Saban hari pastinya kita tidak akan bebas daripada melakukan kesilapan. Sama ada ianya besar atau kecil kerana kita bukanlah insan maksum seperti para nabi dan raaul. Disebabkan itulah kita harus sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT.

Antara ibadah yang menjadi salah satu cara memohon keampunan ialah solat sunat dua rakaat.

Apakah memang perkara itu dianjurkan oleh Islam? Adakah nas yang menyatakan tuntutan solat sunat berkenaan?

Memetik sebuah hadis daripada Abu Bakar al-Siddiq RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba ALLAH) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wuduknya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar melainkan ALLAH akan mengampunkan dosanya.
Setelah itu, Nabi Muhammad SAW membaca ayat 135 dari surah Ali Imran: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH.” sehingga ke akhir ayat tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

PENGHAPUS DOSA KECIL

IKLAN

Shaykh Abd al-Muhsin juga mengatakan bahawa amalan soleh boleh menghapuskan dosa-dosa kecil.

“Adapun dosa besar, yang boleh menghapuskannya adalah amalan soleh berserta taubat,” kata beliau.

Selain itu, Shaykh Mahmud al-Subki menyatakan, hadis itu juga menunjukkan dalil galakan untuk memperelokkan wuduk dan solat dua rakaat serta istighfar apabila melakukan sesuatu dosa. Sekiranya seseorang itu melakukan sedemikian, maka akan diampunkan dosa tersebut baginya. (Lihat: al-Manhal al-‘Azb al-Mawrud, 8/183)

Maka, disebabkan itulah kita dituntut untuk sentiasa memperbanyakkan amalan soleh agar ia boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Bagaimanapun, bagi dosa besar, tidak cukup sekadar dengan melakukan amal soleh.

Justeru, lazimkanlah diri dengan selalu beristighfar kepada-NYA.

Mudah-mudahan segala amal soleh kita diterima dan menjadi asbab dosa kecil kita diampunkan.

Sumber: Irsyad Al-Hadith Siri ke-510: Dosa Terhapus dengan Solat Sunat, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan