimbulkan masalah apa sahaja yang melintas di hadapannya. Tiada masalah jika melintas di belakang sutrah yang diletakkan di hadapan imam atau seseorang yang solat bersendirian. Imam menjadi sutrah bagi makmum yang solat di belakangnya.
Berdasarkan hujah ini, tidak perlu menolak sesiapa yang lalu di hadapannya jika dia sedang solat di belakang imam. Orang yang melaluinya itu tidak berdosa sekiranya dia mempunyai sebab. Menolak dan menghalang seseorang daripada lalu di hadapan orang yang sedang solat mestilah dilakukan oleh imam atau sesiapa yang lain.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?